Sunday, December 12, 2010

Bab 14: Rebahnya Sebuah Kerajaan Gagah

 
Di zaman pemerintahan Maharaja Chulamani Warma Dewa (990 Masihi), kerajaan Palembang yang menerajui Mandala Agung Srivijaya sering menerima serangan tanpa bersebab oleh bala tentera kerajaan Medang Mataram. Raja Medang Mataram, Dharma Wangsa Tguh Ananta Wikrama, bersemayam di Keraton Watu Galuh di Kota Turriyan di Daerah Mataram, menggantikan ayahandanya Makuta Wangsa Wardhana.

Mataram di bawah pemerintahan Dharma Wangsa semakin sering dan semakin garang menyerang Palembang dan Jambi. Chulamani hampir mati akal hendak menyelesaikan masalah itu. Mengapakah kerajaan Jawa itu terlalu ganas dan gelojoh ingin menakluki dan memiliki Srivijaya? Tidak cukup lagi dengan memperolehi wilayah milik Sailendra di Jawa Barat. Wilayah yang mereka rampas melalui penipuan besar dengan mengahwini putera mereka Rakai Pikatan dengan Pramowardhani puteri Samara Thungga raja Sailendra. Kini mereka bercita-cita hendak menumpaskan seluruh saki-baki kerajaan Srivijaya. Kerajaan yang diwarisi oleh Bala Putra Dewa iaitu nenek moyang Chulamani. Bala Putra putera Samara Thungga maka pewaris wajar takhta Sailendra yang mereka usir itu ibunya seorang puteri Srivijaya, iaitu Puteri Tara, puteri kepada Raja Dharma Sethu.

Tahun itu Chulamani menghantar utusan lagi kepada Maharaja China. Baginda memohon bantuan Maharaja China supaya dapat kiranya dikekang cita-cita besar Mataram. Namun, Maharaja China seperti dalam keadaan serba salah. Mataram juga seperti Palembang. Mengakui pertuanan China dan sering kali menghatar ufti kepadanya. Maka Mataram juga dianggap sebagai sahabat. Ditelan pahit, dibuang sayang. Dicubit paha kanan, paha kiri yang sakit. Dicubit paha kiri, paha kanan pula yang terasa. Apakan daya baginda, hanya sekadar dapat memberi nasihat.

Orang-orang Tamil dari Cholamandalam juga kini semakin naik tocang. Bahtera perdagangan mereka semakin besar. Pahlawan mereka yang mengiringi kapal-kapal saudagar itu juga kelihatan semakin bengis dan semakin ramai. Mereka kini semakin sukar hendak mendengar arahan pengawal pelabuhan di wilayah-wilayah di bawah naungan Srivijaya.

Mungkinkah pahlawan tambahan dari negeri-negeri di bumi Langkasuka mampu membantu Palembang untuk menangkis serangan Mataram yang bertubi-tubi ini? Mungkinkah saudara sepupunya Raja Sujita, bekas Maharaja Mandala Agung Srivijaya sebelum Chulamani, kini raja negeri Negara Seri Dharmaraja yang juga baru sahaja merampas takhta Kemboja Negara itu, akan mempertimbangkan permintaan Chulamani untuk mendapatkan tentera bantuan?

Sunggguh tidak disangka-sangka. Sujita kononnya hanya menjunjung titah Maharaja Kemboja Negara dan menerima perlantikannya secara jujur menjadi Narapati kota Lavo merangkap Senapati bala tentera seluruh Kemboja Negara oleh Maharaja Angkor yang permaisurinya merupakan bunda saudara Sujita. Kemudiannya didengari berita bahawa Sujita telah merampas takhta Kemboja Negara. Memperguna kedudukannya sebagai Narapati Lavo sekaligus Senapati bala tentera, dia telah berjaya menundukkan semua saingannya selepas kemangkatan Maharaja Jayavarman V, lantas membolehkannya merampas takhta Angkor.

Chulamani teringatkan Putera Shakranta, Panglima Agung Angkatan Pantai Timur di bumi Langkasuka. Mungkinkah Shakranta mampu membantu bala tentera Palembang menewaskan bala tentera Jawa yang ganas dari Mataram itu jika tugas sedemikian ditawarkan kepadanya? Lebih penting lagi, mungkinkah seluruh negeri-negeri Pantai Timur akan memberi persetujuan sebulat suara untuk merestui hasrat Chulamani?

Perancangan demi perancangan dibuat oleh Chulamani dan putera baginda, Mara Vijaya, untuk mengatasi masalah itu. Akhirnya, beberapa tahun kemudian, Mara Vijaya yang telah menaiki takhta sebagai maharaja baru selepas kemangkatan ayahandanya berpakat dengan besannya Sri Jaya Bhupati, raja wilayah Wura Wari merangkap putera mahkota seluruh kerajaan Sunda-Galuh, untuk membuat serangan besar-besaran secara mengejut ke atas Mataram. Serangan itu bakal dibantu pula oleh sepasukan besar pahlawan bumi Langkasuka yang berteraskan anggota bala tentera Angkatan Pantai Timur, dipimpin oleh Putera Shakranta selaku Panglima Agungnya.

§
§ 
Permaisuri Chintamani Ratna Ningsih (Pushpa Aryani Kusuma Ratna) (Ekawati Sulonjana Putri) (Rima Anggraini Kencana Sari) menghirup air kelapa muda yang baru dibawa oleh inangnya, melayani lamunannya. Isi kelapanya begitu lembut dan manis, sungguh enak dan menyegarkan tekaknya yang terasa kering kontang di waktu petang ketika cuaca panas membahang di musim kemarau panjang.

Suaminya, Maharaja Mara Vijaya, kini sudah berminggu-minggu di perbatasan. Membuat persediaan terakhir untuk menyerang musuh ketat Palembang, iaitu Mataram. Serangan besar-besaran yang bakal dibuat berpakat dengan negeri Wura Wari, sebuah negeri anggota kerajaan bersekutu Sunda-Galuh. Yang diharap akan mematahkan kekuatan Mataram lantas menamatkan serangan-serangannya yang bertubi-tubi terhadap Palembang sudah berbelas tahun kebelakangan.

"Bala tentera mereka terlalu besar, Kanda. Dinda merasa sedikit bimbang terhadap keselamatan Kanda." Demikian Chintamani Ratna Ningsih menyuarakan kerisauannya sebelum pemergian Mara Vijaya bersama empat ribu orang pahlawan terhandal Palembang.

“Kita tiada pilihan lain, Dinda,” ujar Mara Vijaya. “Sudah berbelas tahun kita terpaksa beralah dengan Mataram. Sejak zaman Ayahanda Chulamani lagi. Kini tiba masanya keadaan sedemikian berakhir.”

“Tapi mereka terlalu kuat untuk kita, Kanda,” Chintamani menyambung hujahnya. “Tidakkah lebih baik kita menunggu dan bertahan di tempat sendiri?”

“Tidak, Dinda,” jawab Mara Vijaya. “Kita sudah selalu melakukan itu, namun mereka tetap membelasah kita setiap kali. Lebih baik bala tentera Palembang yang menyerang Medang Mataram di bumi mereka. Daripada kita menunggu mereka menyerang kita di bumi kita.”

“Kerana?”

“Kalau mereka yang menyerang kita di negeri kita, perkara biasa akan berlaku. Penduduk di sepanjang lembah Sungai Musi, hingga ke sekitar kota Palembang, akan lari bertempiaran. Maka akan tambah menyukarkan lagi pergerakan dan tindak balas bala tentera Palembang sendiri.”

“Habis bagaimanakah bala tentera kita akan menghadapi masalah yang akan timbul daripada jumlah bala tentera mereka yang jauh lebih besar, Kanda? Ia pastinya suatu cabaran yang amat sukar diatasi.”

“Kita akan membuat serangan mengejut dari pelbagai hala, dengan muslihat yang langsung tidak dijangka. Kita akan menggempur mereka di tempat yang sempit, membuat mereka berterabur dan porak-peranda, menghapuskan kelebihan yang mereka miliki daripada jumlah mereka yang besar. Malah, ramainya mereka akan tambah merumitkan lagi upaya mereka untuk bergerak dan bertindak balas.”

“Kanda sungguh bijaksana. Dinda amat bangga dengan Kanda. Maka bagaimanakah perkara sebegitu boleh dilaksanakan, Kanda?”

“Maaf, Dinda. Itu adalah rahsia ketenteraan yang sulit di antara Kanda dan para panglima tertinggi. Perajurit bawahan tidak seorangpun akan mengetahuinya hingga ke detik terakhir. Kanda tidak dapat berkongsi sebarang maklumat tentangnya dengan barang sesiapapun, termasuk Dinda. Usahlah Dinda terlalu gundah-gulana. Kanda akan kembali membawa kemenangan gemilang untuk Mandala Agung Palembang Sri Vijaya.”

“Selamat jalan, Kanda. Moga-moga sejahtera dan berjaya.”

“Selamat tinggal, Dinda. Sentiasalah Dinda pantau serta awasi gerak-geri dan tingkah laku Sang Rama sebagai Raja Adhipati dan Putera Mahkota sepanjang ketiadaan Kanda … dan beri nasihat yang sewajarnya kepadanya bila dirasakan perlu … dan nanti Dinda laporkan kepada Kanda.”

“Kanda masih tidak cukup yakin dengan Sang Rama, kan?”

“Tidak begitu, Dinda. Cuma … dia kadang-kala membuat Kanda sedikit bimbang. Dia panas baran, dan terlalu mudah naik angin. Sebagai raja di Kedah Negara pun dia menghadapi begitu banyak tentangan oleh para pembesar wilayah lain di Semenanjung Emas yang rimas dengan sikapnya. Tindak-tanduknya selama ini sering kali terburu nafsu serta terpacu oleh perasaan yang memuncak dengan mendadak dan membuak-buak.”

“Baiklah, Kanda. Akan Dinda laksanakan dengan sebaiknya."

§
Secara senyap-senyap ... tanpa sebarang perisytiharan lantang dan megah bangga ... angkatan perang Wura Wari dan Palembang, serta sebuah angkatan bantuan dari bumi Langkasuka, mara dari hala masing-masing ke tempat yang telah dirancang.

Putera Shakranta, selaku Panglima Agung Angkatan Pantai Timur, memimpin angkatan pahlawan dari Semenanjung Emas. Lima puluh buah kapal penjajap bersama sepuluh buah kapal pedewakan kini bersidai di muara Sungai Brantas. Kapal penjajap setiap sebuah berisi lima puluh pahlawan pemanah dan dua ratus pahlawan pemedang, setiap orang berpakaian seperti pahlawan Palembang.

Manaka kapal pedewakan, bahtera dagang besar yang dibina di Amdan Negara dengan penyeliaan tukang kapal Bugis dari Makassar, diubah suai menjadi bahtera perang, setiap sebuah membawa seratus pahlawan berkuda perang gergasi, setiap pahlawan dan kudanya berpakaian perisai yang tidak lut senjata.

Pada layar setiap kapal terlukis lambang besar panji-panji Palembang, megah gemilang kelihatannya bila layar terik ditiup angin pantai.   

Kota Turiyyan letaknya kira-kira dua persangga jauhnya, iaitu lebih setengah pagi perjalanan, dari muara Sungai Brantas. Cukup masa untuk angkatan semenanjung yang menyamar sebagai pahlawan Palembang mendarat di pantai dan membuat persediaan terakhir. Maka seisi angkatanpun turunlah dari kapal masing-masing, lalu menyusun barisan sendiri dengan sebaiknya, melakukan sedikit latihan sebelum membuat serangan.

Pasukan pahlawan berkuda berpecah kepada enam ketumbukan, masing-masing membuat pergerakan larian berulang kali. Kuda-kudanya menderap, meligas, seterusnya merejang sekencang taufan, setiap penonggangnya melibas, merembat dan menetak udara bertubi-tubi dengan pedang mereka yang tajam berkilat. Sekali sekala mereka menyarung kembali pedang mereka, mengenakan pula busar panjang mereka, lantas melepaskan panah besar darinya.

Mereka kelihatan begitu hebat dengan kuda-kuda gergasi mereka yang sekali sekala meringkik nyaring begitu bengis, seperti hauskan darah. Pakaian perisai mereka, berbentuk baju rantai berpadan dengan kepingan pelindung dada, serta salutan perisai pada tubuh kuda mereka, berkilau bergemerlapan dalam sinar surya lewat pagi.

Pasukan pemanah pula melepaskan ratusan panah ke udara pada setiap isyarat yang diberikan oleh ketua ketumbukan masing-masing. Dengan setiap isyarat, ratusan busar menyanyi berdendang, getarnya berdengung enak membelai anak telinga. Disusuli ratusan panah terbang melayang, berdebus-debus mengerikan bunyinya di udara.

Lalu penduduk di sekitar muara pun tercengang dan terpegun melihatnya, terutama pasukan pahlawan berkuda gergasi yang berpakaian perisai penuh, termasuk kuda-kudanya sekali. Tidak terduga oleh mereka bahawa pahlawan Palembang kini begitu hebat, dan sudah berani menyerang negeri mereka, kerana sudah sekian lama angkatan Palembang rebeh dan longlai di medan tempur di wilayah mereka sendiri setiap kali diserang oleh bala tentera Mataram.

Ketumbukan pertama pahlawan Wura Wari seramai tiga ribu orang, dipimpin oleh Raja Sri Jaya Bhupati, bergerak dari arah Pantai Parang Teritis. Manakala ketumbukan keduanya, berjumlah dua ribu lima ratus pahlawan, dikepalai oleh Panglima Shankara, bersembunyi di kawasan hutan tebal berhampiran Kampung Bumi Segoro, kira-kira sepersangga jauhnya dari Candi Borobodur. Mereka bergerak melalui kawasan hutan tebal, menuruni cerun yang curam dari arah Gunung Merapi.

Empat ribu pahlawan Palembang pula berpecah dua. Sepasukan daripadanya menyertai ketumbukan pertama dan kedua angkatan Wura Wari. Sementara sepasukan lagi, dipimpin oleh Mara Vijaya sendiri, bersembunyi di sebuah kawasan hutan di sekitar pertengahan jalan di antara Kota Turiyyan dan muara sungai Brantas.
Berita angkatan bahtera pahlawan Semenanjung Emas di muara Sungai Brantas, yang disangka oleh penduduk tempatan sebagai angkatan Palembang yang tidak semena-semena menjelma, segera sampai ke telinga Raja Dharma Wangsa dan Permaisuri Mahendra Datta. Ketika mereka berdua sedang asyik meraikan majlis kenduri perkahwinan puteri mereka, Dyah Sri Lakshmi, dengan anakanda saudara Mahendra Datta, iaitu Putera Air Langga, putera kepada Raja Udayana, raja negeri Bali. Perkhabaran dibawa oleh beberapa orang anak muda yang menonggang kuda padi dari perkampungan mereka berhampiran muara.

“Kurang ajar!!!” Dharma Wangsa mendengus lantang. “Mereka ingat mereka sehebat mana??? Berani sungguh mereka bermain api dengan Mataram!!! Dalam banyak-banyak hari, hari ini pula yang mereka pilih!!! Nanti ku ajar mereka cukup-cukup!!!”

Dengan penuh kelam kabut bercampur geram dan berang yang membuak-buak Dharma Vamsa mengerah tiga suku daripada bala tenteranya supaya bergerak segera menuju ke muara untuk menghadapi angkatan musuh ketat yang langsung tidak dijangka itu.

Ketumbukan pertama angkatan Wura Wari, pimpinan Sri Jaya Bhupati, membetung terus menuju Istana Keraton Watu Galuh, tempat bersemayam Raja Dharma Wangsa. Semakin mereka menghampiri kota Mataram semakin lantang bergema tempik perang mereka.

Manakala ketumbukan kedua mereka, pimpinan Panglima Shankara, menghala ke pertengahan jalan besar dari kota yang menuju ke muara. Sebaik sampai di tempat yang dituju, mereka menyelinap masuk semula ke kawasan hutan kira-kira lima puluh depa dari jalan.

Bedebum! Gedegang! Bedebus! Gedegum! Bedebab! Pelepum! Pelbagai bunyi ledakan terdengar dari arah muara. Membuat semakin geram lagi bala tentera Mataram yang menuju ke muara. Setiap bunyi ledakan disusuli dengan semarak lidah api raksaksa yang menjilat dan menelan segala apa yang boleh menyala di sekelilingnya.

“Fiewww!” Sebuah siulan nyaring terbit dari bibir Panglima Shankara, tanda kagum. “Itu pasti kerja Panglima Shakranta,” ujarnya kepada pengikut-pengikutnya. “Dia gemar benar bermain dengan debu mesiu dan habuk belirang."

Ketika bala tentera Mataram berada kira-kira sesuku persangga lagi daripada muara, segerombolan pahlawan asing yang tidak dikenali mereka tiba-tiba keluar dari kawasan hutan ke tengah jalan, menghalang laluan bala tentera Mataram. Semakin lama semakin ramai bilangan mereka, semain cuak pula pahlawan Mataram. Ketumbukan Wura Wari pimpinan Panglima Shankara rupanya.

Dalam bala tentera Mataram masih tercengang dan tergamam dengan kemunculan sepasukan pahlawan musuh yang tidak di jangka di hadapan mereka itu, kelihatan muncul pula sepasukan lagi pahlawan asing di jalan yang sama, kali ini di arah ke belakang daripada kedudukan bala tentera Mataram. Angkatan Palembang pimpinan Mara Vijaya rupanya.

Sejurus kemudian, muncul lagi seketumbukan pahlawan asing, bergerak menyusuri jalan, datangnya dari arah muara. Kali ini sepasukan pahlawan bertubuh besar menonggang kuda gergasi, berpecah seterusnya kepada dua pasukan, menuju ke kiri dan kanan kedudukan pahlawan Mataram.

Bala tentera Mataram, sungguhpun agak ramai bilangannya, kini tersepit dan terkepung sepenuhnya, dari empat hala yang bertentangan.
§
Habuk dan debu berhambur bertabur, lantas berkepul-kepul di udara. Bongkah batu-batan yang merah menyala bergolek turun perlahan dari arah puncak gunung, beransur-ansur bergolek meniti lereng gunung, hingga ke kaki gunung. Tiba-tiba kedengaran suara seseorang orang memekik melaung.

“Gunung Merapi meletup lagi!!!” seorang lelaki berteriak lantang. “Laharnya akan muntah memancut-mancut sebentar lagi!!!”

“Lari!!! Lari!!!” seorang rakannya bertempik  nyaring. “Jangan berlengah lagi!!! Ayuh kawan-kawanku!!! Lari segera!!!”

“Sekarang baru letupan kecil-kecilan!!!” jerit seorang lagi. “Peringkat permulaan!!! Ia akan semakin membesar!!! Selamatkan nyawa kalian dan kaum keluarga kalian sebelum terlewat!!!”

Bunyi berdentum-dentam dari arah kawasan pergunungan terus kedengaran. Semakin lama semakin nyaring bunyinya.

Penduduk desa dari sekitar kawasan kaki pergunungan mula berlari kesana-sini saling maklum-memaklumkan di antara mereka. Yang baru mendapat tahu memberitahu yang belum. Yang kelapangan menyampaikan segera kepada yang sedang asyik kerana menjalankan tugas. Mereka semua kemudiannya lari bertempiaran meninggalkan rumah mereka membawa bersama isteri serta anak-anak mereka. Yang kecil sekali dipaut bertenggek diatas tengkuk. Yang besar sedikit didukung di pinggang. Yang lebih besar lagi dipimpin di tangan.

Semuanya lintang-pukang menyeberangi Dataran Kedu. Sesetengah daripada mereka singgah seketika di Candi Lara Jonggrang yang tersergam indah di kota Prambanan, buat memohon ehsan dan restu para dewa agar melindungi mereka daripada malapetaka yang seperti tiba-tiba menjelma. Namun kebanyakan yang lain meluru menyerbu ke arah Lembah Sungai Brantas, lalu secara kebetulan menghala ke tempat berlangsungnya majlis kenduri pernikahan di raja di Istana Watu Galuh di Kota Turiyyan. Seluruh persekitaran bermula dari kaki pergunungan menjadi hiruk-pikuk, kelam-kabut dan porak peranda, keadaan demikian semakin lama semakin merebak ke hala kota dan lembah sungai.

Orang-orang di Istana Keraton Watu Galuh tiba-tiba tergamam. Mereka tidak pernah mendengar bunyi letupan senyaring itu sepanjang hayat mereka. Mahupun semarak lidah api sebesar itu. Mereka hanya pernah mendengar kisah dongeng tentangnya daripada cerita orang tua-tua. Memang kini mereka yakin bahawa Gunung Merapi meledak lagi. Maka keadaan merekapun turut serta menjadi tak keruan. Kejadian tidak dijangka di tengah-tengah suasana penuh kemeriahan kenduri perkahwinan diraja membuat kebanyakan daripada mereka detik demi detik semakin hilang pedoman.

§
Ketika bala tentera Mataram berada kira-kira sesuku persangga lagi daripada muara, segerombolan pahlawan asing yang tidak dikenali mereka tiba-tiba keluar dari kawasan hutan ke tengah jalan, menghalang laluan bala tentera Mataram. Semakin lama semakin ramai bilangan mereka, semain cuak pula pahlawan Mataram. Ketumbukan Wura Wari pimpinan Panglima Shankara rupanya.

Dalam bala tentera Mataram masih tercengang dan tergamam dengan kemunculan sepasukan pahlawan musuh yang tidak di jangka di hadapan mereka itu, kelihatan muncul pula sepasukan lagi pahlawan asing di jalan yang sama, kali ini di arah ke belakang daripada kedudukan bala tentera Mataram. Angkatan Palembang pimpinan Mara Vijaya rupanya.

Sejurus kemudian, muncul lagi seketumbukan pahlawan asing, bergerak menyusuri jalan, datangnya dari arah muara. Kali ini sepasukan pahlawan bertubuh besar menonggang kuda gergasi, berpecah seterusnya kepada dua pasukan, menuju ke kiri dan kanan kedudukan pahlawan Mataram.

Bala tentera Mataram, sungguhpun agak ramai bilangannya, kini tersepit dan terkepung sepenuhnya, dari empat hala yang bertentangan.

§
"Kangmas Gusti Prabhu Dharma Wangsa, besanku!" terdengar suara lantang seorang panglima. Raja Sri Jaya Bhupati rupanya. “Kini ku datang menyahut jemputanmu."

Raja Dharma Wangsa yang sedang asyik berceloteh dengan para ningrat dan pembesar keraton Mataram tersentak, tercengang, lidahnya kelu seketika. Namun dia memaksa dirinya supaya pulih segera daripada terperanjatnya.

"Dingmas Sri Jaya Bhupati!" Dharma Wangsa membalas, cemas di hatinya dikekang keras agar tidak ketara di wajahnya. "Begitu lewat datangnya Dingmas. Membuat kami di sini ternanti-nanti begitu lama."

"Tidak usahlah kau berlakon lagi, Dharma Wangsa!!" ujar Sri Jaya Bhupati. "Tembelangmu sudah pecah berkecai. Rencanamu kini diketahui semua. Kau pembohong. Penipu. Pendusta dan pengkhianat paling durjana! Tergamak kau membuat perancangan sulit untuk meracun dan membunuhku, seorang besanmu sendiri, di majlis perkahwinan puterimu! Tidak sekali-kali ku sangka, tamak halobamu, gila kuasamu, tiada langsung batasannya!"

"Dongeng ciptaan siapakah ini? Siasat dulu benar atau palsunya, Sri Jaya Bhupati!"

"Seorang pahlawanku yang beristerikan gadis Mataram menyampaikannya kepadaku. Dia beroleh khabar rahsia tentangnya daripada kaum kerabat isterinya."

"Bawa dia ke mari! Biar dia bersemuka denganku!"

“Malangnya … dia sudah tiada lagi di dunia ini. Dia diserang dan dibunuh oleh segerombolan pahlawan Mataram di perbatasan … semasa mengiringi isterinya pulang untuk menziarahi orang tuanya di Bumi Segoro.”

“Maksudmu … segerombolan pahlawan Palembang yang berpakaian seperti pahlawan Mataram?”

“Aaah! Jangan kau cuba hendak memutarbelitkan duduk perkara, Dharma Wangsa. Semua orang tahu tentang usaha giatmu yang tiada henti untuk menakluki seluruh Sunda-Galuh dan menggabungkannya dengan Mataram.”

“Usahaku … usaha muliaku … usaha agung Mataram … tiada kaitannya langsung dengan pembunuhan pahlawanmu itu! Aku pasti ia berpunca daripada perancangan sulit Palembang.”

“Ches! Dasar sang raja bongkak! Tak sedar diri! Pendusta cabuk! Pengkhianat busuk!!!”

“Hulubalang!!!,” Dharma Wangsa memerintah lantang. “Tangkap dan berkas si gila ini! Rantai dia dengan belenggu besi! Dan humban dia ke dalam rumah pasung segera!”

“Ternyata kau masih seperti dulu, Dharma Wangsa,” Sri Jaya Bhupati tersenyum menjebih. “Yakin dirimu sentiasa jauh melebihi kemampuan sebenarmu. Seluruh istana keratonmu sudah dikepung oleh bala tenteraku! Sekarang … buatlah pilihanmu. Sama ada di antara kau dan aku beradu kehandalan satu lawan satu … ataupun bala tentera Wura Wari akan bertempur habis-habisan dengan bala tentera Mataram. Hari ini … antara Wura Wari dan Mataram … antara Sri Jaya Bhupati dan Dharma Wangsa … akan membuat perhitungan terakhir di istana Keraton Watu Galuh ini!”

“Bangsat!!!” Dharma Wangsa mendengus. “Janganlah kau begitu bodoh, Sri Jaya Bhupati. Bala tenteraku akan menghancurkan bala tenteramu!”

“Seperti biasa, kerana keangkuhanmu, kau sering tersilap langkah, Dharma Wangsa,” ujar Sri Jaya Bhupati. “Bala tenteramu yang masih berupaya untuk membelamu … cuma tinggal sekitar seribu lima ratus orang pahlawan di istana ini. Yang empat ribu lagi itu … yang telah kau kerah ke muara itu … mereka sudah terkepung sepenuhnya oleh ketumbukan kedua Wura Wari, ketumbukan pertama Palembang dan pasukan pahlawan berkuda gergasi dari bumi Langkasuka … di pertengahan jalan dari kota ke muara. Saat ini juga, bala tentera Mataram kebanggaanmu itu sedang berdepan dengan kehancuran!!!”

“Panglima!!!” Dharma Wangsa bertempik lantang kepada Ketua Gerombolan Pengawal Diraja merangkap Panglima Agung Mataram. “Susun barisan setiap anggota bala tentera yang ada. Kita tunjuk kepada anjing-anjing asing ini betapa buruk padahnya mengusik harimau Mataram!”

“Narothama!” Dharma Wangsa menoleh ke arah seorang hulubalang bertubuh tinggi besar berotot sasa.

“Ampun, Gusti Prabhu,” orang itu menjawab.

“Jaga Dyah Sri Lakshmi dan Air Langga sepanjang masa! Jangan kau berenggang jauh dengan mereka hingga berakhir pertempuran ini! Bunuh barang siapa saja yang mengancam keselamatan mereka!”

“Titah dijunjung, Gusti Prabhu.”
§
Malam itu api membakar seluruh kota Mataram. Membuat suasana sekeliling terang benderang seperti siang. Di celah-celah lidah api yang sedang gelojoh menjilat Keraton Watugaluh seorang anak muda yang agus rupa parasnya memimpin tangan seorang gadis jelita bergegas-gegas keluar dari pekarangan istana keraton. Mereka diiringi oleh seorang pengawal bertubuh sasa. Mara Vijaya, Shankara dan Shakranta lantas membidik panah masing-masing ke arah setiap seorang daripada mereka.

“Kamu bertiga!!! Berhenti!!!,” Mara Vijaya bertempik lantang. “Jangan bergerak lagi … dan campak segala senjata yang ada pada tubuh kalian ke tanah. Perlahan-lahan. Usahlah terfikirkan langsung sebarang tipu muslihat. Atau panah berbisa kami akan menyinggahi tubuh kalian. Menghabiskan riwayat kalian saat ini juga.”

Ketiga pelarian itu lantas tersentak dan terpaku kaku seperti patung sahaja gayanya. Si gadis mendadak lantang kembali suara tangisnya. Tadi tersedu-sedan, kini terlolong-lolong. Hiba yang sedia meruntun jiwanya kini dihunjam ngeri pula. Bulu roma halus di tengkuknya meremang dan seluruh tubuhnya mula menggigil. Temannya serta pengawal mereka berdua masing-masing mencampakkan senjata mereka perlahan-lahan ke tanah … tepat mengikut perintah … hati resah gelisah … namun kini hanya mampu pasrah …

“Siapa kamu?” tengking Mara Vijaya kepada anak muda itu. “Dan siapakah teman-temanmu yang dua lagi ini?”

“Ha … hamba … Air Langga, Tuan,” jawab anak muda itu. Dia kelihatan gugup dan gementar. “Pu … Putera … kepada Raja Udayana dan Permaisuri Mahendra Datta. Ke … kemenakan kepada ... Raja Teguh Dharmavamsa Ananta Vikrama Deva. Gadis ini … is … isteri hamba … Dyah Sri Lakshmi. Dia … pu … puteri kepada … Teguh Dharmavamsa. Kami … baru saja … ber … bernikah … pe … petang tadi. Dan … ini … pe … pengawal hamba … Narothama.”

“Shankara! Shakranta!”  Sri Mara Vijaya menoleh ke arah dua panglima itu. Wajahnya kini bengis seperti harimau lapar. “Apa yang terbaik yang harus kita lakukan?”

“Bunuh saja mereka, Tuanku” jawab Shankara dengan tegas tetapi tenang. Pedangnya terhayun-hayun di tangan kanannya. “Kalau tidak sudah pasti salah seorang daripada mereka ataupun zuriat mereka akan merancang balas dendam terhadap Palembang mahupun Wurawari satu hari nanti. Ini adalah lumrah alam … sekaligus … lumrah pahlawan.”

“Dan kamu, Shakranta,” sambung Sri Mara Vijaya menoleh semula ke arah Shakranta. “Apa pula pendapatmu?”

“Ampun Kita, Tuanku,” balas Shakranta sambil terkenang kembali detik-detik manis pernikahannya sendiri dengan Isabelle  semusim yang lalu yang masih segar dalam ingatannya, seperti baru semalam ia berlaku. “Sembah Kita harap diampun. Bukannya Kita berhasrat merumitkan keadaan. Akan tetapi … jika mengikut adat di negeri Kita … dikira tidak baik kalau menganiaya pengantin pada hari pernikahan.”

“Bagaimana pula tentang masa hadapan? Tidakkah cara sebegitu bakal menimbulkan masalah nanti?”

“Soal apa yang bakal terjadi di hari muka … itu terpulang kepada ketentuan … ia di luar kawalan kita. Kalaupun mereka sebagai pewaris kerajaan Mataram kita hapuskan serta merta … apakah dapat kita pastikan bahawa tiada pihak lain dari Pulau Jawa ini … yang akan mengancam Palembang Srivijaya … mahupun Wura Wari … di masa mendatang?

“Ummm, ada betulnya juga pemerhatianmu itu,” ujar Mara Vijaya.

“Biarkanlah saja mereka pergi … Tuanku Maharaja. Fikir Kita … mustahil mereka berdua yang masih muda belia ini, bersama pengawal mereka yang seorang ini, akan dapat … mengancam Palembang … mahupun Wura Wari … dalam waktu terhampir ini. Namun … demi kepastian … dan agar sebarang keputusan yang dibuat tidak disesali … Kita cadangkan mereka dibelenggu dulu sepanjang malam ini. Sama ada hendak dibunuh atau dibebaskan … boleh diputuskan esok hari. Tidak perlu tergesa-gesa. Kerana … walau apapun yang diputuskan … bakal mencorak sejarah seluruh Pulau Jawa hingga berabad-abad ke kemudian hari. Begitupun … itu hanyalah … sekadar pandangan Kita. Ampun, Tuanku.”

“Bagus!” ujar Sri Mara Vijaya. “Satu pertimbangan yang terperinci. Hulubalang! Rantai mereka bertiga!”

“Tunggu!” Sri Jaya Bhupati tiba-tiba muncul entah dari mana. Tubuhnya luka-luka dan calar-calar di sana sini selepas memimpin ketumbukan pahlawan Wura Wari menggempur dan mengasak bala tentera Mataram yang berkubu di Keraton Watu Galuh sepanjang petang.

“Ayahanda Sri Jaya Bhupati!!!” gadis tadi melolong semula selepas terdiam seketika. “Tergamak Ayahanda melakukan ini semua kepada kami!!! Apakah salahnya kami semua … hingga Ayahanda sanggup bersekongkol dengan Palembang dan menganiaya kami begini rupa???”

“Ayahandamu sendiri yang punya angkara, Sri Lakshmi,” Sri Jaya Bhupati menjawab penuh tenang. “Bagiku, Mataram dan Palembang sama saja, kedua-duanya boleh bersahabat dengan Wura Wari, Lwaram dan seluruh Sunda-Galuh. Berhubung sengketa di antara Mataram dan Palembang, aku mulanya tidak ingin memihak kepada mana-mana pihak. Kerana, antara Dharma Wangsa dengan Mara Vijaya, kedua-duanya adalah besanku. Kalau boleh, ingin ku berusaha mendamaikan di antara keduanya. Akan tetapi, Dharma Wangsa berniat begitu jahat. Dia membuat perancangan sulit untuk meracun dan membunuhku berserta seluruh rombongan Wura Wari di majlis kenduri perkahwinanmu!”

Air Langga menoleh ke arah sepupu sebaya usia yang baru dinikahinya, di wajahnya terbayang kehairanan.

“Tidak!!!”, Dyah Sri Lakshmi bertempik sambil terus menangis. “Itu tidak mungkin. Ayahanda Sri Jaya Bhupati berbohong!! Tidak mungkin Ayahandaku berhasrat mengkhianati seorang besannya sendiri!!”

“Mengapa tidak? Bukankah sudah sekian lama dia berusaha memaksa Wura Wari dan seluruh Lwaram supaya tunduk kepada pertuanan Mataram? Bukankah itu sebabnya aku bersetuju untuk berbesan dengannya, buat meredakan keinginan rakusnya itu? Setelah dia menghapuskanku, dia akan menyerang kota Wura Wari dan menakluki seluruh negeri Lwaram yang tiada lagi rajanya.”

“Begitu sekali?”

“Ya. Begitu sekali. Seterusnya dia akan menumbangkan seluruh Persekutuan Sunda-Galuh, yang tiada lagi pewaris takhtanya dengan ketiadaanku selaku Putera Mahkota. Lalu dia akan menjadikan seluruh bumi Sunda-Galuh sebagai naungan Mataram.”

"Dan seterusnya ... setelah seluruh Sunda-Galuh berada dalam genggamannya ..." Mara Vijaya menyelit, "dia akan menyeberangi Selat Sunda dengan angkatan terbesar dalam sejarah Mataram ... untuk menghancurkan Palembang ... lalu menakluki seluruh Mandala Agung Palembang Srivijaya."

Dyah Sri Lakshmi dan Air Langga keduanya menoleh kepada Mara Vijaya, terbeliak mata mereka, tergamam seketika, kemudian mengalih kembali pandangan mereka kepada Sri Jaya Bhupati.

“Sungguh hebat cerita Ayahanda Sri Jaya Bhupati," Dyah Sri Lakshmi meneruskan. "Tapi itu semua dongeng!! Itu semua bohong!!”

“Bohong, katamu? Ya, orang Mataram memang terkenal dengan tipu perdayanya. Nasib baik seorang pahlawan Wura Wari yang berkahwin dengan gadis Mataram terhidu bau rancangan durjana Dharma Wangsa, dan menyampaikannya kepada ku. Kalau tidak, bermakna hari ini bukan nyawa Dharma Wangsa yang melayang, tetapi nyawaku sendiri. Dan musim ini bukan kerajaan Mataram yang roboh, tetapi kerajaan Lwaram dan Sunda-Galuh!”

“Mengapakah antara Mataram dengan Sunda-Galuh seperti begitu benci membenci?” Dyah Sri Lakshmi teresak-esak. “Mengapa seperti ada dendam kusumat yang tak kunjung padam?”

“Sri Lakshmi. Sengketa ini mungkin boleh dianggap sebagai sambungan kepada sengketa lama di zaman purba. Sengketa di antara Kalingga dan Taruma Negara. Mataram adalah pewaris Kalingga, manakala Sunda-Galuh adalah pewaris Taruma Negara. Bak kata orang, luka lama itu kadang kala berdarah kembali. Bara yang tertimbus dek abu, kalau ditiup, boleh menyala semula apinya.”

§
Keesokan harinya, debu perang mula bermendapan, setelah dibasahi hujan gerimis awal pagi. Tiga tawanan itu diberi makan secukupnya, seterusnya dibebaskan. Maka merekapun segeralah beredar. Takutnya mereka kiranya Maharaja Mara Vijaya tiba-tiba berubah hati. Sekejap berjalan, sekejap berlari, berjalan semula apabila keletihan, hingga akhirnya sampailah mereka ke pinggir hutan Vana Giri.

Lalu merekapun terus tinggal menetap di hutan Vana Giri, hidup di kalangan para petapa sekian lama. Maka kehidupan harian mereka, atau makan minum mereka, mahupun pakaian mereka, sekadar menyamai para petapa itu seperti seadanya.

“Kita sudah alah berperang. Tiada lagi pertempuran akan berlaku di antara Mataram dan Palembang … sekurang-kurangnya dalam waktu terdekat ini. Namun janganlah kita semua orang Mataram berputus asa. Biarlah kita kini berusaha memperoleh kemenangan dalam kedamaian.” Demikian nasihat Naruthama … kepada Air Langga dan Dyah Sri Lakshmi yang saban hari bermenung murung.

Maka Air Langga pun bersumpahlah, kiranya dia mendapat kembali takhtanya, akan membina sebuah ashram di tengah-tengah hutan Vana Giri itu.

§
Dengan kemenangan gemilang bala tentera gabungan Palembang-Wura Wari, Mara Vijaya pun amatlah puas dan gembira hatinya. Kebetulan pula, tumbangnya kerajaan Medang Mataram oleh serangan Palembang-Wura Wari disusuli seterusnya tidak lama kemudian oleh malapetaka besar. Akibat letupan dahsyat Gunung Merapi yang membakar hangus seluruh negeri dan memusnahkan lebih banyak lagi harta benda serta mengorbankan jiwa lebih ramai lagi rakyat jelatanya. Lalu Mara Vijaya kini lega selesa bersemayam di takhta Palembang sebagai maharaja buat seluruh Mandala Agung Sri Vijaya, musuh ketatnya dari Pulau Jawa itu tiada lagi mengancam kesejahteraan kerajaannya.

Sebagai menepati janji murni dengan negeri-negeri bersekutu dan bersahabat, iaitu Pakatan Pantai Timur, Mara Vijaya merestui hasrat Amdan Negara untuk memperoleh merdeka sepenuhnya daripada Palembang tanpa sebarang tentangan. Manakala Pahang Indera Pura dan Terengganu Primula Negara terus mengakui pertuanan Palembang, sementara menunggu kesempatan lain bagi mereka sendiri untuk merdeka di hari muka. Begitupun Pakatan Pantai Timur semakin kukuh kedudukannya, kerana Palembang pun tiada lagi mampu menghalang dan mengekang kebangkitannya.

Kembang Seri Wangi seterusnya ditabal menjadi ratu negeri Amdan Negara, dengan gelaran penuhnya Ratu Agung Seri Dharma Amdan Negara. Mara Vijaya sendiri hadir diri bersama segerombolan besar pengiring terpilih sebagai tanda restu Palembang di upacara rasmi isytihar merdeka di Bukit Panau. Kembang Seri Wangi kemudiannya segera melantik puteranya Shakranta menjadi Putera Mahkota, manakala menantunya Isabelle diberi gelaran Puteri Mahkota.

Demikianlah, hasrat sekian lama Wangsa Dharmakusuma untuk bangkit semula sebagai golongan raja berdaulat yang memerintah negeri sendiri yang merdeka sepenuhnya, akhirnya tercapai dengan gilang-gemilangnya. Mujurnya ia berlaku dengan tidak terlalu banyak bertumpah darah menentang pihak yang menjajah, tetapi melalui akal dan perkiraan yang bijak bestari, memanfaatkan kesempatan yang muncul tidak semena-mena dengan sebaiknya.

§
Musnahnya Sebuah Kota Gagah
Maka musnahlah kota nan teguh
Terbakarlah keraton Watu Galuh

Dijilat lidah api semarak menggunung
Menebus segala dosa tertanggung

Asapnya melonjak ke langit nan sayu
Menonggang sayap sang bayu mendayu

Sang Gunung Merapi pun turut murka
Laharnya menyimbah membakar segala

Kecundanglah kini negeri tersohor
Rajanya gugur ... takhtanya berkubur

Roboh ... runtuh ...
Hancur ... luluh ...

Padamlah sudah riwayat Mataram
Yang tinggal hanya kenangan semalam

Gelojohnya hingga mengundang padah
Angkuhnya sampai mempelawa musibah

Tumbang ia dek perdaya Palembang
Yang dulunya alah ... kini menggarang

Kononnya Sri Jaya Bhupati kepala perang
Namun Mara Vijaya merancang di belakang

§
Seminggu selepas menaiki takhta sebagai ratu Amdan Negara, Kembang Seri Wangi mengutus Panglima Buluh Padu dan Panglima Pinang Jingga menghadap raja-raja negeri Perlak dan Samudera Pasai, membawa watikah persahabatan. Ia sebagai persediaan serta perancangan untuk menghadapi sebarang kejadian di masa hadapan.

Maklumlah sahajalah, hubungan Amdan Negara dengan Palembang sungguhpun kini baik, di hari muka tiada sesiapa yang tahu. Maka Amdan Negara tetap perlu bersahabat dengan sebanyak mungkin negeri lain, agar mampu menghadapi sebarang kemungkinan Palembang berubah sikap di masa hadapan. Kebetulan pula Perlak dan Samudera Pasai juga sentiasa terancam oleh kekuasaan Palembang yang pernah menaklukinya beberapa lama, namun ketika itu berundur hanya setelah Palembang sendiri terancam oleh kekuasaan Mataram di bawah pemerintahan Dharma Wangsa.

Mara Vijaya sendiri tidak begitu selesa melihat hubungan yang bertambah baik di antara Amdan Negara dengan dua negeri di penghujung utara Pulau Sumatra itu. Tambah lagi raja dan kebanyakan rakyat Perlak dan Samudera Pasai kini menganuti ajaran Islam, maka dianggap oleh Mara Vijaya sebagai suatu ancaman kepada keunggulan Palembang yang menjuarai fahaman Buddha aliran Mahayana di Pulau Sumatra. Namun dalam keadaan terkini, Mara Vijaya tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Apatah lagi Amdan Negara pula kini semakin hari beransur semakin gagah.

§
Rajendra raged like an angry beast on hearing the news of Mataram’s destruction by Palembang-Wura Wari.

“Aditya!!!” he screamed at his Chief Commander. “I want Mara Vijaya’s head! Make preparations for a large invasion. Palembang must be taught a lesson. Or, pretty soon, they might start getting even more dangerous ideas.”

“I understand. Consider it done, Your Majesty. I shall get ready 300 ships. That should be enough for Palembang.”

“Did you hear what I just said? Or do you still insist on remaining an idiot? I said that Palembang must be taught a lesson. When I say a lesson, I mean just that. A big, bloody lesson. Get ready at least a thousand ships. We’ll hit not only Palembang, but all of its federated ally kingdoms in Suvarna Dvipa. The Golden Islands shall burn big and bright from the fire of Chola Mandalam.”

“I’m very sorry, Your Majesty,” Aditya apologised immediately. “Please forgive me, for underestimating the gravity of the situation. I shall carry out your orders as you wish.”

“Yes! It is a grave situation, indeed. For Chola Mandalam. As well as for the entire Hindu realm. Apparently, this is something beyond you to grasp. If Mahmud of Ghazna succeeds in entrenching his Muslim empire in northern Hindustan, and encroaches any further southwards, and if the Buddhist kingdoms in Suvarna Bhumi and Suvarna Dvipa are all smart enough to ally with him, our Hindu realm is as good as encircled. Knowing Mahmud, he might already have sent his legion of maulanas there to preach the Islamic faith to them."

"Well, apparently he's succeeded rather brilliantly with Amdan Negara. But the Sumatrans are still mostly faithful to Mahayana and Vajrayana, aren't they?"

"Not at all. As a matter of fact, Perlak and Samudera Pasai are now two increasingly entrenched Islamic kingdoms in Northern Sumatra. They've managed to shake off Palembang's yoke, no thanks to Mataram's repeated invasions of Palembang and Dharma Vamsa's insatiable hunger for power and territory. Mahmud has been in regular contact with both Perlak and Samudera Pasai, constantly strengthening Ghazna's relationship with them. I fear that Malayu Jambi may one day be drawn to Islam too, for it could help them break away permanently from Palembangian hegemony, something that they've been trying hard to do for centuries."

"It is a worrying situation, isn't it?"

"Of course it is. And, in case your lame brain has suddenly malfunctioned again, we already have our hands full at home with our near neighbours Pandya, Western Chalukya and Hoysala. Leave alone Singhala Nagara and Bhangala. The only way for Chola Mandalam to survive and thrive is as a fierce tiger of Shiva. Anything less than that, we’re dead meat.”

“Yes, Your Majesty. Your sharpness and foresight is well known throughout all of Hindustan. Now I understand why.”

“How soon can we get our ships and soldiers ready?”

“For such a large fleet, Your Majesty, and if we’re to sail to Suvarna Dvipa with a crushing victory in mind, we’d need about a year to prepare.”

“Fine! Just make sure you get it done. And better get it done bloody good. Or I’ll have your head on a plate, Commander.”

§
Rajendra’s massive attack on Palembang was met by the best forces of the Srivijayan Federation that Maharaja Mara Vijaya could muster. But it was a surprise attack, and Mara Vijaya did not have the time to organise a proper defence. Let alone to seek additional help from federated ally kingdoms. Like he did the previous year, when Palembang itself was the initiator of the attack on Medang Mataram.

Mara Vijaya himself was seriously injured in the battle in Palembang against Rajendra’s Chola Mandalam forces, a wild spear in the heat of battle catching him in the shoulder. In his younger days, Mara Vijaya’s robust constitution would have enabled his body to shake off the effects within several weeks at most. But now, the ravages of age and numerous bruising battles had caught up with him. His wounds had turned septic, and he eventually succumbed to his injuries several months later, early the following year. His young son, the precocious Sang Rama, ascended the throne of Palembang Srivijaya as Sang Rama Vijaya Thunga Varman.

On the advice of his strategists, Sang Rama had another grand palace built for him in Kedah Negara, Srivijaya’s provincial capital in the north western part of the Malay Peninsula. Kedah Negara had by then eclipsed Palembang as the chief commercial and trade centre of the sprawling Srivijayan realm. Its naturally well sheltered seaport, at the river mouth of the Merbok River, had become preferred over that of the Palembang river port, the waters around which had become increasingly infested with pirates. Palembang, however, still kept its pride of place as the political centre of the sprawling Srivijayan Federation.

§
Sembilan belas tahun kemudiannya (1035) Air Langga membuka negeri Mataram yang baru berpusat di kota yang dinamakannya Kahuripan, lalu menaiki takhta sebagai rajanya. Sembilan tahun dia memerintah sebagai raja, kemudian turun takhta untuk hidup seterusnya sebagai seorang petapa, meninggalkan Medang Kahuripan, dipecah dua menjadi Jenggala dan Kediri, kepada dua puteranya (1042). Sempadan Jenggala dan Kediri ditetapkan oleh pendita Bharada.

No comments:

Post a Comment