Thursday, November 25, 2010

Bab 18: Gelisah Chinta Kirana

Chinta Kirana merenung jauh ke ufuk barat. Memerhati penuh bermuram durja kelibat sang surya yang beransur berundur diri di belakang tabir gunung-ganang nan tinggi menjulang.

Sejak ketiadaan Ozalan, dirinya terasa seperti terumbang-ambing dan hilang pedoman. Semua yang dibuatnya terasa seperti tidak kena. Makan tak lalu, mandi tak basah, tidurpun tak lena. Jiwanya sering diburu bimbang. Gundah gulana tak henti meruntun kalbu. Bagaimanakah agaknya dia mampu melalui hari-hari mendatang … hari-hari yang semakin sepi … sendiri … Alangkah baiknya andainya dirinya tiba-tiba beroleh kesaktian … yang memberi upaya kepadanya … untuk berkirim dan bertanya khabar berita … dengan sang bayu ataupun sang bulan … kepada orang yang tercinta …

Bila terasa terlalu rindu … hanya Shahpur kuda padi jantan Ozalan … dan Khanum kuda padi betina kesayangannya sendiri … pemberian ibunya Isabelle ... yang menjadi tempat mengadu. Dia akan membawa kedua haiwan itu keluar bersiar-siar … menonggang keduanya bergilir-gilir … bertutur kata dengan mereka … dan mereka seolah-olah memahami derita jiwanya.

“Oh hujan … bersihkanlah wajahku … daripada air yang menitis dari mataku. Oh angin … redakanlah diriku … daripada resah yang membunga dari hatiku.” Demikian dia sering merintih seorang diri kepada puteri-puteri alam … mereka yang juga menjadi sahabat setianya.

Raja Shakranta dan permaisurinya Ratu Isabelle turut terburu kerisauan melihat gelagat puteri kesayangan mereka yang semakin tak menentu. Puteri yang kini berumur tiga belas tahun … pangkal usia remaja yang sememangnya mengundang aneka pancaroba …

Kepergian Ozalan pun atas kehendak Shakranta jua. Demi keselamatan serta kesejahteraan bumi Amdan Negara. Dia berkunjung ke kota Konstantinople, di negeri Byzantium, untuk meninjau dan memperoleh kelengkapan ketenteraan baru yang diperlukan. Di samping menyuburkan kembali hubungan baik dengan kawan lama. Serta melebarkan jaringan siasah dan iktisad dengan negeri yang ingin bersahabat. Juga berusaha membuka pasaran baru untuk barangan dagang dari Amdan Negara, sekaligus seluruh Persekutuan Langkasuka.

Shakranta dan Isabelle memang tahu benar, bahawa puteri mereka itu amat rapat dan manja dengan Ozalan. Sejak kecil lagi Chinta Kirana menganggap Ozalan sebagai seorang abang. Namun mereka tidak menyangka dia akan merindui Ozalan hingga sebegitu rupa. Hendak dikatakan keresahan gadis bercinta, anak gadis itu baru  benar mencecah usia remaja.

Namun kerinduan Chinta Kirana terhadap Ozalan ternyata melebihi gulana cinta seorang wanita yang jauh lebih dewasa. Apakan daya Shakranta dan Isabelle. Tiada apa yang mampu mereka lakukan. Selain terus menjaga dan membelai puteri tunggal mereka dengan penuh kasih sayang ibu bapa. Di samping bersabar menunggu kepulangan Ozalan ke bumi Langkasuka. Serta sering berdoa agar kesejahteraan sentiasa menyelubungi dirinya.

§
“Chinta,” Isabelle menyapa puterinya.

“Ya, Bunda,” jawab Chinta Kirana.

“Anakanda ... kurang sihat kah?”

“Tidak, Bunda. Anakanda biasa aja. Mengapa Bunda bertanya begitu?”

“Tidak ada apa-apa. Cuma ... Bunda lihat seperti ... Anakanda tidak begitu bermaya sejak akhir-akhir ini. Kiranya ada sesuatu ... yang membuat Anakanda gundah gulana ... berkongsilah ia dengan Bunda. Kerana ... sesuatu beban yang berat itu, kalau ditanggung bersama, maka akan menjadi ringanlah ia.”

“Tapi, Bunda. Ia sesuatu yang terlalu peribadi. Malu pula rasanya Anakanda untuk memberitahu Bunda.”

“Kalau begitu, baiklah. Bunda tidak akan memaksa Anakanda. Bagaimanapun, Bunda ini adalah ibu. Sebagai seorang ibu, Bunda bertanggungjawab membantu Anakanda bila-bila diperlukan.”

Kedua mereka kemudian terdiam sejenak.

“Umm, Bunda,” Chinta Kirana tiba-tiba bersuara semula.

“Ya, Anakanda.”

“Bunda ... pernahkah mengalami ... perasaan yang dipanggil orang ... cinta?”

“Cinta? Cinta seperti ... sayang?”

“Ya.”

“Ohhh. Itu sesuatu yang sentiasa Bunda alami. Sebagaimana Bunda sentiasa cinta dan sayang kepada Anakanda.”

“Alah, Bunda ni. Buat tak faham pulak.”

“Habis, cinta yang bagaimana pulak tu?”

“Maksud Anakanda, cinta yang kita rasa terhadap seseorang yang kita sayang, tetapi orang itu bukan anak kita, atau ibu bapa kita, atau saudara kandung kita.”

“Ohhh, cinta itu. Pernah. Cuma ... Bunda terpaksa memendamkannya untuk beberapa lama ... ... kerana Bunda merasakan ... keadaan di waktu mulanya ... belum sesuai masanya.”

“Maka, siapakah orangnya?”

“Cubalah Anakanda teka.”

“Ayahanda, kan?”

“Betul. Tepat sekali.”

“Bunda seorang wanita yang sungguh bertuah.”

“Kerana?”

“Kerana Bunda bertemu dengan seorang lelaki yang hebat seperti Ayahanda.”

“Anakanda juga akan bertemu dengan seseorang seperti itu suatu hari nanti. Bunda pasti.”

“Umm ... Bunda. Sebenarnya, Anakanda rasa, Anakanda memang sudah menemui orang itu. Cuma ... entahlah ...”

“Anakanda ... usia Anakanda masih terlalu muda. Janganlah terlalu dirisaukan tentang cinta atau perkara yang serupa. Anakanda masih mempunyai banyak masa lagi dalam hidup Anakanda. Bila tiba masanya nanti, segala-galanya akan muncul dan berlaku seperti yang Anakanda idamkan. Janganlah Anakanda begitu bimbang.”

Chinta Kirana terdiam sejenak.

“Anakanda ... merindui ... Oja ... kan?”

Tiba-tiba Chinta Kirana meluru ke arah ibunya, membenamkan mukanya di dada wanita yang tinggi lampai itu, dan memeluknya rapat-rapat.

“Benar, Bunda,” jawab Chinta Kirana dengan nada agak sayu. “Bagaimanakah Bunda dapat meneka?”

“Hai, Anakanda. Bunda ni kan orang lama. Sekelibat ikan di air, sudah Bunda tahu jantan betinanya.”

“Bunda. Anakanda khuatir ... kalau-kalau ... sesuatu yang tidak diingini ... menimpa Abang Oja ... dan dia tidak kembali ke Amdan Negara ... dan ... ke kediaman kita ini.” Suaranya seperti mula sebak.

“Tidak, Chinta. Janganlah itu yang Anakanda bimbangkan. Oja itu bukan seorang pemuda sembarangan. Anakandapun pasti sudah tahu, kan? Dia akan pandai menjaga dirinya. Malah, itulah yang membuat Ayahanda dan Bunda sendiri memilihnya untuk menyempurnakan tugas yang mencabar seperti itu. Kerana dialah orang yang kami berdua anggap paling sesuai dan berkemampuan untuknya.”

“Terima kasih, Bunda. Kerana begitu prihatin terhadap Anakanda.”

“Sama-sama, Anakanda. Sekarang, apa kata kalau kita keluar menonggang bersama. Menghirup angin segar serta nyaman di pinggir desa dan dilereng bukit. Sambil melihat padi yang sedang menguning, dan buah-buahan bermusim yang hampir masak.”

“Itu cadangan yang baik, Bunda. Anakanda juga sudah agak lama tidak menonggang. Shahpur, kuda Abang Oja, pun pasti menginginkan sedikit larian di kawasan lapang. Menderap, meligas dan merejang hingga sepuas hatinya.”

Tiba-tiba kedengaran ringkikan galak seekor kuda jantan remaja dari sekitar pekarangan Mahligai Dharmakusuma. Shahpur, kuda Ozalan, rupanya. Seolah-olah ia dapat mendengar dan memahami perbualan di antara Chinta Kirana dan ibunya.

“Kalau begitu, biar Bunda menonggang Srikandhi, dan Anakanda menonggang Shahpur.”

“Baiklah, Bunda. Dan kita bawa Khanum ikut bersama.”

§
Selepas beberapa lama menonggang, menghirup udara nyaman dan menonton alam nan indah, merentas lereng bukit, tanah ladang, sawah padi dan lembah sungai, Isabelle mengajak puterinya bersiar-siar di taman bunga pula.

“Bunda dulupun … kali pertama bertemu Ayahanda di Byzantium … masih gadis sunti, kan?” Chinta Kirana memetik sekuntum mawar ungu, menghirup keharuman baunya.

“Ya. Ketika itu Ayahandamu berusia hampir sebaya dengan Ozalan kini. Kalau lebihpun sedikit aja.”

“Bunda dan Ayahanda … adakah jatuh cinta … pada pandang pertama?”

“Oh, tidak. Bunda ketika itu baru berusia dua belas tahun … setahun lebih muda daripada anakanda kini. Begitupun Bunda memang mengaguminya … kerana dia jelas kelihatan seperti seorang kesatria hebat … namun di wajahnya terpancar cahaya hati murni yang terisi belas ehsan.”

“Lalu … bagaimanakah bermulanya … kisah pertemuan pertama … Bunda dan Ayahanda?”

“Bunda ketika itu gadis abdi … di kalangan beberapa ramai abdi lain yang pemilik kami sedang berusaha menjual … maka bagi orang seperti kami … sentiasa berharapkan mendapat seorang tuan yang baik hati. Kebetulan … Ozalan dan juga ibunya Shamira … juga dimiliki oleh saudagar abdi yang sama … Kolanos namanya.”

“Ayahanda tidak tahu … ketika itu … yang Bunda asalnya seorang puteri?”

“Tidak. Bunda hanya memberitahunya tentang itu setelah Anakanda berusia dua tahun lebih.”

“Mengapa pula Bunda berahsia begitu?”

“Kerana Bunda mahu memastikan … bahawa sekiranya dia mengahwini Bunda … ia adalah kerana cinta sejati yang tulus murni … bukan kerana dia mengagumi darjat atau asal usul Bunda.”

“Umm, pandai betul Bunda ni. Habis … apakah peristiwa … yang membuat Bunda dan Abang Oja … ikut belayar bersama Ayahanda ke bumi Langkasuka?”

“Ketika Ayahandamu hampir beredar dari tempat Bunda … entah bagaimana … Bunda berjaya meyakinkannya … supaya membeli Bunda untuk membantunya … mendidik dan menjaga sepasang anak kuda perang Norman yang baru dibelinya.”

“Kshatriya dan Srikandhi?”

“Benar.”

“Itu saja?”

“Ya. Pada mulanya … itu saja. Bunda sekadar menginginkan seorang tuan yang baik hati … dan Ayahandamu pula … dia memerlukan seorang pekerja yang berkemampuan mendidik anak-anak kudanya … supaya membesar menjadi … kuda-kuda perang yang hebat. Cinta kami hanya berbunga ketara … tujuh tahun selepas detik pertama. Sungguhpun ia mungkin sudah mula berputik … lama sebelumnya.”

“Bagaimana pula dengan Abang Oja?”

“Keesokan harinya … sebelum bertolak meninggalkan kota Konstantinople … Bunda mengajak Ayahandamu ke pasar abdi buat kali terakhir … untuk Bunda mengucapkan selamat tinggal kepada sahabat Bunda … iaitu Shamira dan Ozalan dua beranak.”

“Lalu?”

“Bunda terserempak dengan Ozalan di pertengahan jalan. Dia sedang menangis teresak-esak. Bila ditanya mengapa … dia memberitahu Bunda … bahawa ibunya meninggal dunia. Menjadikannya yang berusia baru enam tahun ketika itu … seorang anak yatim piatu.”

“Kesiannya Abang Oja. Kemudian?”

“Kolanos tiba-tiba muncul dan membedalnya beberapa kali dari belakang dengan rotan … kononnya kerana Ozalan merayau terlalu jauh dari tempatnya.”

“Wei lah … teruknya orang tu, ya Bunda?”

“Memang. Kolanos seorang saudagar abdi yang kejam dan ganas. Bunda cuba melindungi Ozalan … tapi tidak berkemampuan.”

“Bagaimana?

“Bunda menghadang Ozalan daripada Kolanos dengan tubuh bunda. Apabila Kolanos masih mahu menghayun rotannya sekali lagi ... Bundapun sudah hilang sabar. Bunda melompat ke arah Kolanos ... lalu bergayut dilengan kanannya yang memegang rotan itu ... langsung menggigit lengannya dengan sehabis kekuatan … supaya dia berhenti merotan Ozalan. Tapi Kolanos menumbuk kepala Bunda hingga Bunda rebah tersungkur berguling banting.”

“Habis?”

“Ayahandamu membelasah Kolanos sehingga pengsan. Kemudian … dia mengajak Ozalan ikut bersama kami. Lalu dengan itu tertunailah permintaan terakhir Shamira kepada Bunda.”

"Permintaan apakah itu, Bunda?"

"Shamira berpesan kepada Bunda ... beberapa hari sebelum itu ... supaya berikhtiar sedaya upaya Bunda ... untuk membawa Ozalan bersama Bunda ... ke mana saja Bunda pergi ... andainya sesuatu berlaku kepada dirinya."

“Seperti dia memang sudah menjangkanya, ya Bunda? Habis … Ayahanda membawa Bunda dan Abang Oja … pulang ke Amdan Negara … sebagai abdinya?”

“Tidak. Tidak sebagai abdi. Dia memerdekakan kami berdua sejurus sebelum kami melangkah masuk ke dalam bahteranya ... sebelum bahtera belayar menyeberang Selat Bosporus ... menuju ke tanah besar Antalya. Dia memberi kami pilihan … sama ada mahu pergi ke mana-mana tempat yang kami suka … atau ikut bersamanya hingga ke Amdan Negara. Kami memilih untuk ikut bersamanya.”

“Oh, hebatnya. Begitu indah kisah pertemuan Bunda, Ayahanda dan Abang Oja.”

§

Bab 19: Kepulangan Ozalan




Ozalan mengamati dengan bersahaja wanita yang berjalan menyilang tidak begitu jauh di hadapannya. Wanita itu seperti pernah dilihatnya. Orangnya cantik dan anggun, fikir Ozalan, apabila wanita itu semakin hampir dengannya. Bertubuh tinggi besar bagi seorang wanita. Matanya berwarna perang madu. Bulu matanya panjang lentik. Bulu keningnya lebat. Rambutnya berwarna biji kundang serta keriting berombak, lebat dan panjang mengurai hingga ke pinggang. Kelibatnya agak hebat. Persis seorang serikandi, fikir Ozalan. Ohhh! Ibunya Shamira rupanya.

“Ibuuu!!!” Ozalan berteriak sambil meluru ke arah wanita itu, lantas memeluknya erat-erat.
  
“Ojaaa!!!” balas wanita itu, tersentak sedikit. Dia membelai-belai dan mengusap-ngusap muka serta rambut anak tunggal kesayangannya itu. “Kau ka? Kau dah besar rupanya, Sayang. Kacak dan tampan pula. Salin tak tumpah seperti arwah Ayahmu. Apa khabar kau, Oja? Begitu lama kita tidak bertemu.”

“Baik-baik aja, Bu. Ibu apa khabar?”

“Ibupun baik-baik aja.”

"Oja tinggal bersama Zibâ Baji."

“Isabelle? Ohhh. Di manakah itu?”

“Di rumah ... di mahligai … seorang ratu dan saudagar … Ratu Agung Kembang Seri Wangi. Di sebuah negeri bernama … Amdan Negara ... nun jauh di timur dari Byzantium ini. Anaknya … bernama Putera Shakranta ... dia Putera Mahkota sekaligus Panglima Agung. Dia juga ... seorang pahlawan hebat. Seperti Ayah. Mereka baik orangnya."

"Ohhh. Bagaimana pula dengan Isabelle? Apa khabar dia sekarang?"

"Zibâ Baji ... telah berkahwin ... dengan Putera Shakranta. Mereka mempunyai seorang puteri ... Puteri Chinta Kirana namanya. Dan rupa-rupanya ... Zibâ Baji juga asalnya seorang puteri.”

“Ohhh! Bertuahnya Isabelle. Baguslah kalau begitu, Oja. Jagailah dirimu baik-baik. Sampaikan salamku kepada Isabelle. Puteri Isabelle. Walau apa yang terjadi, jangan sekali-kali dibiarkan jatuh martabat keluarga kita. Kau juga seorang putera. Maka jiwailah kemuliaan hati dan kemurnian diri seorang putera sejati.”

“Apa??? Oja seorang putera???”

“Benar, Oja. Kerana Ayahmu, Panglima Uzulmez, dia adalah seorang yabghu. Seorang putera Turkmen di kalangan beberapa gerombolan orang Turkmen puak Oghuz. Dia bersaudara rapat dengan Yabghu Arslan, putera kepada Yabghu Sarjuq. Kalau kau berpeluang bertemu dengan kaum Turkmen kemudian hari ... kau carilah Arslan serta kaum keluarganya."

"Daripada apa yang Oja dengar ... daripada seorang sahabat berbangsa Turkmen ...  Tegrud namanya ... Panglima Tegrud ... kalau tak silap ... Yabghu Arslan kini menyandang jawatan Kudarkin … iaitu Panglima Agung … sebagai pengganti ayahandanya … bagi gerombolan pahlawan perantau puak Turkmen Oghuz … dalam bala tentera kerajaan Khwarezm.”

"Kalau begitu ... memang lebih patut lagi kau mencarinya ... dan mengunjunginya."

“Tapi, Bu,” balas Ozalan dengan nada ragu. “Bagaimanakah Arslan akan mengenaliku? Dan mungkinkah dia akan menerimaku sebagai sanak saudaranya?”

“Ojaaa ... Arslan itu berkerabat rapat dengan Ayahmu. Dia pasti bahagia dapat bertemu denganmu. Tunjukkanlah pingat emas berantai berukirkan gambaran Helang Oghuz, iaitu cop mohor keluarga Ayahmu, sekaligus juga seluruh puak Turkmen Oghuz, peninggalan Ayahmu itu kepadanya. Sebagai buktinya bahawa ... kau adalah putera kepada ... Yabghu Uzulmez. Selain itu ... bukti yang lebih kuat lagi adalah ... wajahmu sendiri. Kerana kau salin tak tumpah mirip Ayahmu. Hanya warna matamu ... dan keriting rambutmu itu ... yang mirip Ibu.”

“Baiklah, Ibu. Oja akan mengusahakannya. Andainya Oja bertemu kesempatan itu. Oja pun ... pasti bahagia ... jika dapat bertemu sanak saudara.”

“Baiklah, Oja. Ibu harus pergi sekarang. Ingatlah pesanan Ibu. Pertahankanlah negerimu. Dan lindungilah sahabat-sahabatmu. Pupuklah sikap itu dalam dirimu, walau ke mana kau pergi, walau di mana kau berada. Berhubung maruah diri jangan sekali-kali bertolak ansur … kerana akhirnya itu akan merugikan diri sendiri. Banyakkan memberi daripada menerima … lebihkan menolong daripada ditolong. Nescaya hidupmu akan sentiasa sejahtera. Ibu pergi dulu, Sayang. Selamat tinggal, anakku.”

Wanita itu bergerak meninggalkannya … lalu beransur hilang daripada pandangan.

“Ibu!!! Jangan tinggalkan Oja! Tunggu! Ibuuuu!!!”

Ozalan bingkas bangun untuk mengejar wanita itu. Dia seterusnya tersedar daripada tidurnya. Suasana sekeliling kini gelap gelita. Dia menggosok-gosok matanya. Rupa-rupanya ... dia bermimpi. Dia telah tertidur di atas sebuah bongkah batu besar di sekitar tempat dia selalu bermain-main di masa kecilnya ... dua puluh tiga tahun yang lalu ... berhampiran kawasan lelongan abdi di pasar utama kota Konstantinople.

Pingat emas berantai? Helang Oghuz? Peninggalan Ayahnya? Namun, seingat-ingatnya, dia tidak pernah melihat sebarang benda seperti itu sepanjang hayatnya. Mungkinkah Zibâ Baji tahu menahu sesuatu tentangnya? Dia akan bertanya kepada Zibâ Baji mengenainya bila sudah pulang ke Amdan Negara nanti. Dalam mengelamun mengenang kembali kenangan zaman kecilnya di Bolgarsko Tsarsvo dan di Byzantium yang kini begitu samar ... dia beransur terlena kembali.

§
Kepulangan Ozalan dari Byzantium disambut begitu gembira oleh keluarga Dharmakusuma. Chinta Kiranalah orang yang paling bahagia setelah begitu lama merindui kehadiran Ozalan. Setelah empat tahun dalam penantian, terpisah dengan orang yang disayanginya, membawanya ke usia tujuh belas tahun, dia kini semakin jauh berada dalam alam remaja.

Ozalan menghadiahkan Kembang Seri Wangi, Isabelle dan Chinta Kirana pelbagai jenis kain bafta Parsi dan Byzantium yang amat elok dan anggun mutunya serta penuh adiwarna. Membuat ketiga mereka begitu teruja. Tidak ketinggalan, Mak Utih, Mak Busu serta isteri Tuk Pinang dan isteri Tuk Nibung masing-masing juga menerima hadiah istimewa daripada Ozalan.

“Tuan Putera,” ujar Ozalan. “Hamba membawa dua berita dari Rantau Barat. Yang satu berita bahagia. Yang satu lagi berita pilu.”

“Berikan dulu berita yang buruk kepadaku.”

“Berita buruknya ... Maharaja Basileios II, Maharaja Byzantium, sahabat Tuan Putera ... Baginda jatuh gering. Namun baginda berkirim salam selamat sejahtera kepada Tuanku serta Puan Puteri Isabelle.”

“Ohhh. Usianya pun sudah agak lanjut. Bersama-samalah kita doakan agar Baginda beransur baik semula. Dan berita baiknya?”

“Berita baiknya ... hamba bertemu Panglima Tegrud di Konya … dan juga Panglima Ashgar di Esfahan ... keduanya juga sahabat Tuan Putera. Panglima Tegrud kini berkhidmat sebagai pahlawan jurulatih dengan bala tentera Turkmen Oghuz.  Manakala Panglima Ashgar kini seorang saudagar seperti Tuan Putera. Dia banyak membantu hamba.”

“Teruskan,” ujar Shakranta.

“Panglima Tegrud mengajak hamba berkhidmat sebagai pahlawan perantau dengan bala tentera puak Turkmen Oghuz. Mereka kini sedang berkembang pesat pengaruh dan kekuasaannya. Ramai orang percaya bahawa mereka bakal mencabar keunggulan kerajaan Parsi serta Byzantium di Rantau Barat suatu hari nanti. Namun, anak saudara Panglima Tegrud, Yilmaz, sahabat hamba ini, lebih terpesona dengan kisah-kisah tentang Suvarna Bhumi dan Suvarna Dvipa, maka dia teruja untuk ikut bersama hamba ke bumi Langkasuka, untuk melihat dengan mata kepalanya sendiri.”

“Selamat datang ke Kelantan Amdan Negara, Yilmaz. Kita harap kamu akan gembira tinggal di sini bersama kami.”

"Terima kasih, Tuan Putera," anak muda itu menjawab. "Memang hamba pasti kedatangan hamba ke sini tidak akan sia-sia. Suasana yang hamba lihat setakat ini ... malah lebih baik dan indah daripada yang hamba dengar. Dan ... orang-orang di sini ... sungguh ramah dan mesra ... dengan perantau yang baru saja mereka temui ... seperti hamba."

“Panglima Ashgar pula menjemput hamba menginap di sebuah rumah tetamu miliknya semasa di Esfahan," Ozalan meneruskan. "Dan dia memperkenalkan hamba kepada adik bongsunya ... Saudagar Mehrdad. Maka ... daripada tujuh ratus ekor kuda yang Tuanku suruh hamba beli ... empat ratus daripadanya ... kuda Thessalia, kuda Armenia, kuda Arab, kuda Kambhoja dan kuda Turkestan ... semuanya jenis kuda pelari … mereka berdualah yang berusaha mendapatkannya untuk hamba. Hanya kuda Norman ... iaitu kuda penggempur … yang tiga ratus ekor itu ... yang hamba sendiri mencarikannya di Byzantium.”

“Bagus! Bagus! Panglima Ashgar seorang pahlawan dan penonggang kuda yang hebat. Dia pasti tahu jenis kuda bagaimana yang paling sesuai untuk keperluan bala tentera sesebuah negeri. Kau tidak menjemput mereka berdua datang ke Amdan Negara?”

“Hamba memang menjemput mereka. Tapi ... Panglima Ashgar terlalu sibuk dengan urusan perdagangan. Dia berterima kasih dan meminta maaf kerana belum dapat datang buat masa ini. Dia juga berkirim salam sejahtera kepada Tuan Putera serta Puan Puteri Isabelle. Hanya Mehrdad yang dapat datang. Kebetulan dia perlu menguruskan hal perniagaan keluarganya di Benua Hindi dan di Rantau Tenggara. Maka ... hamba menyewa tiga buah bahtera mereka untuk ... membawa balik kuda-kuda Tuanku terlebih dahulu.”

“Mehrdad tidak berkesempatan berkunjung ke rumahku?”

“Dia masih berada di pelabuhan Ruhuna ... di Singhala Nagara. Belum selesai menguruskan hal perniagaannya Dia memang ingin benar untuk bertemu dengan Tuan Putera. Itu pesanan bapanya. Jangkanya ... dia akan tiba di Amdan Negara ... dalam sebulan dua. Dia juga meminta ... kalau-kalau Tuan Putera ada barangan dari rantau ini yang sesuai diperdagangkannya di Rantau Barat ... dia ingin melihatnya.”

“Baiklah, kalau begitu. Nanti kau bantu Kita dan Puteri Isabelle untuk mengenal pasti dan mencarikan barang-barang itu. Ini boleh membuka peluang perdagangan yang hebat untuk kedua-dua belah pihak.”

“Baik, Tuan Putera. Hamba mulakan sekarang.”

“Begitu banyak jenis barangan yang sesuai, Kanda,” Isabelle yang baru keluar dari kamar menyampuk. Rupanya dia terdengar perbualan Shakranta dengan Ozalan. “Damar, kayu gaharu, sumbu badak, gading gajah, lada hitam, rempah ratus ... semuanya boleh kita bawa ke pasaran di Parsi, Mesir, Baghdad dan Byzantium. Bunga cengkih, buah pala, kapur barus. Dinda dengar, akhir-akhir ini hanya orang-orang Tamil Chola Mandalam yang melakukan itu. Mereka yang membolot perdagangannya kini di Rantau Barat. Namun itu semua pernah dibuat oleh para saudagar dari bumi Langkasuka ini ... dan seluruh kepulauan Suvarna Dvipa dua abad yang lalu.”

"Memang benar seperti kata Dinda itu," akal Shakranta segera berputar ligat. Rangkai hubung perdagangan sahabatnya Panglima Ashgar di Parsi dan kawasan sekitarnya berkemungkinan baik untuk membantu menjulang jumlah barangan yang boleh diperdagangkan olehnya di pasaran Rantau Barat.

“Oh! Dan jangan lupa, Oja," sambung Shakranta. "Hubungi dengan kadar segera sahabatku di Jambi ... Panglima Shankara ... dan dapatkan senarai barangan sesuai dari Pulau Sumatra dan Pulau Jawa yang boleh dia bekalkan kepada kita. Dapatkan jawapan daripadanya sebelum Saudagar Mehrdad tiba di sini. Sampaikan juga jemputan Beta kepada dia dan seisi keluarganya untuk datang berkunjung ke Amdan Negara.”

“Baik, Tuan Putera. Hamba akan usahakan semua itu dengan sebaiknya.”

“Ada barangan baru yang menarik untuk kegunaan bala tentera kita?” tanya Shakranta.

“Ada, Tuan Putera,” jawab Ozalan. “Ini … baju rantai … untuk diguna sebagai pakaian perisai ... bagi melindungi daripada tusukan atau libasan senjata tajam … ia tidak lut oleh sebarang senjata … kecuali jika dihunjam atau dirembat dengan kekuatan raksaksa.”

“Ohhh … Kita pernah melihat baju perisai seperti itu di Byzantium dulu … tapi Kita tidak begitu berminat dengannya … ia terlalu berat dan panas untuk dipakai dengan selesa oleh pahlawan Amdan Negara … maka akan mengurangkan kesesuaiannya sebagai pakaian pelindung.”

“Tapi yang hamba bawa balik ini reka cipta terbaru. Reka cipta Parsi, Tuan Putera. Ia jauh lebih ringan daripada reka cipta Byzantium yang lama … dan jauh lebih telus udara … maka jauh lebih selesa.”

“Wei lah!” Shakranta membelek-belek beberapa contoh baju rantai yang diunjukkan kepadanya oleh Ozalan, mengenakan satu daripadanya pada tubuhnya. “Benar seperti katamu. Dan lebih elok pula rupanya. Berapa banyak yang kau bawa pulang?”

“Hamba beli sebanyak seribu pasang dulu untuk dicuba oleh bala tentera kita, Tuan Putera. Jika didapati sesuai dan berkesan … kita boleh buat pesanan untuk membeli tambah sebanyak mana lagi yang kita perlukan … melalui Mehrdad.”

“Bagus! Bagus!” Shakranta menepuk bahu Ozalan, tanda menghargai segala hasil usahanya. “Berikan beberapa pasang kepada Ketua Pengawal dan beberapa rakan pengawalmu yang lain yang terkanan untuk mencubanya di tubuh mereka terlebih dahulu. Biar mereka nilai kesesuaiannya sebelum Mehrdad tiba di sini.”

“Satu lagi cara, Tuan Putera. Kita di Amdan Negara ini juga boleh cuba menghasilkannya sendiri di sini … para pandai besi dan pandai senjata kitapun kini bukan calang-calang kemampuan mereka.” Demikian Ozalan mengajukan cadangannya.

“Kalau begitu, nanti kau panggil beberapa orang yang termahir daripada kalangan mereka supaya datang menghadap Kita dalam sehari dua ini,” ujar Shakranta.

"Ada cerita lain lagi yang menarik?"

"Ada, Tuan Putera."

Apakah itu?"

"Panglima Ashgar berbari kepada hamba ... tentang jentera pembidas ... reka cipta seperti yang Tuan Putera dan Sultan Mahmud al-Ghaznavi beli di Konstantinople dulu."

"Apa pula cerita tentangnya?"

"Bala tentera Ghazna menggunakannya dengan begitu jayanya ... untuk membidas bebola keladak minyak tanah … ketika bertempur dengan bala tentera Raja Ananda Pala, raja negeri Hindu Shahi yang berpusat di kota Kabul, serta sekutu-sekutunya di wilayah Punjab. Gajah-gajah perang Ananda Pala begitu cuak oleh bebola yang dibidas bertubi-tubi ke arahnya ... yang segera menyala apabila terkena panah api. Haiwan-haiwan itu akhirnya berpaling buntut dan memecut lari lintang-pukang ... mengorak langkah seribu ... langsung merempuh dan memenyek hingga mati beratus-ratus pejuang Ananda Pala sendiri yang menghalang laluannya."

"Begitu sekali?" Shakranta menyelit.

"Ya, Tuan Putera. Kerana kulit gajah terlalu keras, tebal dan kebal ... para pejuang Ghazna diperintahkan menyasarkan bahagian tertentu pada tubuh haiwan itu ... seperti mata, mulut, belalai, hidung, perut serta buntut dan alat kelaminnya. Gajah tonggangan Ananda Pala sendiri yang pertama sekali meluru meninggalkan medan tempur apabila bebola minyak yang mengenai buntutnya menyala ... langsung menyelar dubur dan buah zakarnya. Membuat seluruh bala tentera pimpinan Ananda Pala berterabur bercelaru ... seterusnya berundur dalam porak-peranda ... langsung memberi kemenangan gemilang kepada bala tentera Ghazna."

"Hebat! Hebat! Sultan Mahmud memang hebat. Harap-harap bala tentera Amdan Negara dapat berbuat sehebat itu juga suatu hari nanti."

Shakranta kembali bersandar di kerusi empuknya. Merenung perkembangan pesat yang bakal berlaku di negerinya di hari-hari mendatang.

Dahulunya dia sering membimbangi ancaman Sang Rama Vijaya, maharaja Mandala Agung Srivijaya yang sudah sekian lama lebih gemar bersemayam di istana barunya di Kedah Negara. Namun Sang Rama Vijaya kini tidak lagi menjadi ancaman ketara kepada Amdan Negara. Selepas bala tentera Srivijaya di Kedah Negara, Palembang, Jambi serta beberapa kota pelabuhan yang lain rebah tersungkur terkena penangan angkatan Chola Mandalam pimpinan Rajendra Chola tujuh tahun yang lalu.

§
Sang Rama Vijaya tiada pilihan selain balik ke negeri asalnya di Palembang dalam aib kalah perang. Dia kini diturunkan kuasa dan pangkat, iaitu sekadar menjadi raja Palembang. Sementara takhta Mandala Agung Srivijaya di Kedah Negara diberikan oleh Rajendra Chola kepada Sri Deva, seorang saudara sebapa kepada Sang Rama Vijaya. Sri Deva sendiri bundanya daripada titisan zuriat raja Kedah Negara zaman silam, namun permaisuri pertamanya daripada kalangan kerabat Palembang. Sementara permaisuri keduanya, seperti bundanya juga, berketurunan raja Kedah Negara zaman silam.

Kitaran hidup manusia sering kali tidak terduga. Ketika Sang Rama Vijaya bergelut sengit menentang serangan mengejut bala tentera Rajendra Chola, puteri tunggalnya Dharma Prasada Thungga Devi dilarikan oleh seorang panglima setia Palembang ke Pulau Jawa untuk menjauhi ancaman Rajendra Chola. Nasib Puteri Dharma Prasada  mencetus belas ehsan Raja Air Langga, raja negeri Kahuripan di Jawa Timur, dan puteri itu mendapat perlindungan di istananya. Walhal mertua Air Langga, Raja Dharmawangsa, empat belas tahun terdahulu terbunuh dalam serangan bala tentera gabungan Wurawari-Palembang, yang didokong giat oleh Mara Vijaya, bapa kepada Sang Rama Vijaya, dengan itu menumbangkan kerajaan Mataram.

Setelah Sang Rama Vijaya dibebaskan dengan syarat memperaku pertuanan Chola Mandalam ke atas Mandala Agung Sri Vijaya, Dharma Prasada  pulang semula ke pangkuan keluarga di Palembang. Namun persinggahan di istana Kahuripan rupanya mempertunas bibit-bibit cinta  di antara Air Langga dan Dharma Prasada.  Air Langga akhirnya mengahwini Dharma Prasada dengan restu Sang Rama Vijaya, lalu menjadikannya permaisuri kedua, dengan itu merapatkan semula hubungan yang begitu lama renggang di antara Air Langga dengan istana Palembang.

Manakala Amdan Negara pula kini berdiri megah sebagai satu-satunya negeri di Rantau Tenggara yang telah terbukti mampu menangkis dan menewaskan serangan sebuah bala tentera Chola Mandalam. Berkat tentangan hebat dengan daya juang amat tinggi oleh Angkatan Pantai Timur, yang melihat Amdan Negara sebagai benteng hadapan terhadap ancaman bala tentera Chola Mandalam yang bergerak dari utara, dari Patani Seri Negara.

“Jika hendak dibuat sendiri baju rantai itu di negeri kita,” Isabelle keluar semula dari dapur, membawa air nira segar dalam sebuah cetong besar untuk suaminya. “akan memerlukan bijih besi yang banyak untuk menampung keperluan kita, Kanda. Mengambil kira besi yang juga diperlukan untuk membuat lain-lain senjata. Cukupkah bekalan yang boleh kita dapati?”

“Setahu Kanda … di Terengganu Primula Negara ada mendakan bijih besi yang banyak di sebuah kawasan bukit. Kita boleh membeli daripada mereka … dengan itu membantu mereka memperdiri kembali iktisad negeri yang roboh sekian lama.”

Itulah kelebihannya menjadi negeri merdeka, fikir Isabelle. Bebas bergerak dan bertindak mengikut selera dan kemahuan sendiri. Tanpa dipantau dan dikawal oleh kuasa asing.

“Dinda dengar … di Pulau Sulawesi juga … ada terdapat bijih besi yang banyak.”

“Oh! Baru Kanda teringat. Memang benar begitu, Dinda. Nama pulaunya pun asalnya membawa makna ‘lombong besi’.”

“Kalau begitu … kita boleh hantar seseorang ke sana … untuk menggerakkan usaha membeli bijih besi secara besar-besaran dari sana. Jika apa yang kita beli melebihi keperluan … kita boleh simpan dulu di Amdan Negara … dan kita jual balik kepada pembeli lain yang berminat.”

“Suatu cadangan yang baik, Dinda. Orang-orang di sana juga amat pandai membuat kapal. Kapal-kapal pedewakan mereka tinggi dan besar agam seni binanya, dan indah nian reka ciptanya. Sesuai digunakan baik sebagai bahtera dagang … mahupun sebagai bahtera perang."

"Kalau begitu … apa kata ... kalau kita hantar Dalim ke Sulawesi untuk melaksanakan suatu tugas baru … membeli bijih besi dan kapal pedewakan,” Isabelle mencadangkan.

“Itu memang kena sekali, Dinda," jawab Shakranta. "Kerana dia pun berdarah Bugis di sebelah bapanya … dan masih ada ramai sanak saudara di sana. Kanda rasa … dia akan menerima tugasan ini dengan bahagia hati jika diberikan kepadanya.”

Sebagai sebuah pusat perdagangan hasil tani serta hasil alam, Amdan Negara kini telah bangkit kembali. Begitu juga sebagai sebuah pusat jual beli aneka barangan dagang dari negeri asing. Kalaulah perusahaan membuat baju rantai dan pelbagai senjata, perusahaan barangan besi yang lain serta perusahaan bina kapal juga dapat dimajukan dengan jayanya, semua itu akan mencipta tahap kemakmuran dan kesejahteraan yang tidak pernah terasa sebelum ini oleh Amdan Negara sebagai negeri berdagang.

Shakranta melayani lamunannya, sambil terus menghirup air niranya.

§
Ozalan menonggang kuda padi setianya, Shahpur, pada rentak berjalan, kemudian menderap perlahan. Pada rentak sebegitu, kaki Shahpur bergerak dan menghentak bumi secara berasingan. Dengan itu memudahkan Ozalan memeriksa dengan lebih teliti dan memastikan kalau-kalau terdapat sebarang ketempangan ataupun ketegangan otot atau sendi pada kuda itu. Akibat ia jatuh tersungkur ketika latihan melompat halangan sehari sebelumnya.

Mujurnya, gaya pergerakan Shahpur yang lancar tanpa cacat menandakan tidak berlaku sebarang kecederaan kepadanya. Seterusnya dia memberhentikan pemeriksaannya dan mula melakukan kerja selanjutnya. Dari sudut matanya dia ternampak Chinta Kirana yang sedang menuju ke arahnya.

“Abang Oja,” Chinta Kirana menghampiri Ozalan yang kelihatan sedang berbuat sesuatu pada kaki Shahpur. Manakala, Khanum, kuda padi betina kesayangan Chinta Kirana pemberian ibunya, meragut-ragut berhampiran.

“Ya, Chinta.”

“Abang Oja duk buat apa tu?”

“Abang duk pasang ladam pada kuku Shahpur. Untuk melindungi kukunya.”

Ozalan bermula dengan kaki hadapan Shahpur. Kaki kuda itu dikepitnya pada kelangkangnya.

“Ladam tu apa, Abang Oja?”

“Ladam tu, bagi kuda, macam kasutlah, untuk kita. Cuma, ia diperbuat daripada besi. Jadi, kalau dipakaikan kepada kaki kuda, membuat lebih selesa pergerakannya dan mencegah kecederaan kepada kuku dan telapak kakinya.”

“Ohhh. Bagus tu. Abang Yilmaz di mana? Tadi Chinta nampak dia bersama Abang Oja."

"Tu," Ozalan menunjuk ke arah sebatang pokok manggis yang berhampiran. "Duk bertenggek di dahan manggis tu. Hari ni dia gomol buah manggis pulak. Semalam sehari suntuk dia di pokok rambutan ... hampir habis sepokok digodamnya buah rambutan."

"Di negerinya tidak ada manggis dan rambutan ka?" Chinta Kirana tertawa kecil.

"Memang tidak ada. Iklimnya terlalu jauh berbeza daripada tempat kita ni."

"Ohh. Patutlah dia kemaruk benar. Di manakah Abang Oja belajar cara-cara memasang ladam?”

“Di Byzantium dan di Parsi … semasa Abang Oja merantau di sana.”

“Agak sukar kerjanya, Chinta tengok.”

“Tidaklah terlalu sukar … tapi tidak juga terlalu senang … cuma … ia kena dibuat dengan cermat … di samping memerlukan kekuatan dan kecergasan yang mencukupi. Kerana … jika kuda terasa terlalu nyilu atau sakit semasa kukunya diasah atau dipotong, ia mungkin menerajang, memijak atau menggigit.”

“Begitu sekali?”

“Ya. Maka, orang yang memasang ladam itu seharusnya fasih benar dengan kerenah kuda. Kalau kuda itu mendengus, misalnya, bermakna ia merasa tidak selesa kerana sesuatu.”

“Abang Oja nampak berpeluh sampai basah kuyup.”

“Ummm, ya lah. Kerjanya agak banyak menggunakan kekuatan. Kuku Shahpur ni, misalnya, kena dibersih dan diasah dulu. Tebal dan lebar telapak kakinya kena diukur, ladam yang padan dipilih, kemudian dipaku ke kukunya. Di samping membujuk Shahpur dan mengawalnya supaya dia sentiasa tenang tenteram, dan tidak bergerak secara mendadak.”

Selesai kaki hadapan, kaki belakang Shahpur pula yang dikerjakan. Kaki itu dikepit oleh Ozalan pada lengannya.

“Mengapa … bila meladam kaki belakang … kakinya hanya dikepit di lengan? Bukankah lebih kuat jika dikepit di kelangkang … seperti tadi?” Chinta Kirana bertanya.

“Supaya Abang lebih mudah mengelak dan melepaskan diri kiranya Shahpur menendang atau memijak dengan kaki belakangnya kerana berang.”

“Mengapa kukunya perlu diladam? Sebelum ni … kuda-kuda Ayahanda dan Bunda tak pernah diladam pun, Chinta tengok.”

“Kerana … ladam yang elok, selesa dan padan … mencegah kuku kuda daripada retak ataupun pecah. Terutamanya bagi kuda perang. Ia juga mengelakkan luka atau cedera pada telapak kaki kuda itu. Tapi, sebelum ini, tiada orang yang tahu melakukannya dengan baik di sini. Abang akan meladam Kshatriya dan Srikandhi dalam sehari dua. Hari ini Abang selesaikan dengan Shahpur dan Khanum dulu.”

“Abang sudah memberitahu Ayahanda dan Bunda tentangnya?”

“Sudah. Kedua mereka memang tahu tentang kelebihan memakaikan ladam pada kaki kuda. Tapi mereka mahu melihat hasil kerja Abang pada Shahpur dan Khanum terlebih dahulu.”

Chinta Kirana terdiam sejenak, sambil terus memerhatikan dengan asyiknya Ozalan melakukan kerjanya.
“Abang Oja,” beberapa lama kemudian Chinta Kirana bersuara semula.

“Ya, Chinta,” Ozalan duduk bersandar di batang pokok, berehat seketika selepas selesai meladamkan Shahpur.

“Selama Abang Oja di perantauan … mestilah sentiasa seronok … kan?”

“Ummm … ada masanya seronok … ada waktunya perit menghadapi rintangan dan halangan … ada ketika seperti terduduk dilanda kerinduan.”

“Kerinduan?”

“Ya … kerinduan yang sekali sekala datang meruntun dengan tak semena-mena … kerinduan kepada tanah air dan kampung halaman … kepada sahabat dan teman.”

“Itu saja?”

“Juga seisi keluarga Mahligai Dharmakusuma … Mak Utih, Pak Utih, Mak Busu, Pak Busu, kawan-kawan pengawal, Tuk Mubarak, Tuk Nibung, Tuk Pinang, Puanku Isabelle, Tuanku Shakranta, Puanku Kembang Seri Wangi …”

“Dan lagi?”

“Dan … sudah semestinya … Puteri Chinta Kirana.”

“Mengapa Chinta yang akhir sekali?”

“Kerana Chinta … yang paling istimewa.”

“Alah, Abang Oja ni. Dah pandai mengada pulak sekarang ni.”

“Ya lah, kan. Maklumlah … dah lama tak bertemu kan … teringin juga nak mengusik dan bergurau.”

“Abang Oja,” Chinta Kirana meneruskan.

“Ya, Chinta.”

“Chinta tengok … berbanding dengan sebelum Abang Oja pergi dulu … Abang Oja semakin sasa dan perkasa … dan … semakin hebat. Seperti seorang kesatria gayanya.”

“Eh eh … betul ka ni? Abang Oja sendiri tak perasan pulak.”

“Ya lah … sebab diri Abang Oja sendiri … tiap-tiap hari Abang Oja duk tengok … manalah nak perasan.”

“Yang Abang Oja perasan … Chinta tu. Hah … masa Abang Oja nak bertolak pergi dulu … masih macam kanak-kanak. Bila Abang Oja balik semula … dah jadi anak dara remaja … begitu ayu, jelita dan manis mempesona.”

“Abang Oja ni. Dah mula la tu …”

“Abang Oja berkata benda yang betul, Chinta.”

“Baiklah, Abang Oja. Chinta pergi dulu, ya. Chinta nak ke rumah Ayu Dewi. Dah lama kami tak berjumpa dan berceloteh berdua. Sambil-sambil tu, Chinta boleh tengok Mak Cik Delima Wati menganyam tikar mengkuang. Bolehlah belajar-belajar sikit dengan dia.”

“Baik, Chinta. Hati-hati dalam perjalanan. Chinta nak Abang Oja datang ambil Chinta ka nanti?”

“Boleh juga. Abang Oja bawakan Khanum bersama Abang. Nanti Chinta boleh balik menonggangnya bersama Abang.”

“Baiklah. Abang beransur bergerak ke sana selepas Abang selesai meladamkannya nanti. Abang pun sudah lama tidak bertemu dengan si Dali.”

Chinta Kirana mengambil jalan ke rumah kawannya yang melalui kawasan sawah. Agar dapat melihat padi yang baru mula menguning. Sepanjang jalan dia bernyanyi-nyanyi lagu-lagu gembira kegemarannya.

§
Cuaca kini panas membahang. Saban hari, sang suria memancar gemilang penuh kemegahan. Sinarnya menghangatkan biji-biji padi di tangkainya tanpa henti, dari pagi hingga ke senja, membuat biji-biji padi itu beransur semakin matang. Musim mengetam hampir menjelang tiba.

Tangkai-tangkai padi di jajaran demi jajaran pokok padi menari-nari lemah gemalai dibelai angin sendalu, bagaikan barisan ombak yang beralun tanpa henti hingga ke hujung sawah. Sekumpulan pesawah sedang duduk bersantai di sebuah dangau kecil beratap sagu. Mengisi masa mereka dengan berceloteh, menghisap rokok daun, mengunyah sirih pinang ataupun melakukan kerja-kerja ringan.

Sekali-sekala salah seorang daripada mereka bangun menggerakkan tali kendali orang-orang untuk menghalau pelbagai burung yang datang ingin berkenduri jika tidak dihalang. Beberapa orang anak mereka mengambil peluang untuk menguji kehandalan mereka menggunakan pembidas.

Seorang wanita daripada kalangan kumpulan pesawah itu menjenguk ke luar melalui jendela ringkas berbingkai buluh, menyedut asap rokok daunnya dengan penuh nikmat, lalu menghembuskannya semula perlahan-lahan ke udara. Seorang gadis remaja kelihatan berjalan meniti batas, ke arah sisi dari dangau mereka. Melindungi kepalanya daripada panas terik dengan kain kelubung berwarna biru keunguan, coraknya berbunga-bunga. Gadis itu seperti pernah dilihatnya sebelum ini.

“Wei lah!” wanita tadi bersuara, nadanya seperti teruja. “Tu … tengok tu … Mak Nik … gadis itu … bukankah dia … Puteri Chinta Kirana kan neh tu?”

“Mak Ngah ni betul ka, atau kemamar agaknya,” rakannya bangun perlahan-lahan lalu ikut menjenguk. “Ya! … betullah … memang dia rupanya. Wei lah! … dah jauh lebih tinggi dan besar daripada dulu. Amboi amboiii, cantiknya dia la ni. Macam bidadari gayanya. Heiii … geramnya aku tengok.”

“Yang dema duk geram tu buat apa?” seorang lelaki di antara mereka, suami Mak Nik, menyampuk. “Dema tu jantan ka?”

Kawannya yang sekelamin lagi, Mak Wan dan Pak Wan, ketawa terbahak-bahak dengan lawak jenakanya.

“Tuan Puteri!” Mak Ngah menyapa gadis itu apabila dia semakin menghampiri dangau itu. “Apa khabar Tuan Puteri? Wei lah … lamanya sudah kami tidak bertemu dengan Tuan Puteri.”

“Khabar baik,” gadis itu membalas. “Dema semua apa khabar?”

“Khabar baik, Tuan Puteri,” kumpulan pesawah itu menjawab hampir serentak.

“Padi dema semua tahun ini lagu mana agaknya? Menjadi ka? Kita tengok molek dan subur rupanya.”

“Memang begitulah nampaknya, Tuan Puteri,” jawab Mak Nik. “Tengok gayanya, musim mengetam tahun ini bolehlah kita berpesta besar. Jemputlah singgah di dangau kami barang sebentar. Ada ubi kayu bakar, jering rebus dengan kopi pekat.”

“Tak apalah, Mak Cik. Terima kasih ajalah. Kita nak cepat ni.”

“Tuan Puteri menghala ke mana tu?” tanya Mak Ngah pula.

“Kita nak ke rumah Mak Cik Delima Wati. Sudah lama Kita tidak berkunjung ke sana.”

“Oh, rasanya, dia memang ada di rumah waktu ini,” balas Mak Ngah. “Bersama anak gadisnya, si Ayu. Baik-baik di perjalanan ya, Tuan Puteri.”

“Terima kasih, jumpa lagi,” gadis itu meneruskan perjalanannya.

“Semakin cantik pulak puteri kita tu nampaknya, tidak kan neh?” ujar Mak Ngah kepada kawan-kawannya. “Ceria gembira pula kelihatan seri wajahnya. Tidak lagi sentiasa bermuram durja seperti dulu.”

“Wei lah, dah tentulah, Mak Dia,” balas Pak Ngah, mengulas pemerhatian isterinya. “Orang baru bertemu semula dengan buah hati tersayang, katakan.”

“Pandai-pandai aja, Ayah Dia ni,” balas Mak Ngah. “Buah hati mana pulak tu?”

“Alah, takkanlah itupun Mak Dia tak tau. Si Oja tu lah. Kan dia baru balik dari perantauan?”

“Maksud Ayah Dia, Ozalan, pemuda Turkestan tu?”

“Ya lah, Oja yang mana lagi? Mak Dia ni pun.”

“Tapi … Ozalan tu … bukankah bekas anak abdi, Ayah Dia?” Tanya Mak Ngah lagi. “Mungkinkah Putera Shakranta dan Puteri Isabelle … boleh menerima Oja … pekerja suruhan mereka sendiri … sebagai menantu mereka?”

“Itu tak menjadi hal, hamba rasa, Mak Ngah,” suami Mak Nik pula memberi pendapatnya. “Kerana Putera Shakranta tu bukan seorang putera sembarangan. Dia putera pahlawan yang berpendirian hebat … tidak memilih darjat … tapi mementingkan perwatakan.”

“Alah, Che Dia pun,” isterinya mencelah. “Macamlah Che Dia tu pandai sangat.”

“Tu la, Mek Dia. Dema tu tahu apa?” Pak Nik membentak. “Pandai tanam padi dengan pelihara itik aja. Bukankah suatu waktu dulu Putera Shakranta pernah menolak bulat-bulat pinangan Maharaja Sang Rama Vijaya? Kerana cara maharaja itu menyampaikan hasratnya kurang beradab.”

“Itu lima tahun dulu, Che Dia,” balas Mak Nik. “Waktu tu, bukankah Puteri Chinta Kirana tu baru berumur dua belas tahun?”

“Betul juga kata Pak Nik tu, Mak Nik,” ujar Mak Wan. “Lagipun, masa Putera Shakranta menikah dengan Permaisuri Isabelle dulupun, yang baginda tahu cuma Isabelle tu bekas gadis abdi. Dia sendiri yang menyelamatkan Isabelle semasa di Byzantium, kemudian membawanya balik ke Amdan Negara, ketika Isabelle masih berumur tiga belas tahun. Untuk menjaga dan mendidik anak-anak kudanya. Dah lapan tahun kemudian, selepas mereka berkahwin dan Chinta Kirana dah berumur dua tahun, barulah Isabelle buat pengakuan bahawa dia asalnya seorang puteri.”

“Alah wei,” Pak Ngah menyambung semula. “Mak Dia, Mak Nik, Pak Nik, Mak Wan, Pak Wan. Dema semua tengoklah nanti, betul ka tidak jangka hamba. Puteri Chinta Kirana tu nanti, hamba kata, tak akan dapat ke tangan orang lain punya, selain daripada si Oja tu. Dulupun, Oja juga yang menyelamatkannya. Ketika dia nyaris diculik oleh si Gadang, Ketua Pengawal masa itu yang rupa-rupanya menjadi tali barut Maharaja Sang Rama Vijaya.”

§
Dua purnama berlalu. Saudagar Mehrdad tiba di Bukit Panau dari persinggahannya di Singhala Nagara. Dia membawa hadiah yang mahal-mahal untuk diberikan kepada keluarga Dharmakusuma.

“Dan ini, hadiah khas daripada Ayah hamba, Saudagar Ashgar, kepada Tuanku Shakranta. Pedang samsir Parsi ditempah khas dengan waja nirkarat … diperbuat daripada besi terbaik dari Hamadan.”

Seminggu selepas ketibaan Saudagar Mehrdad, Mahligai Dharmakusuma menerima kunjungan Panglima Shankara, sahabat lama Shakranta dari Jambi. Sahabat akrab yang sama mengembara dan sama berperang dengannya di kota Lavo dan di Angkor Kemboja. Ketika mereka berdua berkhidmat sebagai pahlawan perantau dengan bala tentera Negara Seri Dharmaraja pimpinan Raja Sujita. Seperti Shakranta, Panglima Shankara juga kini mengembangkan kegiatannya ke bidang persaudagaran. Panglima Shankara membawa bersama isterinya, Mulia Sari Wardani, dan anak gadisnya, Ratna Nila Kenchana yang sebaya usia dengan Chinta Kirana.

§
990 Masihi, di Khazar, Khwarezm dan Parsi Abbassiyah (imbas balik).
Setelah beberapa lama, Putera Sarjuq menjadi mangsa sengketa perebutan kuasa di kalangan para pembesar kerajaan Khazar. Lalu dia lari membawa diri ke negeri Khwarezm. Sarjuq seterusnya bersengketa dengan seorang Yabghu di sana dan menewaskannya. Lalu dia dilantik menjadi Kudarkin, iaitu Panglima Agung puak Turkmen Oghuz. Seterusnya dia memeluk ajaran yang baru dianuti oleh jumlah pengikut yang semakin bertambah di kalangan puak Turkmen Oghuz. Ajaran yang bernama Islam ... bawaan seorang yang bernama Muhammad ... dari Semenanjung Hejaz di Tanah Arab.

Kepimpinan Sarjuq seterusnya beralih kepada puteranya Arslan Israil ibnu Sarjuq. Akhirnya, seorang putera Arslan Israil bernama Toghril Beg memimpin sebuah bala tentera Turkmen Oghuz yang besar lalu menyerang dan menewaskan kerajaan Parsi Abbasiyah. Kerajaan yang sebelum itu ramai pahlawan Turkmen Oghuz berkhidmat dengannya sebagai tentera upahan. Dengan itu, puak Turkmen Oghuz pimpinan Toghril Beg menakluki seluruh wilayah negeri Parsi Abbasiyah serta jajahan takluknya. Demikianlah bangkitnya sebuah wangsa pemerintah yang baru di Rantau Barat. Wangsa yang diberi nama mengambil sempena nenda kepada Toghril Beg ... iaitu … Wangsa Sarjuq.