Thursday, November 18, 2010

Bab 7: Dharmakusuma Terus Mandiri


Tiga belas tahun berlalu ...

Timba ini timbang sendiri
Membuang tulah si puteri gondang
Perhamba ratu seri istana
Rakyat jelata kiri dan kanan

Hamba ini dagang senteri
Menumpang tuah di negeri orang
Menimba ilmu pengisi dada
Buat membela diri dan kawan

1001 Masihi, Bukit Panau, di bumi yang bernama Amdan Negara.
Puteri Kembang Seri Wangi menyiapkan beberapa helai pakaian dan persiapan lain yang bakal dibawa oleh anaknya Putera Shakranta. Bau asap kemenyan dan setanggi masih semerbak mengisi bilik tidur Shakranta dan balai utama Mahligai Dharmakusuma. Setelah dibiar membakar sepanjang malam oleh Kembang Seri Wangi, guna menghalau nyamuk dan agas yang begitu subur berkembang biak di lopak dan paya di musim kemarau nan panas.

Kembang Seri Wangi sendiri yang menyediakan juadah kembara kegemaran anaknya yang berusia tujuh belas tahun itu sewaktu dinihari. Nasi kukus daripada beras wangi Pegu, ikan kelah panggang kunyit, ubi keladi bakar, rebus pucuk ubi kayu, solok lada dan sambal pauh. Semua itu dibungkus rapi, secara berasingan, dengan beberapa lapis daun pisang segar, disemat dengan lidi, lalu dimasukkannya ke dalam sebuah raga mengkuang. Sebuah raga rotan pula diisinya dengan sedikit kuih muih yang dibuat oleh Mak Utih, dan beberapa biji buah rambutan, langsat, ciku dan manggis sebagai pencuci mulut, bersama selonggok buah berangan bakar buat mengunyah tatkala kelapangan.

Kerana mereka dua beranak kini merupakan saki baki terakhir Wangsa Dharmakusuma yang masih hidup, Kembang Seri Wangi telah bermenung dan berfikir tak habis-habis, sama ada atau tidak mahu membenarkan anaknya itu meninggalkan kampung halaman untuk pergi berkelana di negeri orang. Namun adat masyarakat mereka selama ini sentiasa menuntut bahawa seseorang anak muda harus merantau jauh untuk dianggap seorang dewasa berwibawa. Lalu, selama manakah dia dapat menghalang hasrat puteranya itu, walau sekuat mana dia mencuba? Sungguhpun hatinya agak keberatan.

Sudah sepuluh tahun Kembang Seri Wangi memegang jawatan Narapati atau Pemerintah Wilayah bagi Amdan Negara. Sejak kematian bapanya Adhi Vira akibat penyakit jantung. Selama tujuh tahun dia dibantu oleh suaminya sendiri, Putera Prabhava, sebagai orang kanannya dengan memegang jawatan Panglima Agung. Sehingga Prabhava terkorban di laut luas tiga tahun yang lalu, ketika sebuah bahtera dagang keluarga Dharmakusuma yang dipimpinnya pecah dan karam terpukul badai dalam pelayaran ke Pulau Singhala.

Dari awal lagi, Prabhava menerima syarat Adhi Vira untuk diterima menikahi Kembang Seri Wangi. Syarat yang menetapkan bahawa hanya seorang zuriat Wangsa Dharmakusuma, sama ada lelaki ataupun wanita, yang akan menjawat jawatan narapati Amdan Negara, ataupun menaiki takhta Amdan Negara sebagai rajanya, jika muncul sebarang kesempatan. Demi menjamin bahawa nama Dharmakusuma tetap abadi.

Maka bermakna Putera Prabhava tidak mungkin naik takhta menjadi raja Amdan Negara. Paling tinggipun dia sekadar boleh dilantik menjadi Panglima Agung. Namun. demi cinta yang tulus, dia menerima segala syarat dengan senang hati. Lagipun, zuriatnya dengan isteri tersayang, Puteri Kembang Seri Wangi, tetap layak menjadi raja atau ratu jika bertemu kesempatan yang sesuai di hari muka.

“Tapi, Emak, Tambra Lingga itu bukannya begitu jauh. Sekadar beberapa hari pelayaran sahaja ke utara dari Tumpat. Tata boleh pulang bila-bila saja Emak mahu. Lagipun, Tata boleh meninjau-ninjau mencari peluang perniagaan baru di sana untuk kita. Tata dengar suasana perdagangan di sana kini bersemarak rancak. Di sini pula, keselamatan Emak sentiasa terlindung, kerana Pak Cik Pinang dan Pak Cik Nibung masih kedua-duanya memegang jawatan Panglima Kanan, dan mereka tinggal berhampiran dengan Mahligai Dharmakusuma. Emak sendiri pula bukannya wanita sembarangan, tetapi seorang serikandi.” Shakranta telah cuba memujuk, mencuba sedaya upayanya untuk meredakan kebimbangan ibunya. Suara remaja anaknya itu yang semakin hari semakin semakin dalam dan garau kini seperti masih jelas berkumandang di cuping telinganya.

“Emak tahu itu semua, Tata,” jawab Kembang Seri Wangi. “Hanya ... Emak tak dapat menahan diri Emak daripada merasa gundah. Bagaimana kalau ... sesuatu yang tidak diingini ... menimpa dirimu?”

“Emak. Bolehkah Emak memberi jaminan sepenuhnya bahawa tiada apa-apa yang akan berlaku kepada Tata ... bahawa Tata akan terus hidup ke hari tua ... jika Tata terus menetap di kampung halaman? Bagaimana jika Tata terperangkap dalam sesuatu pertempuran dan terkena lembing atau panah sesat? Bagaimana kalau Tata terpanah petir ketika memetik buah-buahan di dusun kita? Bukankah ghairah kembara yang membuat mendiang Ayah belayar begitu jauh dari Benggala hingga ke Tumpat dua puluh tahun yang lalu? Ghairahnya itulah yang telah membuat dia menjejak kaki suatu hari di Gunung Sembatu, kemudian bertemu Emak, dan akhirnya berkahwin dengan Emak. Kalaulah tidak kerana itu, Tata ini pun tidak akan wujud berdiri di sini detik ini, bukan?” Shakranta telah terus berhujah dengan ibunya.

Memang kena benar apa yang diperkatakan oleh puteranya itu. Bukan sesuatu yang dapat dibahas balas dengan begitu mudah oleh Kembang Seri Wangi. Anaknya itu seperti semakin beransur-ansur menjadi seorang yang bijak berbicara, sama seperti datuknya, kenang Kembang Seri Wangi. Kepetahan dan kelancaran bertutur kata yang serupa.

“Masih ingatkah Emak pada apa yang Tuk Adhi pernah berkata, Ibu? Katanya, ‘Seseorang itu tidak boleh menunggu ketentuan nasib datang mencarinya, namun dia sendiri yang harus pergi mencari ketentuan nasibnya,’ maka itulah yang mesti Tata lakukan. Kata Tuk Adhi juga, ‘Ikan yang bahagia bermain di hilir sungai tidak mungkin akan berenang menongkah ke atas hingga melepasi jeram,’ lalu itulah iktibar yang harus Tata ambil.” Merasakan ibunya seperti semakin beralah, Shakranta telah meneruskan hujahnya dengan semakin rancak. Memang sama seperti datuknya, Kembang Seri Wangi teringat kembali.

"Tata juga tidak mahu menjadi seperti katak di bawah tempurung, Mak. Tempurung terbalik, baru ternampak dunia, maka terpinga-pinga jua dirinya."

Mungkin betul bahawa kembara wisata adalah apa yang diperlukan oleh anaknya itu, fikir Kembang Seri Wangi. Mungkin ia akan mempertemukannya dengan seorang gadis yang akhirnya akan menawan hatinya, yang akan dikahwininya satu hari nanti. Dan yang akan melahirkan untuknya seorang putera, yang akan menjadi penyambung zuriat Wangsa Dharmakusuma. Kembara juga, sedikit sebanyak, barangkali akan membantu membentuk dan membina watak pahlawan dalam dirinya. Sesuatu yang tentunya bakal diperlukannya andainya dia beroleh sebarang kesempatan untuk memenangi kembali takhta Amdan Negara yang telah terlepas daripada genggaman Wangsa Dharmakusuma.

“Dan lagi ... Emak,” Shakranta meneruskan. “Tata juga ingin berusaha mencari ... Pedang Kambujiya. Kerana ... sebagai anak kepada Putera Prabhava dan cucu kepada Panglima Prakasha ... bermakna Tata juga punya nasab daripada Raja Kambujiya di zaman silam. Lalu Tata rasa ... Tata mungkin menemuinya ... di samping ... layak menyandangnya. Demi mengembalikan kegemilangan wangsa kita, Wangsa Dharmakusuma ... sekaligus menghidupkan kembali ... kerajaan Amdan Negara ... serta membantu memerdekakan ... seluruh bumi Langkasuka Adhi Negara ini suatu hari nanti ... biarlah Tata pergi berkelana di Tambra Lingga ... sebagai langkah pertama ke arah itu.”

“Baiklah, Tata,” Kembang Seri Wangi akhirnya menjawab, memberi persetujuan muktamad. “Kalau begitu tekad hatimu ... Emak tidak akan menghalangmu lagi. Kesemua cita-citamu itu agak besar ... namun Emak merestui hasratmu ... serta pemergianmu. Jagailah dirimu sebaiknya semasa di perantauan.”

“Terima kasih, Emak. Restu Emak tidak mungkin akan Tata persia-siakan.”

§        §        §
Shakranta bertolak di pagi hari, selepas sarapan awal pagi yang agak lama bersama ibunya. Kini duduk bersila di dalam perahu panjang yang bertambat di tebing sungai, tidak begitu jauh daripada rumahnya, dia masih dapat mendengar kokok berderai yang megah dan gagah oleh Pelangi, ayam sabung baka Singgora beroma warna-warni berkilau gemerlap yang bengis bengkeng miliknya. Seolah-olah haiwan pahlawan itu mengucapkan selamat jalan kepada tuannya Shakranta dengan caranya yang tersendiri.

Perahu yang pantas luncurannya itu akan membawanya mudik ke hilir, ke pelabuhan kuala di Tumpat, tempat Shakranta akan menaiki kapal untuk belayar seterusnya ke Patani. Sebuah kapal lain pula akan membawa Shakranta dari Patani lebih jauh lagi ke utara, ke Tambra Lingga, tempat bersemayam Raja Sujita, seorang saudara bau-bau bacang dengan keluarga Dharmakusuma.

Sudah petang baru Shakranta sampai di pelabuhan Tumpat. Sudah terlalu lewat kini untuk mendapat sebuah kapal yang mahu belayar ke Patani pada hari yang sama. Dia tiada pilihan lain kecuali bermalam di Tumpat.

§
Keesokan harinya, Shakranta duduk bermenung di dalam kapal payang yang belayar menuju ke Patani. Kapal itu mengoleng-onggol dibuai ombak, layarnya terpacu lancar oleh angin musim panas yang sederhana derasnya. Shakranta merenung ke laut, awan dan langit, memerhati ombak berdesir serta pelbagai unggas laut yang berterbangan di udara. Memikirkan hari-hari mendatang dengan perasaan teruja bercampur gelisah.

Dia ternampak seorang anak muda, kelihatan seperti hampir sebaya dengan dirinya dan, anehnya juga, hampir sama tinggi serta sama besar rangka tubuhnya, berdiri di sisi sebelah kiri kapal. Anak muda itu berpakaian segak dan kemas dengan gaya yang sopan, namun tidak terlalu menonjol diri. Dia kelihatan seperti agak tenteram dan bersahaja, seperti seorang yang sudah biasa berkelana ke tempat yang jauh. Shakranta bangun lalu menghampiri anak muda yang tidak dikenalinya itu.

“Agak baik cuacanya,” Shakranta bersuara. Anak muda itu menoleh, tersentak sedikit daripada lamunannya.

“Oh! Ya, memang baik kan?” dia menjawab. “Panasnya sederhana. Ombaknya tidak terlalu besar. Langitnya biru. Anginnya sendalu, bertiup sepoi-sepoi bahasa.”

“Moga-moga ia petanda baik untuk kita,” Shankara meneruskan. “Hamba Shakranta, dari Bukit Panau, di negeri yang dulunya bernama Amdan Negara. Hamba gembira bertemu tuan hamba.”

“Hamba Shankara, dari negeri Wura Wari, di Pulau Jawa,” anak muda itu membalas. “Hamba juga gembira bertemu tuan hamba. Lebih seronok jika ada teman ketika dalam pelayaran yang jauh.”

“Bukannya hamba ingin menjaga tepi kain orang,” Shakranta berkata lagi. “Tapi ... entah bagaimana ... gaya dan cara tuan hamba ... boleh hamba katakan ... seperti seorang anak muda ... daripada golongan bangsawan orang Sunda. Hamba sekadar meneka. Maafkan hamba kiranya tersilap.”

Sebuah senyuman terukir di wajah Shankara yang agak suram sebelumnya. “Ummm ... kira-kiranya begitulah,” dia menjawab. “Memang hamba orang Sunda. Dan negeri Wura Wari adalah sebuah negeri anggota dalam Persekutuan Sunda-Galuh. Sebagaimana Amdan Negara dan Patani Seri Negara adalah negeri-negeri anggota dalam Persekutuan Langkasuka. Tuan hamba tahu tak, tuan hamba ini, agak tajam daya pemerhatiannya.”

“Tepat sekali telahan tuan hamba. Hamba ini, sekelibat ikan di air pun, sudah hamba tahu jantan betinanya.”

“Begitu yakin diri pula orangnya. Aduhai! Bijak sungguh tuan hamba ini. Kalau begitu, tuan hamba tepat seperti perumpamaan lama ... kata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih."

“Mengapa pula begitu?” Shakranta bertanya, terperanjat.

“Kerana tuan hamba juga seorang bangsawan,” balas Shankara. “Dari awal lagi hamba sudah menjangka. Kerana, hamba juga tidak kurang ketajaman daya pemerhatiannya.”

“Kata orang, burung yang sebulu, biasanya terbang bersama,” ujar Shakranta.

“Selagi sebulu itu sekadar membawa maksud sama pandai, sama bijak, hamba bersetuju,” balas Shankara.

Mereka berdua tertawa keriangan. Kegelisahan dan kebosanan terlupa sementara buat seketika.

“Tuan hamba bakal belayar jauh?” Shankara bertanya.

“Arah tuju hamba adalah Tambra Lingga, ibu negeri Negara Seri Dharmaraja,” Shakranta menjawab. “Bagaimana dengan tuan hamba?”

“Ummm ... mulanya hamba hanya bercadang hendak ke Patani. Tapi ... sudah beberapa kali hamba ke sana. Entahlah. Hamba belum pasti lagi detik ini.”

“Baiklah, kalau begitu. Kita singgah dulu di Patani. Kita merambu di sana barang sehari dua. Kita tengok dulu bagaimana. Lagipun, hamba ini pun tidaklah begitu tergesa-gesa.”

“Bagus! Kalau begitu, ke Patani kita bertuju,” balas Shankara.

§        §        §
Dari jauh kelihatan dua orang anak gadis sunti, masing-masing menonggang seekor anak kuda padi. Mereka berpakaian cantik dan anggun. Kaki, lengan, tangan, leher dan kepala mereka sarat dengan perhiasan emas, perak dan pelbagai permata ratna mutu manikam. Anak golongan bangsawan, fikir Shakranta.

Dengan tidak semena-mena sekumpulan orang yang tidak dikenali muncul menghalang laluan mereka. Dua anak gadis itu cuba memecut kuda padi mereka untuk melarikan diri. Namun kedua mereka dihambur hingga jatuh ke tanah dari kuda mereka, terus tersungkur keduanya.

Kumpulan penjahat itu lantas mengikat kaki dan tangan dua anak gadis itu dan menanggalkan segala barang-barang kemas mereka daripada tubuh mereka. Seterusnya mereka seperti mula meninjau-ninjau ke setiap arah, menunggu kesempatan untuk melarikan hasil rampasan mereka. Ataupun mungkin mereka terfikir untuk menikmati sedikit pesta lain sebelum beredar.

“Sekumpulan penyamun rupanya,” Shakranta bersuara. “Kita perlu bertindak segera.”

“Benar katamu,” jawab Shankara. “Mereka tidak harus dibiarkan berbuat sesuka hati mereka.”

Shakranta segera melangkah ke tengah jalan, menghalang laluan gerombolan penyamun itu, diikuti oleh Shankara.

“Siapa gerangan dema berdua?” ketua gerombolan penyamun itu mencabar dengan nada bengis menyergah. “Jangan dema ganggu urusanku. Kalau kail panjang sejengkal, janganlah lautan hendak diduga. Kalau cangkul sebatang dua, tak usah gunung hendak diratakan!”

Namun Shakranta dan Shankara sedikitpun tidak merasa cuak. Sebaliknya, mereka berdua semakin ghairah untuk menguji pelbagai gerak tempur yang telah diturunkan kepada mereka oleh beberapa orang guru seni tempur mereka sebelum ini, terutamanya bapa dan datuk mereka sendiri.

Di awal pertarungan, jiwa yang tenteram dan tidak tergugat oleh kalut, gamam atau gawat adalah paling utama. Agar memastikan tumpuan tetap selesa namun tajam, yang akan menghasilkan pergerakan yang kemas, tepat dan padu. Kepantasan, kekuatan dan kecanggihan dalam permainan akan menyusuli terkemudian, apabila urat dan otot semakin hangat dan semakin regang. Demikianlah lebih kurang pesanan setiap seorang daripada guru mereka.

“Dema terlalu bongkak, penyamun,” Shakranta menjawab tenang. “Tukil bukan sebarang tukil, tukilnya keras memecah tempurung,” “Kecil bukan sebarang kecil, kecilnya sepedas si lada burung. Diserang tak lari. Disekat tak cuak. Diugut tak hairan. Bebaskan mereka!”

"Aaah!" penyamun kedua mendengus. "Dasar budak mentah. Apa yang kamu tahu? Lebih mulut daripada otak. Banyak karut daripada bijak!"

"Kata dulang, paku serpih ... kata orang, dia yang lebih," Shankara menjawab, menyindir. "Itulah perangai bajingan ... memang biasanya angkuh. Akan tetapi ... awas. Air tenang jangan disangka tiada buaya. Ular muda jangan dianggap tiada bisa."

Kumpulan penyamun itu membuka pelbagai tari bunga seni tempur mereka masing-masing dengan wajah yang menjergil begitu bengis bengkeng. Mulut mereka kumat kamit membaca entah apa jampi mentera. Kaki, tangan dan seluruh tubuh mereka menggigil menggeletar sebegitu rupa, sama ada kerana berang, atau hanya ingin mempamerkan keperkasaan mereka, atau cuba mengerikan lawan, ataupun kesemuanya sekali. Setiap seorang daripada mereka masing-masing kelihatan seperti mencari kekuda keras kebal yang kononnya sukar diserang atau susah ditentang.

Shakranta dan Shankara sekadar berkekuda santai, namun tubuh mereka sentiasa bergerak cergas dan tangkas, ke kiri ke kanan, ke depan, ke belakang, menyilang. Sekali sekala mereka melantun-lantun di atas tanah.

“Toloong! Toloong!” Dua anak gadis itu terus menjerit melolong.

Seorang lagi penyamun meluru ke arah Shakranta dengan keris terhunus di tangan kanannya. Dengan pantas Shakranta menangkis dengan tangan kiri sambil melantun ke sisi kanan. Kaki kanan Shakranta melayang tinggi ke atas sepantas kilat, menyinggahi sisi kiri muka penyamun ketiga itu. Membuat orang itu tergamam, bingung dan huyung seketika.

Gadis yang dirangkulnya tadi mengambil kesempatan itu untuk meronta meloloskan diri daripada rangkulannya. Shakranta menyusul segera dengan sepakan kuis dengan kaki kirinya, yang membuat orang itu hilang imbangan dan kedua kakinya terangkat sedikit meninggalkan bumi seketika.

Sepakan sedemikian biasanya suatu gerakan yang tidak begitu mudah berhasil, namun hari itu ia menjadi dengan sebaik-baiknya bagi Shakranta. Dia seterusnya segera melompat sambil merembat dengan tendangan libas dengan kaki kanannya ke muka orang itu sekali lagi. Kena tepat pada pangkal rahang lawannya, membuat orang itu tumbang mengiring, kepalanya terhantuk ke tanah, tangannya terkapai-kapai.

Shankara pula melangkah mara ke depan, lantas memerangkap pergelangan tangan dan lengan seorang penyerangnya yang menghunus keris di tangan kanannya. Berpaksikan betis dan tubuhnya sendiri sebagai tuas, Shankara memutar tubuh lawannya itu, membuatnya berputar hampir suatu putaran. Di masa sama seorang lagi bajingan meluru pantas ke arah Shankara dengan sebilah golok. Shankara lalu menghumban tubuh lawannya itu ke arah musuh bergolok itu, lalu terbenam golok orang itu ke perut sahabatnya, membuat dia meraung kesakitan. Dalam pada itu, Shankara merembat kerambitnya ke leher bajingan bergolok itu, putus urat halkumnya, memancar-mancar darahnya.

Seorang musuh lain menerjah Shakranta, terkena di dadanya, membuatnya terundur ke belakang, tatkala seorang lagi rakan orang itu menanti untuk meradak Shakranta dari belakang dengan sebilah kelewang besar. Shakranta bertindak pantas, memanfaatkan lajakan badannya untuk melonjak tinggi sambil berputar gaya mengiring menyilang ke arah belakang, berakhir dengan sepakan gunting yang padu dari atas ke bawah. Kena lawan berkelewang itu tepat pada tulang tengkuknya lalu patah remuk, terus terkulai kepalanya.

Belum lagi dia mendarat sepenuhnya, Shakranta diterpa pula oleh seorang lagi penyamun yang meluru ke arahnya dengan sebilah golok panjang. Dengan hanya satu pergerakan, dia menyangga golok musuhnya dengan sarung kerisnya sekaligus menghunus kerisnya sendiri. Seterusnya dia menyepak libas ke rusuk kiri lawannya dengan pantas tiga kali berturut-turut. Tatkala tangan kiri orang itu berada di bawah kerana cuba menangkis tendangan Shakranta, pahlawan muda itu terus menghunjam leher bajingan itu dengan kerisnya lantas segera menamatkan riwayatnya.

Shankara pula diserang oleh seorang lawan yang menerkam ke arahnya dengan keris panjang. Sambil mengelak ke kanan, dirembatnya tangan kanan musuh dengan kaki kirinya sehabis tenaga. Keris panjang yang terhunus itu lalu terlepas daripada tangan orang itu lantas terpelanting ke udara, manakala keris Shankara sendiri membenam ke perut orang itu.

Demikianlah halnya, dua anak muda perantau, teruji getir dek tempur sengit dengan tiga belas orang bajingan tegar. Namun, berbekal semangat kental, didikan seni tempur yang jitu, berserta ilmu di dada yang sedia ada, mereka berjaya menumpaskan musuh-musuh mereka itu.

Tujuh daripada orang-orang itu gugur kecundang, tiga cedera parah maka merayu agar tidak dibunuh, sementara tiga lagi cedera ringan lalu mengorak langkah seribu, lari bertempiaran seperti angin ribut lajunya. Manakala Shakranta dan Shankara mengalami luka-luka di lengan, betis, bahu dan dada.

Lalu Shakranta dan Shankara dibawa balik oleh dua anak gadis bangsawan itu ke mahligai mereka, diiring oleh pengiring-pengiring mereka, untuk diberi rawatan sebaiknya oleh tabib negeri.

§        §        §
Hari itu cuacanya redup, angin dingin sepoi-sepoi bahasa bertiup membelai dahan nyiur di tepian pantai. Shakranta dan Shankara keluar bersiar-siar, menghirup udara pantai yang segar dan nyaman. Dalam mereka berjalan-jalan seiringan, mereka menoleh dan ternampak seorang yang berjalan agak pantas dari arah belakang mereka. Mereka meneruskan perjalanan mereka.

“Ehem,” orang itu berdehem, membersihkan tekaknya. Orangnya berpakaian elok dan kemas, bertubuh tinggi besar, berjambang lebat dan bermisai tebal melintang, berotot sasa.

Shakranta dan Shankara menoleh semula ke belakang, seterusnya segera menyimpang diri masing-masing ke tepi jalan.

“Maaf,” ujar Shakranta. “Kami terleka. Kami menghalang laluan tuan.”

“Oh! Tidak apa-apa. Laluannya cukup luas,” orang itu membalas sambil tersenyum lebar, menampakkan sebaris gigi besar putih berbaris rapi di tengah-tengah tumbuhan misai dan jambangnya yang subur. “Maaf, hamba terlalu tergesa-gesa. Gara-gara urusan penting. Terima kasih.”

Dia meneruskan perjalanannya beberapa langkah ke depan, kemudian beransur berhenti, lalu menoleh kembali ke belakang, kemudian berpatah balik semula. Keningnya berkerut sedikit seperti tiba-tiba teringatkan sesuatu.

“Maaf, rang muda berdua,” orang itu berkata. “Tapi ... dema berdua seperti pernah hamba lihat. Oh ya! Sekarang baru hamba ingat. Demalah ... dua anak muda ... yang telah menyelamatkan Sashmita dan Sashmina ... dua anak gadis sunti Narapati Wira Sakti ... puteri kembarnya ... daripada segerombolan penyamun liar tempoh hari ... bukan?”

“Kira-kiranya, begitulah, tuan,” jawab Shankara. “Kami sekadar menunaikan kewajipan kami.”

“Kami cuma melakukan apa yang termampu, tuan,” Shakranta menambah.

“Dan kemampuan dema berdua sungguh menakjubkan.”

“Terima kasih, tuan,” Shakranta dan Shankara membalas, hampir serentak.

“Tuan menyaksikan peristiwa itu?” tanya Shankara.

“Malangnya, tidak. Hamba tidak menyaksikannya sendiri. Tapi, orang-orang hamba bercerita panjang lebar tentangnya kepada hamba. Rata-rata mereka semua kagum dengan keberanian dan ketangkasan dema berdua. Kata mereka, sepanjang hayat mereka, belum pernah lagi mereka melihat mana-mana anak muda bertarung sehebat itu. Lalu mereka menunjukkan hamba ke arah diri dema berdua ... ketika kami bersiar-siar di kota di suatu petang ... dua tiga hari yang lalu.”

“Tuan orang tempatan?” tanya Shakranta.

“Tidak, hamba sekadar berkunjung ke sini kerana ada urusan. Oh! Maafkan hamba kerana berceloteh panjang tanpa memperkenalkan diri. Hamba Changhiza, dari Tambra Lingga.”

“Maaf,” ujar Shankara. “Tapi ... cara dan gaya tuan seperti ... seorang panglima. Mungkinkah tuan ... Panglima Changhiza ... yang tersohor itu?”

“Ya,” Shakranta menyampuk. “Hambapun menjangka begitu.”

“Dema berdua memang begitu tajam daya pemerhatiannya. Memang benarlah telahan dema. Alang-alang kita sudah berceloteh panjang ... siapakah gerangan dema berdua ... dan ... dari manakah asalnya?”

“Hamba Shankara, dari negeri Wura Wari, di Pulau Jawa,” ujar Shankara.

“Dan hamba Shakranta, dari Bukit Panau, di negeri yang bernama Kelantan Amdan Negara,” ujar Shakranta.

“Ohhh. Sudah begitu lama hamba tidak berkunjung ke kedua tempat itu. Kebetulan ... di samping telah diutuskan untuk menghadap Narapati Wira Sakti ... untuk menyampaikan selembar watikah daripada Raja Sujita ... hamba juga menjunjung titah Baginda ... supaya meninjau-ninjau dan mencari-cari ... seberapa ramai anak muda yang berbakat dan berminat ... untuk berkhidmat dengan ... bala tentera negeri baginda ... iaitu Negara Seri Dharmaraja.”

Di antara Shakranta dan Shankara saling toleh menoleh seketika, saling pandang memandang. Jantung mereka terasa bagaikan melonjak-lonjak kerana begitu teruja. Begitupun, air muka keduanya sedikitpun tidak berubah menukar wajah, agar yang tersirat dihati tidak begitu mudah diselami. Itulah antara petua pahlawan yang telah dididik dan diasuh kepada mereka sekian lama. Namun, di jiwa masing-masing sedia jelas faham apa yang terhasrat. Orang mengantuk disorongkan bantal. Pucuk dicita, ulam mendatang. Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

“Kalau begitu ... hamba ingin menawarkan diri hamba, tuan,” Shakranta bersuara jelas dengan nada tenang. “Itupun kalau diri ini dinilai sebagai layak.”

“Hamba juga demikian,” Shankara menyambung.

“Hamba rasa, bagi pihak Raja Sujita, hasrat dema berdua boleh diberi pertimbangan sewajarnya.”

“Terima kasih, Tuan Panglima,” ujar Shakranta.

“Ya, Tuan Panglima. Hamba juga berterima kasih.” ujar Shankara.

§        §        §

No comments:

Post a Comment