Sunday, December 12, 2010

Bab 16: Utusan Dari Kedah Negara

Kini sudah sembilan tahun Kembang Seri Wangi memerintah Amdan Negara sebagai raja, dengan gelaran rasminya Ratu Agung Seri Dharma Amdan Negara. Sahabatnya Maharaja Mara Vijaya mengalami kecederaan parah semasa berjuang sengit menentang serangan mengejut bala tentera Chola Mandalam ke atas Palembang. Baginda kemudian jatuh gering lalu akhirnya mangkat berpunca daripada kesan kecederaan yang tidak dapat disembuhkan oleh para tabib terbaiknya.

Di peringkat awal kemangkatan Mara Vijaya, Kembang Seri Wangi meratapi kepergiannya buat beberapa lama. Entah mengapa hatinya sudah mula tertarik dengan maharaja itu yang pernah menyuarakan hasratnya untuk memperisterikan dirinya dan menjadikannya permaisuri kedua, merangkap Ratu Agung bagi seluruh Persekutuan Langkasuka Adhi Negara. Namun akhirnya, dia redha dan menganggap semuanya itu sebagai ketentuan Sang Pencipta Yang Esa.

Kebesaran Sang Pencipta tiada sesiapapun yang dapat menduga. Di antara Kembang Seri Wangi dan Mubarak, muballigh pengembara berbangsa Arab dari Semenanjung Hejaz, akhirnya saling jatuh cinta dan bertemu jodoh, lalu kesudahannya terdirilah istana bahagia di antara keduanya. Atas nasihat puteranya sendiri Shakranta selaku Putera Mahkota merangkap Panglima Agung, Mubarak seterusnya dilantik oleh Kembang Seri Wangi memegang jawatan khas secara rasmi sebagai Penasihat Diraja Bagi Hal Ehwal Islam.

§
“Abang Oja,” Chinta Kirana bersuara. “Abang nak ke mana tu?” Chinta Kirana meninjau-ninjau ke bawah melalui jendela kamarnya. Kelihatan Ozalan menonggang seekor daripada kuda tuannya, sambil memimpin tali kendali kuda yang seekor lagi.

Puteri tunggal Shakranta dan Isabelle itu kini berusia sepuluh tahun. Dia seperti masih tidak dapat berenggang dengan Ozalan yang dianggapnya sebagai abang. Ke mana saja Ozalan pergi pasti akan diikutinya. Kecuali ketika Ozalan perlu menjalankan tugas-tugas kasar seperti mengendalikan kuda dan sebagainya. Ataupun membantu Pak Utih atau Pak Uda dengan kerja-kerja mereka.

“Abang nak ke dusun, Chinta. Nak petik buah-buahan. Abang bawa Kshatriya dan Srikandhi sekali. Chinta duduklah di rumah. Nanti Abang bawa balik buah rambutan, manggis dan duku. Buah-buahan kegemaran Chinta, kan?”

“Ala, Abang ni. Chinta nak ikut sama. Bosanlah duduk kat rumah aja sepanjang hari.”

“Nanti, kalau bunda Chinta marah, macam mana?”

“Kalau dia marahpun, tak kan lah sampai dia nak pukul,” jawab Chinta Kirana seolah-olah begitu yakin dengan dirinya.

“Baiklah. Kalau begitu, lebih baik Chinta pergi minta izin dengan bunda Chinta dulu. Kalau dia benarkan, baru Abang boleh bawa Chinta ikut Abang.”

“Baik, Bang. Chinta pergi jumpa dia sekarang. Abang tunggu Chinta dulu, ya?”

§
Isabelle melangkah naik ke Mahligai Dharmakusuma, setelah beberapa lama berjalan-jalan meninjau kawasan pekarangan mahligai.

“Bunda!” Chinta Kirana bersuara sebaik sahaja ternampak kelibat ibunya.

“Ya, Chinta. Ada apa, Sayang?”

“Ummm ... Abang Oja nak ke dusun. Dia membawa Kshatriya dan Srikandhi bersamanya. Chinta ... Chinta nak ikut sama. Boleh tak, Bunda?”

“Tidak, Sayang. Hari ini tidak sesuai untuk itu. Minta Ozalan tundakan rancangannya itu ke esok atau lusa. Bukan Bunda tak bagi. Tapi sehari dua ini, Bunda khuatir kalau-kalau ada ancaman yang membahayakan. Anakanda lihat rombongan di sana tu ... dekat pintu gerbang tu ... yang sedang asyik berbicara dengan Ketua Pengawal itu. Kita masih belum pasti lagi buruk baik niat mereka. Sepanjang hari ini ... jangan Anakanda pergi terlalu jauh dari pekarangan istana.”

“Kalau begitu, baiklah Bunda. Tapi, kalau esok lusa, bolehlah, ya Bunda?”

“Kita tengok dulu keadaannya bagaimana. Panggil Ozalan ke mari.”

“Baik, Bunda.”

Sejurus kemudian …

“Puanku Isabelle,” Ozalan bergegas-gegas datang dari arah ladang, selepas membawa kuda-kuda jagaannya untuk meragut-ragut dan berjemur di sana, setelah selesai memandikan haiwan-haiwan itu di tasik berhampiran jeram. “Puanku panggil saya ka?”

Semasa zaman kanak-kanak mereka berdua di Konstantinople dulu, Ozalan biasanya memanggil Isabelle, yang bersahabat baik dengan ibunya Shamira, dengan gelaran Ziba Baji, yang bermaksud Kakak Cantik dalam bahasa campur Parsi-Turkmen. Kerana terpengaruh oleh beberapa orang kawan yang beberapa tahun lebih tua daripadanya ketika itu, dia lebih gemar bertutur begitu sungguhpun di kota itu bahasa Greek yang menjadi bahasa utama.

Kebetulan, gelaran itu, bagi Ozalan yang masih kecil ketika itu, bunyi sebutan Ziba itu agak hampir dengan Isabelle, yang sukar hendak disebut oleh Ozalan dengan betul kerana telornya serta pelat asalnya yang pekat. Maka sekian lama selepas mereka sampai di Bukit Panau dan mendiami Mahligai Dharmakusuma, Ozalan terus memanggil Isabelle dengan panggilan Ziba Baji, kemudian beransur meringkaskannya kepada hanya Baji atau Kakak.

Namun, selepas Isabelle mengahwini Shakranta, Ozalan mengubah panggilan itu kepada Puan, sungguhpun Isabelle lebih suka Ozalan tetap memanggilnya Baji atau Kakak. Seterusnya panggilan itu berubah lagi menjadi Puanku selepas Amdan Negara beroleh merdeka sepenuhnya dan Shakranta dilantik secara rasmi menjadi Putera Mahkota, membantu bundanya Kembang Seri Wangi yang ditabal sebagai Ratu Agung, dengan Isabelle menjadi Puteri Mahkota.

“Ya, Oja,” jawab Isabelle. “Mari ke sini.”

Isabelle berbisik sesuatu kepada Ozalan. Anak muda itu mengangguk-angguk sambil mendengar setiap patah penerangan dan arahan Isabelle dengan cermat.

“Baik, Puanku. Hamba faham.”

“Sekarang kau pergi panggil Mak Utih, Pak Utih, Mak Uda dan Pak Uda ke mari berjumpa dengan ku segera. Lepas tu, cari Ketua Pengawal dan minta dia datang ke sini dengan serta merta. Kemudian, kembali ke sini dan sentiasa awasi pergerakan Chinta. Jangan kau berenggang jauh dengannya. Dan jangan biarkan dia merayau-rayau terlalu jauh dari kawasan istana sepanjang dua tiga hari ini. Kalau kau perlu pergi agak jauh, untuk memandikan kuda atau sebagainya, ajak Chinta ikut bersamamu, dan ajak dua orang pengawal untuk mengiringi dema berdua. Akan ku beri arahan itu kepada mereka.”

“Baik, Puanku. Hamba pergi sekarang.” Sambil beredar untuk melaksanakan tugasannya, Ozalan meraba-raba keris panjang pemberian Shakranta yang tersisip di pinggangnya, untuk memastikan ia tetap berada di situ, seterusnya memperbetul kedudukannya.

§
Shakranta duduk bersandar di kerusi empuk di balai tamu, menikmati juadah lewat pagi.

“Paduka Tuanku Putera!” kedengaran suara lantang Ketua Pengawal memanggilnya.

“Ya, Gadang. Ada apa tu?”

“Ada serombongan orang di pintu gerbang. Mereka menunggu di pondok pelawat. Mereka ingin berjumpa Tuanku. Kata mereka … mereka dari Gunung Jerai, di Kedah Negara. Di ketuai oleh seorang Menteri Utusan. Membawa watikah penting daripada … Maharaja Sang Rama Vijaya Thungga Varman.”

“Lalu apa pula yang Baginda mahu?”

“Hamba kurang pasti pula, Tuanku.”

“Ambil watikah itu dan bawa kemari kepada Kita. Biar Beta baca dulu apa isinya.”

Ketua Pengawal itu bergegas-gegas pergi semula ke pintu pagar. Ketua rombongan itu mengunjukkan selembar watikah kepadanya. Ketua Pengawal itu mengambilnya dan membawanya kepada Shakranta.

“Aapaaa???”

“Mengapa, Tuanku? Ada sesuatu yang tidak kena?”

“Memang ada. Ohhhh ... si bongkak itu mahu meminang Chinta Kirana untuk dirinya. Dasar manusia tak sedar diri. Puteriku yang belumpun mencecah sepuluh tahun umurnya. Masih seorang anak. Tidak. Walau siapapun orangnya, walau sehebat manapun alasannya, walau semanis mana janji-janjinya, tidak kan ku berikan puteriku kepada seorang lelaki bernafsu haiwan seperti dia.”

§
“Lalu mengapakah rajamu itu begitu beria-ia hendak meminang puteri Beta, Chinta Kirana, yang masih berumur setahun jagung itu?”

“Kata Sri Sang Rama, Chinta Kirana bukan saja cantik ayu … tetapi juga mewarisi zuriat yang hebat daripada isteri Tuanku, Permaisuri Isabelle, serta Tuanku sendiri. Lalu baginda sungguh-sungguh berhasrat untuk menggabungkan zuriat Raja Daud dan Panglima Kambujiya yang diwarisi oleh puteri Tuanku itu … dengan zuriat Palembang Srivijaya yang tidak kurang hebatnya … supaya ke dalam susur galur putera-putera Palembang … yang bakal mewarisi takhta kerajaan Srivijaya di hari muka … akan memiliki susur galur yang tiada tolok bandingnya di Rantau Tenggara ini … agar dapat membantu memulihkan kembali … kegemilangan kerajaan Srivijaya. Baginda berjanji bahawa … sebarang putera yang bakal terhasil daripada perkahwinannya dengan Chinta Kirana … akan mewarisi takhta Srivijaya.”

“Beta rasa Beta faham hasrat Baginda itu,” ujar Shakranta. “Kalaulah Baginda mengikut tatatertib dan adab sopan yang betul … mungkin permintaannya itu akan Beta beri pertimbangan selayaknya. Itupun hanya sekiranya Baginda sanggup menunggu sehingga puteri Beta lebih dewasa … dan … hanya dengan syarat Baginda sanggup memeluk fahaman kami sekeluarga ... iaitu fahaman Islam. Kerana kami orang Islam hanya dibolehkan berkahwin sesama Islam. Tidak! Itu semua bohong! Dia hanya mahukan puteri Beta, Chinta Kirana, sekadar sebagai pemuas nafsu haiwannya, bukan?”

“Diam!!!” Menteri itu bertempik lantang. “Terlalu lancang mulut Tuanku Putera.”

“Lancang? Ohhh … seekor anjing kurap sepertimu pun pandai mengata seorang putera mahkota sepertiku lancang rupanya. Ya, memang mulut Beta lancang … kerana bahasa dan cara yang digunakan oleh rajamu itu yang begitu biadap! Tidak memperdulikan adat dan tatasusila orang timur. Langsung tidak menghormati Beta sebagai orang tua Chinta Kirana yang digilainya. Ceh! Ingatlah kamu bahawa Beta ini bukan saja pewaris zuriat Panglima Kambujiya dan cucu cicitnya Panglima Sudakh Shina. Tetapi juga Raja Buddhagupta Maha Navika raja Negeri Bumi Merah di zaman silam. Serta melalui permaisuri Baginda pula, zuriat Wan Sri Mara, Panglima Agung negeri Funan yang akhirnya menjadi Raja Agungnya. Berbenih daripada kerajaan Bumi Merah jugalah tumbuhnya Wangsa Srivijaya di Palembang dan Wangsa Sailendra di Jawa Tengah, iaitu kedua jurai leluhur kepada rajamu itu. Dan kau, anjing kurap, lebih baik kau nyah dari sini segera! Sebelum Beta penggal kepalamu sedikit masa lagi.”

“Tuanku Putera terlalu bongkak. Sedarlah diri Tuanku bahawa negeri Tuanku kini di bawah pertuanan Palembang Srivijaya … maka barang siapa yang menduduki takhta Palembang Srivijaya berhak menuntut apa-apa saja yang dikehendakinya daripada Tuanku. Termasuk puteri Tuanku.”

“Heh! Pertuanan Palembang? Ternyata kau dan rajamu itu masih terawang-awang dalam alam khayalan dema sendiri. Amdan Negara sudah kembali menjadi negeri merdeka dan berdaulat sejak Beta membantu Mara Vijaya Thungga Varman, mendiang ayahanda kepada rajamu itu, menyerang negeri Medang Mataram dan memusnahkannya sembilan tahun yang lalu. Kerana itu adalah perjanjian negeri yang jujur dan bersaksi rasmi di antara para Pembesar Memerintah di seluruh negeri-negeri Pantai Timur dengan Mara Vijaya. Sebagai syarat untuk Angkatan Pantai Timur, bala tentera gabungan yang Beta pimpin selaku Panglima Agung, memihak kepada Mara Vijaya dan menolong menumpaskan musuh ketatnya Medang Mataram. Mara Vijaya sendiri yang hadir menyaksikan dan merasmikan upacara isytihar merdeka di Bukit Panau ketika itu.”

Orang itu termenung sejenak. Seperti merenung dan mengamati kata-kata Shakranta.

“Tidak pula pernah kami meminta bantuan daripada Palembang. Di sebaliknya, bukankah Palembang yang meminta bantuan daripada kami untuk menyerang Medang Mataram ketika itu?” Shakranta meneruskan perdebatan. “Maka bagaimanakah pula negeriku masih menjadi naungan negerimu? Wei, badut. Kau dan rajamulah yang harus sedar diri dema. Palembang kini tidak lagi segagah mana. Belajarlah membezakan yang mana ufti … dan yang mana hadiah rasmi negeri tanda persahabatan … sebelum membebel perkara karut marut yang sedikitpun tiada ertinya.”

“Tidak! Memang Tuanku Putera yang seharusnya sedar diri. Namun Tuanku kini begitu megah dan bangga kerana memiliki seorang permaisuri yang cantik jelita, kononnya. Akan tetapi ... bukankah permaisuri Tuanku itu asalnya hanya seorang gadis abdi hina yang Tuanku pungut di pasar abdi?”

§
Telinga Isabelle terasa beransur semakin panas. Mengapakah orang itu begitu biadab? Celupar sekali mulutnya. Isabelle melompat naik ke atas belakang kuda setianya Srikandhi yang cukup terlatih. Lalu memacunya perlahan-lahan ke arah orang itu di atas rumput tebal dan lembut umpama permaidani baldu.

“Salah!!!” Isabelle menengking nyaring, menyampuk dari arah belakang mereka berdua. Kedua lelaki yang sedang bertengkar itu tersentak dari keasyikan berdebat, langsung terus menoleh ke arahnya.

Isabelle rupanya. Memakai pakaian pahlawan yang serba lengkap, dengan baju berlengan pendek. Rambut perang bulu jagung yang panjang lebat berikat ringkas gaya cetum ekor kuda. Sebilah keris panjang pemberian mertuanya, Ratu Agung Kembang Seri Wangi, tersisip di pinggangnya. Keris warisan keluarga Dharmakusuma daripada ratu negeri Chi Tu zaman silam. Dia kelihatan bengis namun anggun. Seperti dewi perang yang menjelma dengan tak semena-mena. Dia telah menyusup menghampiri mereka berdua tanpa sebarang bunyi.

“Tuan jelas tersilap, Menteri Utusan,” sambung Isabelle dengan suara yang lantang tetapi bernada tenang. “Setiap abdi itu asalnya adalah insan yang merdeka sepenuhnya. Dan setiap raja itu asalnya adalah hanya rakyat biasa. Maka janganlah tuan terlalu mudah menghina orang yang tuan anggap hina. Dan terlalu angkuh dan bongkak dengan ketinggian darjat yang kononnya tuan warisi. Pulanglah tuan segera kepada kalangan kerabat tuan. Dan ... oh ... elakkanlah diri tuan daripada terlibat dalam sebarang pertempuran. Kerana pertempuran itu boleh mengubah darjat seorang bangsawan menjadi seorang abdi dalam sekelip mata. Terutamanya seorang bangsawan yang berlagak hebat tetapi berhati dayus seperti tuan!” Isabelle menyudahkan kata-katanya dengan penyudah maut yang dengan serta merta mematikan akal Menteri Utusan itu.

Merah padam tiba-tiba air muka orang itu terkena tempelak Isabelle. Marahnya bercampur malu serta geram. Telinganya, pipinya serta tengkuknya terasa panas membahang. Namun lidahnya seperti terkunci tiba-tiba kelu. Hujah wanita itu begitu jitu, lalu mustahil baginya membalas. Sindirannya pula sungguh tajam dan pedas, serta berubah pula menjadi cemuhan menghina dengan pantas sekali. Dia bisu sebisu-bisunya.

Sambil terus merenung Menteri Utusan itu tanpa berkelip mata, Isabelle menghunus keris panjangnya dengan begitu tegas dari bengkungnya, mengangkatnya ke arah mukanya, lalu mengucupnya pada bahagian sisinya. Seluruh mata keris itu kelihatan menyilau bergemerlapan dalam sinar suria lewat pagi.

Tangan kiri Isabelle pula mula menggosok dan membelai mata keris itu. Dua cincin emas berpermata berlian, satu di jari manis dan satu lagi di jari telunjuk, serta sepasang gelang emas, kelihatan bersinar menyilau bergemerlapan, seperti memantul cahaya daripada kerisnya.

Menteri Utusan itu terasa seperti kakinya mula menggigil. Bulu romanya dan anak rambut halus di tengkuknya terasa mula meremang. Darahnya dengan tidak semena-mena terasa berderau. Seluruh tubuhnya tiba-tiba terasa seram sejuk.

“Oh! Baru ku teringat ... kata orang ... keris yang ampuh ... kalau sudah terhunus ...” Isabelle meletakkan mata keris itu di tapak tangan kirinya ... lalu menorehnya … dengan perlahan-lahan … beberapa kali berturut-turut ... “mesti menghirup darah!”

Isabelle mengangkat semula keris itu ke arah mukanya ... mengamati bahagian hujung mata keris itu yang kini kelihatan merah pekat berlumur darah. Sekali lagi dia melontar jelingan tajam ke arah Menteri Utusan itu. Sejurus kemudian, aliran darah berwarna merah pekat meleleh meniti dari tapak tangan kirinya, ke lengannya, hingga ke sikunya. Lalu menitis, setitis demi setitis, jatuh ke bumi.

“Kur semangat!” Menteri Utusan itu berbisik kepada dirinya sendiri. Tiba-tiba kaki seluarnya terasa panas dan lembap di bahagian paha. Rupa-rupanya dia terkencing kerana terlalu ngeri dengan tingkah laku Isabelle yang semakin aneh dan mengerikan.

Orang itu tidak dapat berkata apa-apa lagi. Kerana kini sahih dirinya memang bukan seorang pahlawan. Malah kalau dicabar bermain keris oleh seorang wanitapun tidak pasti dia sanggup menerima. Apatah lagi seorang serikandi yang bengis bengkeng seperti Isabelle. Dia bergegas-gegas berundur meninggalkan Shakranta dan Isabelle langsung menuju ke arah pengiring-pengirinnya. Mengajak mereka beredar dari tempat itu dengan serta merta.

§
Shakranta memandang isterinya dalam tergamam seketika. Isabelle memacu kudanya bergerak perlahan-lahan ke arah anak sungai di belakang Mahligai Dharmakusuma.

“Dinda,” Shakranta memanggil isterinya. Namun Isabelle seperti tidak mempedulikannya dan terus menonggang pergi, seperti tidak ingin dirinya diganggu.

“Dinda!” Shakranta memanggil lagi. “Tunggu! Tangan Dinda cedera. Mari Kanda tengok.”

Shakranta berlari perlahan hingga bertemu semula dengan Isabelle dan kudanya di tebing anak sungai itu. Namun Isabelle pula memacu Srikandhi menderap, kemudian meligas, semakin lama semakin pantas, menyusur anak sungai ke arah hulunya, menuju ke lereng bukit. Shakranta bergegas melompat naik ke atas belakang Kshatriya yang sedang meragut-ragut berhampiran dan mengejar isterinya itu. Lantas dia menghampiri Isabelle apabila kedua mereka sampai ke kaki bukit kerana khuatir tentang kecederaan di tangannya. Sejurus kemudian dia tersenyum. Geli hatinya seterusnya membuatnya tertawa terbahak-bahak hingga tidak terkawal lagi. Isabelle pun ikut tertawa kecil.

Ternyata Isabelle juga pandai bermain silap mata. Rupa-rupanya yang ditoreh tadi bukannya tapak tangannya sendiri ... tetapi seekor ikan sepat segar yang diikat rapi di tangannya dengan benang halus berwarna samar, lalu hujung benang itu ditambat erat ke gelangnya dan dua cincinnya.

Isterinya itu juga telah mengilas hujah Menteri Utusan Sang Rama Vijaya dengan hanya sekali tutur. Mengilasnya dengan kilasan mati yang langsung tidak terungkaikan oleh orang itu, membuatnya terpacak kaku seketika di tempat dia berdiri. Peristiwa yang sungguh menakjubkan. Shakranta menggeleng-gelengkan kepalanya, tersenyum seorang diri.

§        §        §

No comments:

Post a Comment