Beberapa tahun kemudian …
Sang suria bersinar terik di waktu lewat pagi, memancar cahaya jingga keemasan yang gilang-gemilang menerangi seluruh alam. Kepulan awan gemawan menghiasi langit yang biru seperti gumpalan kapas putih bersih murni. Angin bertiup menderu-deru, menyelinap lalu di celah-celah dedahan dan reranting pelbagai pepohon kayu yang tumbuh merata.
Kembang Seri Wangi menjemur kain baju seisi keluarganya yang baru selesai dibasuh, menyidainya di tali sabut yang terikat pada dua batang pokok sawa, berhampiran perigi. Tugasan pertamanya untuk hari itu hampir selesai. Berusia lima belas tahun, dia kini menjejak peringkat terawal alam remaja.
Pinang dan Nibung kedua-duanya pula sudah mencecah sepuluh tahun usia. Rangka tubuh mereka semakin pesat memanjang dan membesar, membayangkan bahawa mereka bakal mewarisi susuk badan mendiang bapa mereka masing-masing suatu hari nanti.
Mereka kini cukup bahagia tinggal bersama keluarga angkat mereka, Adhi Vira dan anak gadisnya Kembang Seri Wangi, di Gunung Sembatu. Tidak lagi mereka terganggu oleh igauan ngeri yang datang memburu di waktu malam, akibat peristiwa getir yang mereka alami di kampung halaman mereka yang asal di Bukit Panau ketika kecil.
Begitupun, sekali-sekala, salah seorang daripada mereka akan termenung sendirian. Seperti terimbau kembali kenangan pedih masa silam yang mustahil dilupakan sepenuhnya. Dari semasa ke semasa, dua orang bapa sepupu mereka, Utih dan Uda, datang berkunjung dari kampung untuk menziarahi mereka.
“Ayah,” Kembang Seri Wangi menyapa bapanya yang baru hendak bergerak ke ladang.
“Ya, Wangi,” Adhi Vira menyahut. “Ada apa, Nak?”
“Abang Utih dan Abang Uda, bila nak datang ke sini lagi?”
“Entahlah, Wangi. Tak dapat pulak Ayah nak menjawab. Mungkin mereka sibuk dengan kerja-kerja harian mereka. Mengapa pula itu yang kau tanya?”
“Tak ada apa-apa, Yah. Cuma … dah agak lama mereka berdua tak datang berkunjung. Ya lah kan … sekurang-kurangnya untuk menjenguk si Nibung dan si Pinang … anak sepupu mereka.”
“Alah, kau tu nak mendengar si Uda bercerita, kan?”
“Tau pun Ayah. Abang Uda tu … memang amat pandai bercerita. Katanya … dia selalu mendengar bermacam cerita daripada datuknya semasa kecil dulu. Dah lama Wangi tidak duduk mendengar cerita daripada dia.”
“Ohhh. Usahlah terlalu bimbang, Wangi. Ayah pasti … ketika mereka lapang bila-bila … nanti datanglah mereka.”
§ § §
“Hah! Dema semua … dengar ni,” ujar Utih. “Hari ni Uda ada angin baik untuk bercerita. Jadi … pandai-pandailah dema minta dengan dia … cerita jenis macam mana yang dema nak dengar.”
Kembang Seri Wangi berfikir sejenak. Manakala Nibung dan Pinang masing-masing menggaru kepala mereka.
“Kalau cerita Dewa Muda, lagu mana, boleh tak?” cadang Pinang.
“Ataupun … cerita Puteri Mayang Angin,” Nibung pula yang menyarankan.
“Atau … Puteri Gondang,” tambah Pinang lagi.
“Puteri Menora,” Nibung mencadang lagi.
“Cerang Tegayung.”
“Beringin Tenggarung.”
“Wei lah, dema berdua ni,” Utih menyampuk. “Tak nak ka cuba cerita lain pulak? Dah banyak kali sangat dah aku duk dengar yang tu jugak.”
“Ala, Pak Cik Uda,” tingkah Pinang. “Ceritalah apa-apa ceritapun … tak apa. Asalkan … ceritanya menarik … dan … membuat kita ghalit mendengarnya.”
“Ya, betul,” Nibung menyampuk. “Nibung setuju.”
“Ummm,” Kembang Seri Wangi akhirnya bersuara. “Lagu mana kalau kita nak dengar cerita tentang … perjuangan rakyat sebuah negeri … menentang penjajah dan … membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan? Ada tak cerita lagu tu, Abang Uda?”
“Hah!” Utih mencelah lantang, membuat semua yang lain tersentak. “Itu suatu cadangan yang baik. Kalau cerita lagu tu … pastinya menguja dan menyeronokkan.”
“Baiklah … hari ini … hamba akan berceritakan sebuah kisah … tentang perjuangan rakyat sebuah negeri … yang berjuang habis-habisan … untuk mengusir pihak penjajah asing … yang sekian lama menduduki negeri mereka,” demikian Uda bermula. “Dengan bantuan Naga Sakti Muna, Dewi Sungai dan Kuda Semberani.”
“Wei, wei!” Pinang berteriak teruja. “Cerita ini mesti sedap bukan main punya.”
“Tapi … sebelum itu … biar Pak Uda berceritakan dulu … kisah Puteri Menora … sebagai kisah pembuka tirai.”
“Wei! Wei! Lagu tu lah Pak Cik Uda,” Nibung bersorak keriangan kerana akhirnya salah satu cadangannya diterima.
“Alah, Pak Cik Uda ni. Sebab apa cerita Dewa Muda tak boleh pulak?” Pinang membentak, air mukanya mula suram sedikit.
“Cerita Dewa Muda kita simpan untuk besok. Nanti kalau semuanya dah habis Pak Cik Uda ceritakan hari ni, besok bosanlah pulak kita semua, kan?” ujar Uda.
Pinang segera tampak ceria semula wajahnya.
§ § §
Sekali persetua … tersebutlah pada suatu waktu … ada seorang pemburu bernama Perang Buana … yang tinggal di pinggir sebuah hutan di kaki Gunung Meru ... bernama Hutan Hima Vantha. Suatu hari … dia pergi merayau-rayau ke tengah hutan itu untuk berburu … dengan menonggang kuda serta diiringi pula oleh seekor serigala peliharaannya. Dalam mundar-mandir … ke hulu dan ke hilir … akhirnya Perang Buana sampai ke kaki sebuah bukit. Langsung dia beransur-ansur mendaki bukit tersebut hingga hampir ke puncaknya … kemudian turun semula di sebelah sana bukit itu … lalu menuruni sebuah bukau yang memisahkan di antaranya dan sebuah lagi bukit yang lebih besar.
Dalam merentasi bukau tersebut Perang Buana ternampak sebuah tasik besar yang seolah-olah bermandi cahaya gemilang bergemerlapan. Lalu diapun perlahan-lahan menghampiri tasik itu. Apabila sampai ke birai tasik ... dia meninjau-ninjau ke arah punca cahaya gemerlap itu … lalu ternampak olehnya sekumpulan gadis … seramai tujuh orang semuanya … semuanya amat elok dan anggun rupa parasnya … raut wajah kesemua mereka pula tepat seiras … serta berpakaian cantik adikara beraneka warna berkilau-kilauan. Anehnya … setiap seorang daripada mereka itu … bersayap dan berekor berkilat-kilat bulunya seperti burung … seolah-olah mereka itu … sejenis makhluk separuh unggas separuh manusia.
Nibung dan Pinang kini melopong semakin luas mulut mereka, kerana sungguh asyik dengan kisah yang diceritakan, membuat terpaku sebegitu tumpuan mereka.
Lalu baru teringat oleh Perang Buana daripada kisah-kisah yang pernah didengarinya daripada orang tua-tua. Rupa-rupanya tasik itu adalah Tasik Anu Dharsa … dan tujuh gadis itu adalah tujuh puteri daripada kalangan suatu kaum yang dipanggil orang kaum Kenari … yang kononnya berketurunan daripada Geroda … iaitu makhluk sakti separuh unggas separuh manusia yang menjadi tonggangan Sang Dewa Vishnu.
Maka apabila ketujuh puteri Kenari itu hendak turun bersiram di air tasik … seorang demi seorang mereka menanggalkan sayap dan ekor masing-masing lalu meninggalkannya berlonggok di pangkal sebatang pokok besar di tebing tasik. Yang terakhir menanggalkan sayap dan ekornya kebetulan pula yang paling anggun dan santun gerak-gerinya di antara ketujuh puteri itu.
Lalu Perang Buana terfikir pula … ‘Kalaulah dapatku tangkap puteri yang terakhir itu … dan ku persembahkan kepada sahabatku Raja Prasudhara … alangkah bahagianya baginda pastinya nanti’.
Maka seterusnya dia terfikir pula … ‘Tapi kalau aku terus meluru ke arahnya … pasti dia akan lari mengambil dan mengenakan semula sayap dan ekornya … lalu terbang melayang meninggalkan tasik ini serta-merta bersama enam lagi teman-temannya’.
Perang Buana berfikir sejenak … lalu ia mendapat suatu akal. Perlahan-lahan ia bergerak menyelinap melalui pokok-pokok semak … hingga sampai hampir dengan pokok besar tempat ketujuh puteri Kenari melonggokkan sayap mereka … lalu ia senyap-senyap mengambil sayap puteri Kenari yang ketujuh dan menyembunyikannya.
Apabila ketujuh puteri Kenari itu selesai bersiram, masing-masing bergerak menuju ke tebing, seorang demi seorang, ke arah tempat mereka melonggok sayap dan ekor mereka. Seterusnya mereka mengenakan semula sayap dan ekor mereka masing-masing, kecuali puteri ketujuh yang tidak dapat menemui sayap dan ekornya.
Ketika itu, Perang Buana menghampiri puteri ketujuh itu dari belakang pokok tadi, melayangkan tali jerat ke arah puteri itu, lalu berjaya menjeratnya. Puteri itu meronta-ronta untuk melepaskan diri namun tidak berupaya, manakala enam orang puteri Kenari yang lain terbang ke udara melarikan diri. Maka oleh Perang Buana dibawanya puteri yang terjerat itu ke istana, lalu dipersembahkan kepada sahabatnya Raja Prasudhara.
"Wei lah," Nibung menyampuk. "Jahatnya Perang Buana."
Raja Prasudhara pun amatlah gembira hatinya dengan puteri itu yang bernama Puteri Menora. Lalu baginda berusaha tanpa jemu memujuk puteri itu supaya terus tinggal di istananya dengan sepenuh rela hati. Lama kelamaan, di antara Raja Prasudhara dan Puteri Menora beransur saling jatuh cinta, di antara mereka kasih mengasihi, sayang menyayangi. Maka akhirnya Raja Prasudhara pun mengahwini Puteri Menora, seterusnya mengangkatnya menjadi permaisuri negeri. Raja Prasudhara bagaimanapun terus menyembunyikan sayap dan ekor Puteri Menora, kerana bimbang kalau-kalau Puteri Menora suatu hari nanti tergerak hatinya untuk terbang melarikan diri pulang ke negerinya sendiri.
Mulanya Puteri Menora amat membenci Perang Buana kerana perbuatan pemburu itu yang menjeratnya di Tasik Anu Dharsa. Namun, lama kelamaan, dia menerimanya sebagai ketentuan Sang Pencipta, kerana ia kesudahannya membawa kepada pertemuannya dengan Raja Prasudhara dan perkahwinannya dengan baginda. Lalu akhirnya Puteri Menora memaafkan Perang Buana.
Maka Penasihat Diraja pun amatlah dengkinya serta iri hati, kerana dia memang sudah lama menyimpan hasrat untuk menjodohkan anak gadisnya sendiri dengan Raja Prasudhara, dan berharap anaknya itulah yang akan dijadikan permaisuri raja. Apabila Raja Prasudhara meninggalkan istana untuk menentang musuh di perbatasan, Penasihat Diraja yang dirasuk kecewa lalu menabur racun fitnah kepada bunda Raja Prasudhara, menghasutnya, mendakwa kononnya Puteri Menora membawa sial majal ke istana. Kononnya kerana Puteri Menora itu bukanlah manusia sejati, dan segala petanda sial majal akan hanya lenyap apabila dia dihapuskan.
Lalu dia mencadangkan kepada bunda Raja Prasudhara supaya Puteri Menora dibakar hidup-hidup. Sungguhpun bunda Raja Prasudhara amat menyayangi Puteri Menora, dia juga berfikir bahawa dia harus melindungi puteranya sendiri daripada sebarang sial majal, maka dia dengan berat hati merestui cadangan Penasihat Diraja.
"Dahsyatnya dema tu," Pinang menyelit. "Zalimnya hati dema."
Puteri Menora merayu sayu memohon belas ehsan daripada bunda mertuanya agar diberi kesempatan terakhir menari tarian puja api di hadapan bunda mertuanya berserta seisi istana. Untuk menari tarian itu dengan sebaiknya dia perlu memakai sayap dan ekornya. Maka bunda mertuanya pun memberikan semula sayap dan ekor Puteri Menora kepadanya.
Di detik kemuncak tarian puja api, yang dilangsungkan di pentas terbuka, tanpa terduga oleh barang sesiapapun di kalangan khalayak penonton, Puteri Menora melompat tinggi ke udara, berkibas-kibas sayapnya, lantas terbang melayang meninggalkan pekarangan istana. Membawa diri dengan hati yang sungguh pilu dan hiba mengenangkan nasib dirinya yang sedikitpun tidak berdosa, namun teraniaya sebegitu rupa bahana kerenah kaum yang bernama 'Manusia'.
Begitupun, Puteri Menora sempat meninggalkan pesan kepada seorang inang, supaya memaklumkan kepada suaminya yang tercinta Raja Prasudhara, bahawa dia akan menunggu suaminya itu di Gunung Grahi Lharsa, dengan syarat Raja Prasudhara mesti tiba di sana sebelum berakhir tempoh tujuh tahun tujuh bulan tujuh hari. Kalau tidak, mereka berdua mustahil dapat ketemu kembali, maka akan terpisahlah di antara mereka buat selama-lamanya.
Raja Prasudhara beroleh kemenangan di medan perang. Namun apabila baginda kembali ke istananya, permaisurinya yang tercinta tiada lagi di sana. Dia telah melarikan diri, pulang kembali ke Gunung Grahi Lharsa, di negerinya sendiri, iaitu Kenari Negara. Raja Prasudhara bermuram durja, hatinya resah diruntun gundah gulana terkenangkan nasib malang yang telah menimpa permaisuri yang dikasihi. Setelah bermenung tanpa tidur tiga hari tiga malam, baginda akhirnya meminta sahabatnya Perang Buana mengiringinya sebagai penunjuk jalan ke Hutan Hima Vantha.
Perjalanan mereka begitu jauh, mengambil masa tujuh tahun tujuh bulan enam hari lamanya, untuk sampai di kaki Gunung Grahi Lharsa. Sungguhpun masa kini sudah begitu suntuk, baginda masih tidak dapat bertemu dengan Puteri Menora, yang istananya terletak di sebidang belebas yang luas berhampiran puncak gunung. Mujurnya, Raja Prasudhara berjaya melompat ke arah seekor burung Jentayu besar yang terbang berhampirannya, lalu dia berpaut pada kaki burung itu yang terbang membawanya ke istana Puteri Menora.
Raja negeri Kenari Negara, ayahanda kepada Puteri Menora, lalu meminta Raja Prasudhara membuktikan betapa tulus dan jujurnya cinta Raja Prasudhara kepada anakandanya. Katanya, jika Raja Prasudhara benar-benar menyintai anakandanya Puteri Menora, tentulah baginda dapat mengecamnya di kalangan enam orang kakak dan adiknya, yang semuanya tepat seiras wajah mereka.
Raja Prasudhara mengamati ketujuh puteri Kenari yang berdiri sebaris di hadapannya. Baginda langsung tidak dapat membezakan di antara puteri bertujuh itu, kerana di antara mereka memang salin tak tumpah sedikitpun wajahnya di antara satu sama lain. Jantungnya mula terasa bergoncang, kerana masa yang ada untuknya tinggal hanya beberapa detik sahaja lagi. Ataupun, mungkinkah akan tiada terjadi kesudahan yang lain, selain dirinya akan terhukum sebagai balasan terhadap penganiayaan pihak keluarganya ke atas Puteri Menora, maka segala daya usahanya bakal berakhir dengan kegagalan?
Mujurnya, cincin permata berlian gemerlap berwarna jernih kebiruan yang diberikan oleh Raja Prasudhara kepada Puteri Menora sebagai cincin perkahwinan masih bersarung erat di jari manis puteri itu, sungguhpun sudah tujuh tahun tujuh bulan tujuh hari mereka berdua terpisah. Raja Prasudhara lantas menghampiri Puteri Menora sambil menghulurkan tangannya, lalu segera disambut begitu mesra oleh Puteri Menora.
Sejurus kemudian, seorang kanak-kanak lelaki yang membawa busar mainan lengkap dengan panahnya sekali berlari memecut ke arah Raja Prasudhara, selepas meronta-ronta lalu meloloskan dirinya daripada pegangan inang pengasuhnya. ‘Ayahanda! Ayahanda!’, anak itu menjerit lantang.
Raja Prasudhara tercengang seketika, kerana anak itu amat agus dan elok rupa parasnya, pada keseluruhan wajahnya ada bahagian yang mirip wajahnya sendiri, manakala ada bahagian lain pula yang seiras dengan Puteri Menora. Lalu baginda duduk berlutut, direnungnya anak itu begitu lama, kemudian dibelainya muka dan rambutnya, seterusnya dipeluk erat dan diangkat anak itu lantas didukungnya. ‘Oh, Anakandaku,’ ujar Raja Prasudhara dengan nada sayu bercampur teruja, sementara Puteri Menora dan ayahandanya kedua-duanya tersenyum penuh gembira.
‘Apakah namamu, Anakandaku?’ sejurus kemudian Raja Prasudhara pun bertanya.
‘Namaku Lakshmana,’ anak itu menjawab dengan begitu bangga sekali.
Maka raja negeri Kenari Negara pun mencelah, ‘Cucunda Beta ini amat gemar sekali bermain dengan busar dan panah sejak kecil-kecil lagi,’ sambil tersenyum dengan begitu senang hati.
Lantas Puteri Menora pula menambah, ‘Seperti dia begitu serasi dengan nama yang Ayahanda berikan kepadanya,’ sambil melayangkan jelingan manja kepada suami tersayang.
‘Itu tandanya dia bakal menjadi seorang pahlawan hebat suatu hari nanti,’ Raja Prasudhara pula menyambung, penuh bahagia, sambil mengusap-usap kepala puteranya yang baru kali pertama baginda sendiri bertemu dan berkenalan dengannya.
Maka, demikianlah, Raja Prasudhara dan Puteri Menora yang terpisah sekian lama akhirnya bertemu dan bersatu kembali. Mereka dikurniakan enam orang anak lagi seterusnya. Lalu keduanya hidup bahagia sejahtera serta aman damai bersama putera-putera dan puteri-puteri kesayangan mereka berdua hingga ke akhir hayat.
Uda berhenti seketika, meneguk air kelapa muda yang dihidang oleh Kembang Seri Wangi.
“Wei lah! Sedapnya cerita!” Nibung bertepuk tangan, sambil menoleh ke arah kakaknya. “Wei, wei! Kenapa mata Kak Wangi nampak berair?”
“Angin kuat sangat, Nibung,” jawab Kembang Seri Wangi. “Pedih mata Kak.”
“Kau ni Nibung, bodohnya,” si Pinang mendengus. “Kak Wangi tu, terusik jiwanya, kerana di pertengahan ceritanya agak sedih sedikit.”
“Tapi kesudahannya begitu syahdu dan manis membahagiakan,” ujar Kembang Seri Wangi sambil mengesat-ngesat birai matanya.
“Baiklah, kanak-kanak sekalian,’ Utih bersuara. “Sebelum kita bermula dengan cerita seterusnya, ada apa perkara yang dema mahu nyatakan?”
“Ada, Abang Utih,” Kembang Seri Wangi mengunjukkan sedikit pisang rebus dan keledek bakar kepada Utih dan Uda serta adik-adiknya. “Kata Ayah, setiap cerita orang tua-tua itu ada pengajaran yang terselit di dalamnya. Lalu, sebaiknya, kita mesti mencari apakah dia pengajaran itu.”
“Itu benar, Wangi,” jawab si Utih. “Baiklah, kamu bertiga masing-masing berikan salah satu watak daripada cerita tadi dan pengajaran yang boleh kita ambil daripadanya.”
“Penasihat Diraja, Pak Utih,” ujar Nibung sambil mengunyah sekeping keledek bakar. “Oleh sebab hasad dengkinyalah Puteri Menora yang tidak berdosa itu teraniaya. Orang jahat sepertinya seharusnya dihukum dengan hukuman yang setimpal dengan perbuatannya.”
“Perang Buana, Pak Utih,” Pinang pula mengajukan pendapatnya. “Kesetiaannya kepada sahabatnya, Raja Prasudhara, yang membuat bertemunya Puteri Menora dengan Raja Prasudhara.”
“Wangi suka dengan cara Puteri Menora,” Kembang Seri Wangi memberi pandangan. “Sungguhpun dia teraniaya, dia tetap setia kepada suami tercinta, serta sabar dan tabah menghadapi segala dugaan, membolehkan mereka berdua bertemu dan bersatu kembali setelah terpisah sekian lama. Dan ... dia masih dapat bertenang tenteram dan berfikir waras dalam keadaan tertekan ... yang membolehkannya mencari akal dan membuat perancangan bijaksana untuk menyelamatkan dirinya daripada kecelakaan.”
“Itu saja?” tanya Utih lagi. "Atau ada lagi?"
“Ummm … bunda kepada Raja Prasudhara,” ujar Nibung lagi. “Wataknya lemah … sungguhpun dia umumnya berhati baik ... dia terlalu mudah terpengaruh dengan hasutan ... hingga membuat menantunya sendiri teraniaya. Sifat sebegitu tidak wajar menjadi ikutan.”
“Raja Prasudhara,” Pinang bersuara. “Baginda seorang yang cekal hati dan waja diri. Baginda sanggup menghadapi pelbagai dugaan … dan mengharungi bermacam pancaroba … untuk mencari dan menemukan semula permaisurinya yang tercinta … namun baginda tidak pernah berputus asa … hingga akhirnya baginda berjaya.”
“Raja negeri Kenari Negara juga seorang yang hebat,” Kembang Seri Wangi menambah. “Baginda bersikap terbuka dan pemaaf … baginda tidak menyimpan sebarang dendam kusumat yang tidak berkesudahan … sungguhpun puteri baginda sendiri teraniaya demikian rupa."
No comments:
Post a Comment