Sunday, December 12, 2010

Bab 13: Kunjungan Seorang Maharaja


Sejak dari zaman Funan, dan seterusnya Chenla, kerajaan-kerajaan di bumi Langkasuka sentiasa tumbang dalam berperang menentang bala tentera musuh yang datang menyerang. Tumbangnya satu demi satu, umpama barisan batang buluh yang bersandar di dinding, akibat sentiasa berseteru dan bersengketa sesama sendiri, jarang sekali hidup berpadu. Perkara yang sama berulang lagi semasa serangan bala tentera gabungan Srivijayan-Sailendra yang belayar ke utara Semenanjung Emas dan mendarat mulanya di Tambra Lingga, ibu negeri Negara Seri Dharma Raja. Pendaratan yang kononnya dibuat dengan alasan ingin membantu memerdekakan negeri-negeri di bumi Langkasuka daripada belenggu pertuanan Chenla.

Kini, dengan Putera Shakranta menerajui bala tentera gabungan Pakatan Pantai Timur, yang mula digelar orang ‘kecil-kecil cili padi’, negeri-negeri di bumi Langkasuka mula kelihatan seperti mereka akhirnya mula belajar menilai pentingnya bekerjasama dan bersatu padu di antara satu sama lain. Sebagaimana yang pernah dikata oleh Putera Adhi Vira, nenda Shakranta, “Apakah Funan dan Chenla sebelum rakyat mereka belajar bersepakat dan bersatu padu? Tidak lebih daripada beraneka suku kaum gasar yang hanya gemar saling bertelingkah dan berbalah di antara sesama sendiri.”

Pendek kata, kerajaan-kerajaan terawal di bumi Langkasuka sendiri mula tertubuh sezaman dengan kerajaan Funan yang terawal. Yang bererti ia berkurun-kurun lebih awal daripada kerajaan Chenla yang pertama. Bagaimanapun, manakala Funan dan seterusnya Chenla bangkit berkembang menjadi kerajaan-kerajaan raksaksa, tiada sebuahpun daripada kerajaan-kerajaan di bumi Langkasuka yang melepasi peringkat kerajaan kecil.

Atas nasihat Panglima Pinang Jingga dan Panglima Nibung Ulung, di kalangan keluarga Dharmakusuma kini berbahasa di antara sesama mereka dengan bahasa istana. Sebagai salah satu persediaan untuk memenangi semula takhta negeri Amdan Negara sebaik sahaja suatu kesempatan yang sesuai muncul menjelma.

§          §          §
Mara Vijaya sendiri, maharaja seluruh Persekutuan Agung Palembang Srivijaya, berkunjung ke negeri-negeri dalam Persekutuan Langkasuka untuk menemui para Pembesar di sana sebagai usaha mendapatkan bantuan mereka. Para Pembesar yang datuk nenek mereka adalah raja-raja yang telah dipaksa turun takhta oleh datuk nenek baginda sendiri, iaitu Dharmasethu maharaja Palembang Srivijaya dan besannya Shankara Dhanan Jaya maharaja Sailendra selepas penaklukan mereka lebih tiga abad yang lalu. Mara Vijaya mengajak Panglima Shankara dari negeri Wura Wari di Jawa untuk mengiringinya. Kebetulan Shankara pula merupakan sahabat baik Shakranta di zaman remaja, ketika mereka berdua berkelana di Patani dan Tambra Lingga, seterusnya berkhidmat sebagai pahlawan perantau dengan bala tentera Raja Sujita, raja negeri Negara Seri Dharma Raja.

Jawapan yang diberikan oleh para Pembesar di Gangga Negara, Kedah Negara, Patani Seri Negara, Terengganu Primula Negara dan Pahang Indera Pura semuanya sama. Pada dasarnya, mereka merestui cadangan menghantar sepasukan tentera gabungan Persekutuan Langkasuka untuk membantu Palembang menyerang Medang Mataram. Dengan syarat pasukan berkenaan berteraskan anggota tetap Angkatan Pantai Timur dan dipimpin oleh Panglima Agungnya sendiri, iaiatu Putera Shakranta. Jelasnya, mereka tidak ingin sekadar melepaskan batuk di tangga. Lebih daripada itu, mereka tidak mahu sebarang pahlawan yang mereka sumbangkan sekadar menjadi sasaran dungu dan korban sembelih pihak musuh. Maka Mara Vijaya perlulah mendapat persetujuan daripada Panglima Agung itu sendiri.
§
Mahligai Dharmakusuma memang menakjubkan sebarang mata memandang. Berdiri teguh zaman berzaman tanpa sebatang paku. Seperti yang pernah didengarinya daripada nendanya sendiri. Kini Mara Vijaya pula yang berdiri tegak bagaikan terpacak kerana begitu terpesona. Kagum sekagum-kagumnya dengan kehebatan seni bina istana yang tersergam gemilang di kaki Bukit Panau itu.

Buatannya daripada kayu yang terbaik. Dindingnya kayu cengal. Lantainya kayu resak. Bumbungnya kayu belian yang keras hampir seperti besi dan sedikitpun tidak tembus air. Ia kalis sekalis-kalisnya.

Mahligai itu mengembalikan kenangan kisah-kisah indah tentang negeri Bumi Merah atau Chi Tu zaman silam yang sering diceritakan oleh mendiang ayahandanya, Chulamani Varma Deva, semasa kecil. Negeri yang seterusnya bertukar nama menjadi Kolaan Thana Amdan Nagara. Maka nama Kolaan Thana itu bermakna Tanah Kolaan, mengambil sempena banyaknya kolaan atau kolaam, iaitu lukisan lantai indah anggun yang menghiasi setiap rumah puja yang terbina di serata negeri.

“Dikatakan orang ... Negeri Bumi Merah itu ... ibu negerinya punya gerbang perdana tiga peringkat … berjarak di antaranya lebih seratus hasta … dilukiskan padanya gambaran para boddhisatva … tergantung padanya juga pelbagai bebunga dan leloceng. Di belakang pemajangan (perbaringan) rajanya pula ... terdiri sebuah tempat pemujaan yang bersalut emas, perak dan lima jenis kayu harum wangi, yang di belakangnya pula tergantung sebuah lampu bercahaya keemasan … ratusan para brahmana duduk berbaris bertentang muka di sisi kanan dan kirinya,” demikian Maharaja Chulamani Varma Deva pernah bercerita.

Setelah beberapa lama Kolaan Thana Amdan Nagara pun disebut mengikut pelat penduduk tempatan sebagai Kelantan Amdan Negara. Sungai terbesar yang melalui negeri itu pun lalu di beri nama Sungai Kelantan. Lama kelamaan pula, nama negerinya menjadi semakin ringkas iaitu Amdan Negara. Selang beberapa lama kemudian, Amdan Negara ditakluk oleh dua nenek moyang Chulamani Varma Deva, iaitu Dharmasethu dan Sang Rama Dhanan Jaya.

Dalam menundukkan Amdan Negara, dua penakluk itu telah menjarah dan memusnah sekian banyak tempat, rumah puja, bangunan dan harta benda. Pewaris Wangsa Dharmakusuma yang menjadi raja sejak zaman berzaman di paksa turun takhta. dan dilantik semula menjadi sekadar seorang Pembesar Jajahan Namun, akhirnya, mereka tertewas oleh Mahligai Dharmakusuma yang indah agam, mempesona mata memandang. Putera Samara Thungga, putera kepada Dharmasethu dan menantu Sang Rama Dhanan Jaya, bersemayam di situ sebagai Raja beberapa lama. Pentadbiran negeri seterusnya diwakilkan kepada seorang kerabat Chulamani yang mentadbir negeri selaku Pembesar Negeri Jajahan. Manakala Samara Thungga pulang semula ke Pulau Jawa untuk bersemayam di takhta Kerajaan Sailendra selepas kemangkatan bapanya Sang Rama Dhanan Jaya.

§          §          §
Puteri Kembang Seri Wangi serta Shakranta dan Isabelle suami isteri mengenakan pakaian terbaik mereka pada hari kunjungan Maharaja Sri Mara Vijaya. Seperti kata Kembang Seri Wangi, sungguhpun Amdan Negara sudah sekian lama tidak mempunyai raja bertakhta, warisan kemegahan dan keagungannya tetap harus dipertahankan.

Puteri Isabelle memakai baju kebaya labuh Amdan Negara daripada kain renda berwarna hijau muda. Berpasang dengan kain sarung songket Kemboja berwarna kuning susu. Dilengkapkan pula dengan selendang lebar Gujarat daripada kain sutera berwarna ungu. Kepalanya berhias gendik emas berbunga mawar tujuh. Dadanya beradun dokoh emas. Manakala pinggangnya berpakai bengkung emas dengan pending emas. Membuatnya kelihatan begitu anggun seperti seorang puteri Langkasuka.

Manakala Kembang Seri Wangi sendiri memakai baju kemban jantan Amdan Negara daripada kain baldu Parsi berwarna ungu muda, berpasang dengan kain sarung ropol di depan berwarna sedondon daripada songket Dvaravati, dilengkapi dengan selendang jong sarat menutup bahu daripada songket Byzantium. Dia juga mengenakan gendik emas, dokoh emas, bengkung emas dan pending emas sebagai perhiasan. Keris tajung besar lambang kebesaran Amdan Negara warisan daripada nenek moyangnya sejak zaman berzaman, bernama Taji Alam Sri Dharma Amdan Negara, tersisip megah di pinggangnya. Gayanya tidak ubah seperti seorang ratu Amdan Negara dahulu kala.

Shakranta pula memakai baju sikap putera raja Amdan Negara berwarna hijau zamrud daripada kain baldu Turkestan bersulam benang emas. Berpasang dengan seluar panjang labuh berwarna perang daripada kain sutera China. Dilengkapi dengan kain sampin ikat lepas daripada kain kapas Benggala, destar gaya Ikat Garam Sebuku dan bengkung Limar Tapak Catur.

Ozalan juga ikut berpakaian kemas dan bergaya. Biasanya dia lebih selesa berpakaian ringkas seperti anak petani kerana memudahkannya menjalankan kerja-kerjanya. Namun pada hari itu dia diarah oleh Kembang Seri Wangi supaya berpakaian istimewa, membuatnya kelihatan agus dan tampan seperti seorang putera.

§          §          §
Shakranta bingkas bangun lalu bergerak ke jendela, meninjau-ninjau. Dia ternampak Ozalan yang sedang membawa kuda jagaannya ke arah ladang.

“Oja,” Shakranta memanggil anak muda itu.

“Ya, Tuan,” Ozalan menjawab.

“Kemanakah kamu menghala?”

“Keladang, Tuan. Hari ini hari bersantai untuk Kshatriya dan Srikandhi.”

“Ohh, baiklah kalau begitu.”

“Tuan ada apa-apa pesanan lain?”

“Memang ada. Kita ada serombongan tetamu istimewa dari jauh. Rombongan Maharaja Mara Vijaya dari Palembang. Kau bawa ke mari dua puluh tukil nira yang paling segar ... dan sebakul kelapa muda yang terbaik. Dan ... mari ke sini sebentar.”

Shakranta berbisik sesuatu kepada Ozalan. Anak muda itu kelihatan mengangguk-angguk, tanda faham arahan tuannya.

“Baik, Tuan. Hamba kembali sebentar lagi.”

§          §          §
Setiap pengiring Mara Vijaya menyerahkan setiap senjata yang berada ditubuhnya kepada Ketua Pengawal di pondok pengawal berhampiran Gerbang Utama. Demikianlah tatatertib wajib bagi setiap orang yang memasuki persekitaran Mahligai Dharmakusuma, tidak kira siapa gerangannya, walau kecil atau besar, baik hamba mahupun raja.

Namun, atas budi bicara Kembang Seri Wangi, Mara Vijaya sendiri diberi pengecualian, lalu baginda membawa bersamanya Keris Agung Srivijaya, keris resmi kerajaannya, serta Pedang Seri Pendawa yang tersandang di belakangnya.

“Beta berasa agak terkilan, Puan Puteri Kembang Seri Wangi,” ujar Mara Vijaya sambil melangkah masuk ke balai tetamu bersama Panglima Shankara, sahabat dan pengiringnya dari negeri Wura Wari di Pulau jawa, dan tiga orang pengawal terkanannya yang lain.

Kebetulannya, Panglima Shankara juga merupakan sahabat Shakranta yang paling akrab ketika mereka berdua berkelana di Tambra Lingga sebagai pahlawan perantau yang berkhidmat dengan bala tentera Sujita Raja, iaitu raja negeri yang bernama Negara Seri Dharmaraja.

“Mengapakah gerangannya, Tuanku Maharaja?” tanya Kembang Seri Wangi. “Apakah yang tidak kena?”

“Kerana tiada undangan daripada pihak Puan kepada Beta ke majlis kenduri perkahwinan Putera Shakranta, putera Puan, tempoh hari.”

“Ampun Kita, Tuanku Maharaja,” ujar Kembang Seri Wangi “Maklumlah Tuanku, Kita ini kan sekadar kerabat raja tidak bertakhta. Masakan pula Kita tergamak terfikirkan, bahawa seorang raja besar seperti Tuanku Maharaja, sanggup mencemar duli, datang begitu jauh, untuk menghadiri sebuah majlis yang tak seberapa, di sebuah jajahan takluk Baginda.”

Sindirannya agak halus dan lembut, sebagaimana lazimnya sindiran berlapik seorang wanita beradab. Namun Mara Vijaya tetap terasa seperti tercakar kalbunya.

“Puan Puteri terlalu merendah diri,” balas Mara Vijaya, sindiran ditangkis sehalus ia dilayang. “Beta kenal baik dengan mendiang suami Puan, Putera Prabhava. Kami bersahabat rapat. Hampir setiap kali dia berkunjung ke Palembang atas urusan dagangnya, kami berdua pasti keluar ke hutan untuk berburu bersama.”

“Ohh, baru Kita teringat semula,” tingkah Kembang Seri Wangi. “Kanda Prabhava memang ada bercerita kepada Kita tentang Tuanku.”

“Prabhava seorang putera yang segak dan tampan,” Mara Vijaya meneruskan celotehnya. “Memang sewajarnya dia bertemu jodoh dengan seorang puteri yang cantik rupawan seperti Puan. Maka kini, Beta lihat, ketampanannya serta kejelitaan isterinya telah diwarisi oleh putera mereka berdua.”

Setelah terkena sindiran, pandai pula dia hendak mengambil hati kita, fikir Kembang Seri Wangi. Memang seperti kata Prabhava suatu waktu dulu, Maharaja Palembang yang baru itu, dia seorang raja penakluk yang lain daripada yang lain. Baginda bersifat pahlawan gagah berani, umpama harimau berang, bila bertempur di medan perang. Sebaliknya, bila berada dalam suasana damai, Baginda memiliki kepetahan bertutur yang sukar ditandingi oleh sesiapapun.  Sesiapapun kecuali Prabhava, fikir Kembang Seri Wangi.

§
“Puan Puteri,” Mara Vijaya bersuara.

“Ya, Tuanku Maharaja.”

“Kadang kala … Beta tertanya-tanya … tidakkah Puan pernah terasa sunyi … setelah begitu lama hidup sendirian.”

“Kita masih tetap berteman, Tuanku Maharaja,” Kembang Seri Wangi menjawab segera. “Anakanda dan menantu kita … Shakranta dan Isabelle suami isteri … saudara Kita, Pinang dan Nibung … serta semua yang lain yang mendiami Mahligai Dharmakusuma ini … adalah teman Kita.”

“Maksud Beta … hidup bersendirian tanpa seorang suami … kerana … orang lain itu … tidak mungkin sama kemesraannya … seperti seorang suami.”

“Tuanku Maharaja,” ujar Kembang Seri Wangi. “Kesetiaan Kita tetap kepada mendiang Kanda Prabhava hingga abadi. Tidak mungkin ada orang lain yang mengambil tempatnya di hati kita. Biarlah Kita menjanda hingga ke akhir hayat. Kita akan tetap bahagia.”

§
“Sungguh aneh kitaran dunia ini, Tuanku,” ujar Kembang Seri Wangi. ”Tiga abad yang lalu, Dharmasethu raja Palembang Srivijaya dan Sang Rama Dhanan Jaya maharaja negeri Sailendra, dua orang nenek moyang Tuanku, datang menyerang dan menakluk negeri-negeri nenek moyang kami di semenanjung ini.  Merobohkan kerajaan mereka dan menurunkan mereka semua dari takhta mereka. Hingga semua mereka berubah darjat ... dengan begitu cepat ... daripada raja berdaulat ... menjadi pembesar merempat. Tidak Kita sangka, hari ini, Tuanku pula yang datang menagih bantuan kami untuk menewaskan musuh-musuh Palembang.”

“Puan Puteri,” jawab Mara Vijaya. “Lupakanlah buat sementara segala peristiwa hitam masa silam. Yang lalu sudah berlalu. Mengapakah harus diungkitkan lagi? Hanya akan membuat luka lama berdarah kembali.”

“Lupakanlah? Tidak, Tuanku Maharaja,” balas Kembang Seri Wangi. “Tidak semudah itu. Apakah wajar di pihak kami semua untuk membantu pihak yang telah memusnahkan takhta kerajaan nenek moyang kami sendiri? Jika mengikut akal semata-mata, kesulitan Tuanku ini adalah suatu peluang keemasan bagi kami semua … di seluruh bumi Persekutuan Langkasuka ini ... untuk bangkit memberontak ... menebus keaiban yang menimpa nenek moyang kami … menewaskan pihak penjajah ... iaitu pihak Tuanku ... dan memerdekakan semula sepenuhnya tanah air kami sendiri.”

“Puan Puteri,” rayu Mara Vijaya. “Begitu kerasnya hati Puan.”

“Tidak, Tuanku Maharaja,” tegas Kembang Seri Wangi. “Kali ini ... seperti kata orang ... ada ubi, ada batas ... ada budi, ada balas. Andai kata Tuanku begitu inginkan bantuan negeri-negeri Persekutuan Langkasuka, maka seluruh negeri-negeri kami ini mesti Tuanku merdekakan terlebih dahulu.”

“Puan Puteri,” sambung Mara Vijaya. “Kalaulah itu yang Beta lakukan, kepala Beta sendiri yang akan dipenggal oleh para panglima Beta di Palembang sebaik saja Beta kembali ke sana besok hari.”

“Ampun, Tuanku,” balas Kembang Seri Wangi. “Tapi itu adalah masalah Tuanku, bukannya masalah Kita.”

“Shakranta,” Mara Vijaya bersuara selepas terdiam sejenak, sambil menoleh ke arah Panglima Agung merangkap Timbalan Narapati itu. “Pujuklah Bundamu ini. Dia terlalu degil dengan pendiriannya.”

Keadaan Palembang kini begitu genting. Bila-bila masa sahaja Raja Teguh Dharmavamsa Ananta Vikrama mungkin mengerah dan memimpin bala tentera Mataram datang menyerang Palembang dari Pulau Jawa. Namun Mara Vijaya bukannya seorang putera dan panglima sembarangan. Dia seorang pahlawan tegar. Darah Raja Dharmasethu dan Maharaja Sang Rama Dhanan Jaya mengalir di dalam tubuhnya. Dia telah diasuh dan dididik sedari kecilnya untuk menerajui Kerajaan Palembang dan seluruh Persekutuan Agung Srivijaya. Bukanlah perkara mudah untuk memaksanya tunduk kepada sebarang tuntutan, walau segenting mana keadaannya.

“Ampun, Tuanku Maharaja,” jawab Shakranta. “Bunda Kita berkata perkara yang benar. Kita tidak mungkin berlainan pendapat dengannya. Lagipun, Bunda Kita masih berkedudukan sebagai ketua keluarga Dharmakusuma. Andainya Amdan Negara merdeka semula, Bunda Kitalah yang akan menjadi ratunya. Kita sendiri ini, hanyalah sekadar panglima bala tentera yang menurut perintahnya.”

§
 “Perasaan Kita masih berbelah bagi,” ujar Shakranta. “Kerana Kita khuatir bantuan yang diberikan oleh negeri-negeri Persekutuan Langkasuka mungkin suatu hari nanti menjejas kepentingan kami sendiri. Mungkin di waktu mendatang akan menikam diri.”

“Maksudmu?” tanya Sri Mara Vijaya.

“Tuanku Maharaja,” Shakranta meneruskan. “Bukannya Kita ingin bertutur biadap dengan Tuanku. Namun hakikatnya, sebarang bantuan yang diberikan oleh negeri-negeri di bumi Langkasuka, jika ia berjaya membantu Palembang menumpaskan Medang Mataram, kesudahannnya secara tidak langsung akan menolong menguatkan semula kedudukan Palembang. Bukankah ini bermakna membantu pihak Palembang, jika tiada sebarang timbal balasnya, adalah sesuatu yang bodoh bagi negeri-negeri Langkasuka?"

Merah padam wajah Mara Vijaya mendengar tempelak Shakranta. Orang ini bukan sahaja handal di medan tempur, fikirnya. Dia juga sukar ditentang bila naik anginnya untuk berbicara sengit. Panglima Shankara hanya terdiam membisu. Sambil merenung jauh ke luar tingkap dengan renungan seribu makna. Memang dia sendiri sudah kenal benar dengan sifat dan watak sahabatnya yang tegas jiwa itu.

Sejurus kemudian Isabelle keluar dari kawasan dapur dengan diringi oleh Mak Utih dan Mak Andak. Isabelle kelihatan begitu anggun dengan baju kebaya Kelantan berwarna hijau zamrud dibuat daripada sutera China, berpasang dengan kain sarung songket Terengganu berwarna ungu. Mereka membawa pelbagai jenis minuman dan juadah yang sedap-sedap  untuk di jamah oleh tetamu istimewa mereka. Bukannya selalu rumah itu diziarahi oleh tetamu sehebat Sri Mara Vijaya dan Panglima Shankara.

Tercengang seketika Maharaja Mara Vijaya apabila terpandang Isabelle. Kulitnya putih melepak kemerah-merahan. Rambutnya berwarna perang kekuning-kuningan, hampir seakan kulit jagung rebus. Matanya biru sebiru langit. Wajahnya pula cantik berseri umpama bidadari yang dikisahkan oleh para pendeta. Dewi dari kahyangankah ini, fikirnya.

“Ehem … Tuanku Maharaja… Datuk Panglima ... Kita kenalkan,” ujar Shakranta. “Ini … isteri Kita … Isabelle namanya.”

“Ampun, Tuanku Maharaja,” sembah Isabelle. “Ampun Kita beribu-ribu ampun … kerana … mengambil masa terlalu lama … untuk menyiapkan … minuman serta juadah yang tidak sepertinya ini.”

“Oh!” balas Sri Mara Vijaya. “Tidak apa-apa. Kamipun belumlah terlalu lapar. Err … maksud Beta … kami memang sudah biasa berlapar ... terutamanya jika dalam perjalanan jauh.”

“Dipersilakan santap, Tuanku Maharaja,” ajak Isabelle. “Jemputlah, Datuk Panglima.”

“Sila, Tuanku,” Shakranta turut mengajak. “Jemput, Panglima Shankara.”

“Terima kasih,” balas Sri Mara Vijaya dan Panglima Shankara hampir serentak.

“Aaaaahh. Air nira. Bagus. Minuman kegemaran Beta,” ujar Sri Mara Vijaya sambil mengambil cetong perak berisi air nira itu untuk dihirupnya. “Dan ini … juadah yang dua tiga ini. Beta belum pernah lagi menemui dan menjamah barang sesuatu sepertinya sepanjang hayat beta. Nampak macam sedap pulak tu.”

“Ohhh, itu. Yang ini dipanggil kustard, dibuat daripada lemak susu bercampur telur dan gula. Yang ini namanya puding buah-buahan. Yang ini dipanggil yoghurt, dibuat daripada susu yang dibubuh sedikit ragi, dimasukkan cebisan buah-buahan sebagai perisa dan diperam sehingga masam.”

"Di manakah kamu belajar membuatnya?”

“Semuanya ibu Kita yang mengajarnya kepada Kita semasa kecil dulu, Tuanku.”

“Hebat,” balas Sri Mara Vijaya. “Maaf, lalu bangsa apakah kamu? Dan dari negeri manakah asalnya diri kamu?”

“Hamba orang Sakhsun, Tuanku. Dari sebuah negeri bernama Enghel Land. Dipanggil orang juga Anglia. Letaknya di sebuah pulau bernama Brittania. Hampir di hujung dunia kalau dari sini. Menghala ke barat laut dari Byzantium.”

“Anak muda tadi ... yang membawa kelapa muda itu. Dia juga kelihatan seperti orang dari tempat yang jauh-jauh. Adakah dia saudara mu?”

“Ohhh, itu Ozalan. Bapanya seorang panglima Turkmen yang berkhidmat dengan bala tentera negeri Bolgaria, sebuah negeri yang bersempadan dengan Byzantium. Dia gugur di perbatasan semasa menentang serangan bala tentera Byzantium. Ibunya seorang sahabat baik hamba semasa di Byzantium. Shamira namanya, berbangsa Bolgar.”

“Seterusnya?”

“Shamira jatuh uzur dan meninggal dunia sewaktu hamba hampir bertolak meninggalkan Byzantium bersama Kanda Shakranta. Lalu menjadikan Ozalan yang masih kecil ketika itu anak yatim piatu. Maka Kanda Shakranta mengajaknya ikut belayar bersama kami berdua ke mari ke Amdan Negara.”

§
Ringkik nyaring seekor kuda membuat Mara Vijaya tersentak.

“Kur semangat!” terperanjat Mara Vijaya bila terpandang Kshatriya, kuda perang gergasi kesayangan Shakranta. Tidak pernah dia melihat kuda sebesar itu sepanjang hayatnya. Membuatnya terdiam sejenak, cemas bercampur kagum.

Kuda itu berdiri berjinjing, mengangkat kedua-dua kaki hadapannya lalu menerjah-nerjah kedepan, seperti ingin mempamerkan kehebatannya. Bulu tengkuknya dan bulu kepalanya yang panjang lebat menari-nari ditiup angin. Susuk tubuhnya begitu gagah perkasa, fikir Mara Vijaya. Ozalan menggosok-gosok muka dan tengkuk kuda itu dan berbisik sesuatu dengan nada lembut ke telinganya untuk mententeramkannya.

“Dari manakah kamu mendapat raksaksa itu?”

“Ohh,” jawab Shakranta. “Itu Kshatriya. Destrier nama bakanya. Salah seekor daripada sepasang kuda perang Norman yang dihadiahkan kepada Kita oleh Maharaja Basileios, maharaja Byzantium, semasa keduanya masih kecil lima tahun yang lalu. Bersama pasangannya Srikandhi, nun di sana, sedang meragut di bawah pokok tanjung besar itu. Isabelle yang membesarkan dan mendidik mereka berdua sejak kecil hingga ke dewasa. Hanya kira-kira setahun lebih yang lalu tugas-tugasnya diambil alih sepenuhnya oleh Ozalan. Sekarang Srikandhi telah mempunyai sepasang anak.”

“Isterimu yang mendidik kudamu?”

“Benar, Tuanku. Kebetulan Isabelle dilahirkan di kalangan keluarga yang memelihara pelbagai jenis kuda. Katanya, dia membesar di atas pelana kuda. Dia jauh lebih mahir tentang selok belok ilmu kuda daripada Kita.”

“Bengis benar rupa dan gayanya, serta besar agam susuk tubuhnya, kudamu itu,” ujar Mara Vijaya. “Pasti membuat sebarang pahlawan musuh cuak hatinya.”

“Memang itulah tujuannya seekor kuda Norman baka destrier dicipta dan dilahirkan, Tuanku,” tingkah Shakranta. “Tugas utamanya adalah untuk menggerunkan pihak musuh dan melebur semangat mereka.”

“Kuda yang elok adalah haiwan yang paling mengagumkan, Tuanku,” Isabelle yang menyusuli suaminya bersuara. “Ia memiliki sifat semula jadi yang menyerlahkan gaya, keperkasaan, ketahanan, keindahan serta naluri merdeka. Tidak ubah seperti … seorang kesatria.”

“Benar, Tuanku,” sambung Shakranta. “Itu semualah yang membuat Kita terpesona dengan kuda perang Norman semasa berkembara di Byzantium. Maka, itu jugalah yang membuat kita menamakan kuda destrier milik Kita yang pertama ini dengan nama … Kshatriya.”

“Lalu berapa ekor lagi kuda seperti itu yang kamu miliki?”

“Sampai ke hari ini, Kita mempunyai hampir lima ratus ekor, Tuanku.”

“Kesemuanya sebesar dan sebengis seperti yang ini?”

“Setakat ini, belum lagi, Tuanku. Tetapi, apabila cukup umur mereka, itulah yang kita harapkan. Selain itu, Kita juga memelihara kuda Turkestan, kuda Kambhoja, kuda Thessalia, kuda Mongol, kuda Parsi dan kuda Arab. Kesemuanya berjumlah hampir lima ratus ekor. Mereka tidak sebesar dan segagah kuda Norman. Namun mereka lebih pantas lariannya, maka sesuai digunakan untuk serangan hendap atau serangan mengejut.”

§
“Dinda,” Shakranta menyapa isterinya.

“Ya, ada apa Kanda?” jawab Isabelle.

“Langsung dalam kerancakan berkira bicara dan keghairahan menjamah juadah, terlupa pula Kanda. Chinta masih tidur lagi?”

“Ya, Kanda,” jawab Isabelle. “Hairan. Nyenyak benar pula tidurnya hari ini. Dari pagi tadi lagi dia terlena. Sampai kini tidak bangun-bangun lagi.”

Tiba-tiba ... seperti dipanggil-panggil ... kedengaran bunyi tangisan nyaring seorang bayi.

“Oh!” sambung Isabelle. “Itu pun dia. Seolah-olah dia mendengar namanya disebut.”

“Itu anakmu?” tanya Mara Vijaya.

“Ya, Tuanku,” jawab Shakranta. “Itulah anak sulung kami. Seorang puteri.”

“Oh,” balas Sri Mara Vijaya. “Suaranya lantang sekali. Pasti dia seorang bayi yang segar bugar.”

“Setakat ini, mujurnya, begitulah keadaannya, Tuanku,” balas Shakranta.

Dinda,” Shakranta bersuara memanggi isterinya. “Bawalah Chinta keluar dan perkenalkan dia kepada Tuanku. Agar beroleh tuah untuknya daripada bertemu dengan Tuanku.”

“Baiklah, Kanda,” balas Isabelle sambil bergerak ke arah kamar tidur.

Sejurus kemudian Isabelle keluar kembali daripada kamarnya dengan mendukung anak kecilnya yang masih nyaring menangis. Dia menghampiri Sri Mara Vijaya dan duduk bersimpuh sambil memegang anaknya.

“Chinta,” ujar Isabelle kepada anaknya. “Mengapa begitu nyaring suaramu, Sayang? Nah … Emak perkenalkan … Sayang … ini … Tuanku Maharaja Mara Vijaya, maharaja seluruh Persekutuan Agung Palembang Sri Vijaya. Tuanku … ini puteri sulung kami … Puteri Chinta Kirana namanya. Baru dua belas bulan usianya.”

Bayi itu terus berhenti menangis. Seperti tanda menghormati seorang raja besar. Dia tersenyum lebar. Seperti begitu bahagia dapat bertemu dengan seorang maharaja. Dia menghulurkan tangan kenitnya ke arah Mara Vijaya, seperti ingin berjabat tangan. Mara Vijaya menyambut tangannya dan membelainya dengan sehabis lembut sambil mengagah-agahnya.

“Sejahtera,” ujar Sri Mara Vijaya kepada bayi itu. Senyuman Chinta Kirana semakin lebar. Dia menghentak-hentakkan kakinya dan melonjak-lonjakkan badannya, tanda teruja. Tutur bayi terbit dari bibir kecilnya. Seperti membalas ucapan Mara Vijaya. Maharaja itu tertawa kecil kerana terhibur melihat telatahnya.

“Namanya itu … Chinta Kirana … satu nama yang amat cantik sekali. Memang tepat serta padan dengan wajahnya yang cantik manis,” ujar Mara Vijaya kepada Isabelle.

“Terima kasih, Tuanku,” jawab Isabelle. “Namanya … Kitalah yang memberikannya … sebagai tanda memperingati … cinta tulus … di antara … kami berdua … ibu bapanya,” katanya sambil melirikkan sebuah jelingan manja kepada suaminya.

Shakranta hanya tersenyum bersahaja. Isterinya itu … bukan saja cantik tiada tandingan rupa parasnya. Tetapi juga … kini amat petah berbahasa … fikirnya.

Panglima Shankara pun ikut tersenyum melihat gelagat mereka semua.

§
“Baiklah, Tuanku Sri Mara Vijaya,” ujar Kembang Seri Wangi. “Sebenarnya, dikalangan para pembesar di Kelantan Amdan Negara, Terengganu Primula Negara dan Pahang Indera Pura, kami telah berbincang dan berbicara tentang perkara ini dengan panjang lebar. Lalu kami semua telah mencapai kata sepakat.”

“Maka apakah yang telah dipersetujui oleh kalian?”

“Pakatan Pantai Timur bersedia menyumbang bantuan kepada Palembang. Berbentuk segerombolan besar pahlawan terhandal kami. Ditokok pula dengan pahlawan tambahan dari Kedah Negara dan Patani Seri Negara. Namun kesediaan ini disertai dengan satu syarat.”

“Lalu apakah syarat itu, Puan Puteri? Nyatakan segera kepada Beta.”

“Syaratnya adalah ... Palembang hendaklah membebaskan Kelantan Amdan Negara, Terengganu Primula Negara dan Pahang Indera Pura ... daripada pertuanan Palembang Sri Vijaya.”

“Apa???” balas Mara Vijaya dengan nada terperanjat serta tidak percaya. “Puan Puteri bermimpi di siang hari!”

“Tidak, Tuanku. Kita masih sedar dan waras. Ingatlah, Tuanku. Palembang kini umpama orang yang terdesak. Ia tiada banyak pilihan. Sama ada Palembang memerdekakan kami secara damai ... ataupun ... kami akan menuntutnya melalui kekerasan ... dengan berperang. Terpulanglah kepada Tuanku ... sama ada mahu berperang menentang dua musuh sekaligus ... ataupun berdamai dan bersepakat dengan satu daripadanya ... untuk menumbangkan yang satu lagi."

"Puan Puteri mengugut Beta?"

"Tidak, Tuanku. Harap-harap Kita … perang tidak berlaku di antara Palembang dan Pakatan Pantai Timur ... kerana di antara kedua pihak sudah sekian lama bersekutu. Namun jika Tuanku masih memilih untuk memerangi kami ... beberapa buah kerajaan di arah utara dan timur laut yang masih berhubungan baik dengan kami ... iaitu Kemboja Negara yang diterajui Maharaja Surya Varman ... iaitu seorang lagi saingan Tuanku di rantau ini ... serta kerajaan-kerajaan orang Mon … iaitu Dvara Vati, Hamsa Vati  dan Sudharma Vati ... akan berada di pihak kami.”

“Tidak!!! Syarat itu terlalu berat untuk Beta terima. Para panglima Palembang pasti memberontak menentang Beta.”

“Kalau begitu ... Kita rasa ... rancangan Tuanku ini ... tidak mungkin kami bantu.”

“Baiklah, Puan Puteri. Beta akan bawa balik usul Pakatan Pantai Timur ini ke Palembang. Kita lihat dulu apa pandangan para panglima Beta di sana. Beta akan sampaikan keputusan Palembang kepada Puan Puteri seberapa segera.”

§
Sebelum kepulangannya ke Palembang, Mara Vijaya diberi hibur dengan pelbagai seni budaya Kelantan Amdan Negara. Warisan silam dari zaman Negeri Bumi Merah dan Tanah Serendah Sekebun Bunga. Wayang Kulit Kelantan yang lebih ceria dan bersahaja gaya persembahannya daripada Wayang Kulit Jawa … Mak Yong dan Menora, dua jenis tari lakon menggoda kalbu … serta dua tarian istimewa Kelantan Amdan Negara … Tari Asyik dan Tari Inai yang mempesona jiwa.

Kebetulan waktu itu waktu diadakan pesta keramaian untuk meraikan kemenangan Angkatan Dharmakusuma menawan semula Mahligai Dharmakusuma. Harinya pula jatuh pada hari pesta mengetam. Suasana pesta yang riang gembira seperti menceriakan semua. Hubungan yang mulanya dingin di antara Kembang Seri Wangi dan Mara Vijaya beransur bertambah ceria.

Suatu hari, dalam meninjau-meninjau kawasan pekarangan Mahligai Dharmakusuma bersama Kembang Seri Wangi, Shakranta dan Isabelle, Mara Vijaya ternampak dua ekor anak kijang dan seekor anak rusa sedang menjengket menjamah pepucuk pepokok renek yang enak dan segar rasanya.

“Eh eh!” Mara Vijaya bersuara, agak hairan. “Kijang dan rusa di sini jinak sekali. Kalau di tempat Beta … kena diburu atau dijerat kalau hendak mendapatkannya.”

“Oh, itu bukan kijang dan rusa hutan, Tuanku, tetapi peliharaan Bunda Kembang Seri Wangi. Dipelihara di taman khas untuk mereka. Hanya anak-anaknya yang sekali sekala dilepas bebas supaya boleh merayau-rayau sesuka hati di kawasan berhampiran.”

“Maaf, Tuan Shakranta,” kedengaran suara Ozalan yang menghampiri mereka. “Ada dua kumpulan utusan … satu dari Terengganu Primula Negara … dan satu lagi dari Pahang Indera Pura … baru tiba di pondok pengawal. Mereka ingin bertemu dengan Tuan.”

“Minta mereka tunggu sebentar. Kemudian bawa mereka untuk bertemu Kita di Balai Tetamu. Ingatkan Ketua Pengawal supaya memastikan bahawa segala senjata mereka dilucutkan terlebih dahulu. Kemudian minta Ketua Pengawal datang ke sini menemuiku terlebih dahulu, sebelum mereka dibenarkan masuk.”

“Baik, Tuan”

“Ampun, Tuanku Maharaja. Izinkan Kita beredar untuk seketika. Bersenang-senanglah meninjau dengan ditemani Bunda Kembang Seri Wangi, Isabelle dan Ozalan. Di sebelah sana ada taman unggas air. Di dalamnya ada angsa berwarna keemasan dari Pegu … ibu kota negeri Hamsa Vati. Diberi hadiah kepada Kita oleh seorang sahabat Kita semasa Kita merantau di Kemboja Negara dulu.”

“Angsa berwarna keemasan? Itu sesuatu yang belum pernah kita lihat sebelum ini.”

“Kata sahabat Kita itu … ia kononnya berketurunan daripada Angsa Emas … iaitu kenderaan sakti Dewi Sungai. Katanya juga … Hamsa Vati itu bermakna Wanita Angsa … iaitu gelaran yang diberikan oleh orang-orang Mon kepada Dewi Sungai ... iaitu antara dewi-dewi yang paling dipuja oleh masyarakat mereka.”

“Dewi Sungai. Ummm … pasti agak menarik kisahnya.”

“Ya. Memang menarik, Tuanku. Mintalah Bunda Kembang Seri Wangi bercerita tentangnya.”

Kembang Seri Wangi menoleh ke arah puteranya dengan wajah yang tiba-tiba bengis, hampir menjergil. Namun Shakranta sudah melangkah kaki untuk beredar.

“Shakranta sudah melampau,” Kembang Seri Wangi mendengus dengan nada berbisik. Isabelle cuma tersenyum bersahaja sendirian. Manakala Mara Vijya yang telah jauh ke hadapan tidak mendengarinya.
§
“Shakranta,” Kembang Seri Wangi bersuara. “Mari ke sini.”

“Ada apa, Bunda?”

“Licik benar permainan kamu petang tadi. Kamu memerangkapku … supaya menghabiskan lebih banyak masa daripada yang aku suka … bersama Maharaja Mara Vijaya. Kau ingin memperlagakan di antara aku dengan dia, bukan? Agar di antara kami berdua … kononnya menjadi lebih mesra … bukan?”

“Tidak, Bunda. Tidak begitu sebenarnya.”

“Aaahhh. Aku tahu. Aku ini orang lama. Tidak. Rancanganmu mustahil berjaya. Aku benci orang Palembang. Aku benci raja Palembang.”

“Tapi, Bunda … bukan semua orang Palembang dan raja Palembang itu jahat dan ganas.”

“Aaah. Kau apa tahu? Semasa Biduk Bota dan orang-orangnya menjajah, menindas, dan menjarah negeri kita dulu … menganiaya dan membunuh rakyat Kelantan Amdan Negara … termasuk ibu dan bapa kepada Nibung, Pinang, Pak Utih dan Pak Busu … dengan sesuka hati mereka … kau belumpun lahir lagi. Kau tidak sedikitpun merasai derita dan sengsara yang kami semua alami. Semasa aku, ayahku dan suamiku … juga Pinang dan Nibung … serta pengikut-pengikut kami … menyabung nyawa untuk menumpaskan penyangak-penyangak itu pun … dan melenyapkan mereka sepenuhnya dan selama-lamanya dari bumi Kelantan Amdan Negara ini … kau baru berusia sembilan tahun ketika itu.”

“Bunda. Sungguhpun begitu … dosa Biduk Bota tidak wajar kita panjangkan kepada Mara Vijaya … malah kepada nenek moyang Mara Vijaya.”

“Mengapa tidak? Mereka semualah yang menjadi penyebabnya. Jika Dharmasethu, Sang Rama Dhanan Jaya dan Samara Thungga tidak menyerang dan menakluki bumi Langkasuka dua abad lebih yang lalu … tidak akan pernah muncul penyangak kejam yang tidak berperikemanusiaan seperti Biduk Bota dan konco-konconya di negeri Kelantan Amdan Negara ini.”

“Tapi Bunda … Mara Vijaya bukan Biduk Bota. Biduk Bota cuma seorang bajingan sembarangan. Lanun, perompak dan penyamun. Mara Vijaya tidak begitu.”

“Habis apa yang kau mahu? Kau mahu negeri kita terus menjadi negeri takluk Palembang? Tidak punya raja sendiri? Dan Wangsa Dharmakusuma pula entah bila bangkit berdiri kembali?”

“Tidak, Bunda. Anakanda juga seperti Bunda. Mahukan negeri kita kembali merdeka. Dan salah satu cara terbaik untuk memungkinkan kita mencapai matlamat agung itu … tanpa sebarang pemberontakan dan pertempuran … yang mungkin akan mengorbankan bilangan nyawa yang entah berapa banyak bilangannya di kalangan rakyat kita … ialah … kiranya … andainya …”

“Kiranya apa? Andainya apa? Nyatakan segera kepadaku.”

“Kiranya … Bunda … bertemu jodoh … dengan Maharaja Mara Vijaya.”

“Shakranta!!!”

“Bunda ... dengar dulu apa yang ingin Tata perkatakan.”

“Tidak!!! Diriku tidak akan diperdagang atau diperguna untuk faedah mana-mana pihak sekalipun. Termasuk negeriku sendiri. Dan kau sendiri sebagai puteraku … dan pewaris Wangsa Dharmakusuma … seharusnya berasa malu …. kerana tergamak dan terfikir untuk mencadangkan suatu penyelesaian seburuk itu!”

“Bunda. Ini bukan soal memperdagang atau memperguna. Yang Tata minta cumalah … berilah peluang kepada diri Bunda sendiri … untuk mengenali hati budi Maharaja Mara Vijaya … dengan lebih dekat lagi … sebelum Bunda membuat keputusan muktamad … untuk menolak hasrat hatinya. Dan lagi … Maharaja Mara Vijaya itu … kelihatan lembut dan baik orangnya.”

“Janganlah kau begitu bodoh, Shakranta. Lembut dan baiknya itu … sekadar di luarnya sahaja … untuk tontonan kita. Dia, bapanya, datuknya … semua mereka adalah zuriat daripada Dharmasethu, Sang Rama Dhanan Jaya dan Samara Thungga. Raja-raja penakluk paling kejam dan ganas dalam sejarah Rantau Tenggara ini. Bagaimanakah pula cucu cicit mereka boleh tiba-tiba bertukar baka menjadi lembut jiwa dan baik hati? Bagaimana kalau dia sudah mengahwiniku … kemudian dia mungkir janjinya untuk membebaskan seluruh Pantai Timur ini? Tidak, Shakranta. Lebih baik aku gugur menentang Mara Vijaya di medan perang … sebagaimana dulu aku menentang Biduk Bota … daripada aku merelakan diriku diperisterikannya … sungguhpun dalam suasana penuh kedamaian. Biarlah hanya Kelantan Amdan Negara dulu yang merdeka seperti yang telah kita persetujui tempoh hari. Manakala … bagi Terengganu Primula Negara dan Pahang Indera Pura … kita akan terus berjuang untuk memerdekakan keduanya di lain hari.”

“Seperkara lagi, Bunda. Kiranya …kiranya Bunda menerima hasrat Maharaja Mara Vijaya … bermakna dia semestinya memeluk ajaran Islam … sementara Bunda selaku seorang ratu yang menganuti ajaran Islam … andainya dilantik Baginda menjadi Ratu Agung bagi seluruh bumi Langkasuka … akan memegang peranan besar dalam pengembangan dan penyebaran Islam di seluruh Semenanjung Emas ini … malah mungkin di seluruh Kepulauan Emas ini.”

“Tidak! Itu semua hanya khayalan dan angan-angan kau saja! Aku kini hanya sekadar seorang Pembesar sebuah negeri jajahan. Sebagai pentadbir dan pemerintahnya aku hanya boleh berdiri di bumi nyata. Biarlah aku terus hidup bersendiri. Biarlah aku tidak menjadi isteri seorang maharaja. Asalkan negeriku nanti merdeka sepenuhnya … dan tidak lagi kembali menjadi sebuah negeri jajahan.”

“Kalau begitu tetap pendirian Bunda, baiklah. Tata menerimanya. Tata memikirkan kepentingan negeri kita … sekaligus kebahagiaan Bunda sendiri. Kesetiaan Tata tetap kepada Bunda dan negeri kita. Percayalah … Tata akan melindungi Bunda dan negeri kita daripada sebarang ancaman … dengan nyawa Tata sendiri jika perlu.”

§
“Puan Puteri!!!” Mara Vijaya bertempik nyaring. “Awas!!!” Dia seterusnya melompat melontar dirinya ke arah Kembang Seri Wangi, menyebabkan kedua mereka jatuh tersembam lantas tertiarap di tanah, lalu segera melindungi kepala sekaligus tengkuk dan tubuh Seri Wangi dengan perisai nilurnya yang panjang membujur. Manakala tubuhnya sendiri yang terdedah tidak diendahkannya.

“Tuanku Maharaja!!! Apa yang Tuanku buat ini …”

“Shushh!!! Jangan bergerak!! Dan rapatkan tubuhmu ke bumi! Ada pihak yang ingin membunuhmu!”

Beberapa batang panah melayang meluncur di udara, berdesing di atas kepala mereka. Satu daripadanya mengenai paha Mara Vijaya, membuatnya tersentak.

Sebaik saja layangan panah ke arah mereka reda seketika, Mara Vijaya bingkas bangun, pergerakannya terbantut sedikit akibat kecederaannya. Namun dia segera melontar Pedang Seri Pendawa ke arah penyerang tadi yang bergegas lari dari tempatnya. Terbang melayang, berpusing-pusing, berputar-putar senjata itu di udara, akhirnya turun menjunam, hujung matanya menghunjam penyerang tadi tepat dibelakangnya, menembusi dadanya, hingga rebah tersungkur orang itu menyembah bumi.

Shakranta yang terdengar riuh-rendah kakitangan Mahligai Dharmakusuma segera meluru ke arah mereka dari hala rumah anjung. Dia segera saling berhadap belakang dengan Mara Vijaya, kedua-duanya meninjau tajam ke setiap arah, dengan busar dan panah masing-masing siap sedia untuk memanah.

“Bunda!!! Apa yang terjadi???” Shakranta bertanya kepada ibunya, penuh kebimbangan, setelah kelihatan seperti tiada lagi ancaman.

“Ummm … ughhh,” Kembang Seri Wangi bingkas bangun sambil mengebas-ngebas pakaiannya yang kini berlumuran lumpur. “Bunda di serang hendap. Mujur … Tuanku Maharaja bertindak pantas … baginda menyelamatkan nyawa Bunda.”

Dalam mereka bertiga berjalan menuju ke arah tangga mahligai, Shakranta membantu Mara Vijaya yang kini tercedera di paha, tiga lagi pembunuh curi membidik panah mereka dari sebalik sebatang pohon beringin. Kebetulan ketika itu Isabelle pula muncul dari arah dusun, diiringi oleh Ozalan dan Pak Utih. Isabelle menonggang Srikandhi, sementara Ozalan bersama Pak Utih menonggang Kshatriya, membawa pulang beberapa berkas pelbagai jenis buah-buahan bermusim.

Beberapa detik sahaja sebelum tiga pembunuh upahan itu melepaskan panah mereka, Srikandhi yang ditonggang oleh Isabelle menggempur mereka dengan ganas-seganasnya lantas menendang terajang, menggigit, memijak-memijak dan memenyek-menyek ketiga orang itu. Ketiga mereka maut serta-merta di situ juga, tubuh mereka yang kaku lesu terbaring bergelimpangan, busar dan panah mereka terpelanting entah ke mana.

Demikian Srikandhi mempamerkan kehebatannya untuk pertama kalinya di sekitar pekarangan Mahligai Dharmakusuma, di hadapan khalayak yang kini berkerumun ramai. Di antara mereka termasuk Mara Vijaya, Kembang Seri Wangi dan Shakranta. Kesemua yang memandang menggeleng-geleng kepala mereka, ngeri bercampur tercengang serta kagum dengan apa yang baru sahaja berlaku di depan mata kepala mereka sendiri. Kecuali Shakranta yang tidak ternampak langsung sebarang perasaan di wajahnya. Seperti dia cuba menumpukan fikirannya sejitu-jitunya. Atau dia teringatkan sesuatu dan baru mendapat ilham daripadanya.

§
Kini tiba waktunya untuk Maharaja Mara Vijaya dan Panglima Shankara pulang. Kembang Seri Wangi, Shakranta dan Isabelle serta seisi rumah Mahligai Dharmakusuma mengiringi Maharaja Mara Vijaya dan Panglima Shankara hingga ke pintu gerbang utama.

“Puan Puteri … Shakranta … Isabelle … terima kasih atas layanan kalian bertiga. Selamat tinggal semua,” ujar Sri Mara Vijaya.

“Selamat jalan, Tuanku,” ujar Kembang Seri Wangi, Shakranta dan Isabelle hampir serentak. “Terima kasih atas kunjungan Tuanku,” sambung Kembang Seri Wangi lagi.

Mereka saling melambai tangan. Chinta Kirana yang didukung Isabelle ikut melambai dengan tangan kecilnya.

“Selamat tinggal, Chinta Kirana,” ujar Sri Mara Vijaya sambil berpatah balik untuk membelai tangan Chinta Kirana.

“Ya yi yu ya ma yah!” Chinta Kirana bersuara dengan tutur bayinya, sambil mengangkat-angkat tangannya, seperti berkata selamat jalan.

“Ya yi yu ya ma yah!” balas Sri Mara Vijaya mengajuknya, membuat semua mereka yang lain tertawa geli hati.

§
“Orangnya baik, ya Kanda?” ujar Isbelle. “Peramah dan tidak angkuh … sungguhpun dia seorang raja besar.”

“Tapi nalurinya tetap naluri penakluk,” tegas Shakranta. “Salasilahnya yang memberikan itu kepadanya. Maka tidak boleh terlalu di percayai.”

Isabelle terdiam sejenak. “Dan Baginda amat pandai mengambil hati,” sambung Isabelle.

“Itulah yang dipanggil orang raja berjiwa rakyat. Pandai menyelami dan memahami hati sanubari rakyat jelata. Namun kita tidak boleh terlalu mudah tergoda dengan kelembutan watak yang dipamerkannya,” tegas Shakranta lagi.

“Kanda akan membantu Baginda menyerang Mataram?” tanya Isabelle.

“Ummm … itu perlu Kanda pertimbangkan dengan panjang lebar. Dan Kanda perlu berbincang lanjut dengan para Panglima Utama di Terengganu Primula Negara dan Pahang Indera Pura. Angkatan Pantai Timur hanya akan bertindak sejajar dengan kepentingan Pakatan Pantai Timur. Seluruh negeri-negeri Pantai Timur, kecuali Patani Seri Negara, kini cukup kuat untuk menuntut merdeka sepenuhnya. Sama ada secara damai ataupun dengan berjuang menggunakan kekerasan. Kita tidak perlu terlalu bimbang lagi dengan kekuatan Palembang. Sebaliknya, mereka yang kini memerlukan bantuan kita. Maka kita tidak harus lagi terpengaruh oleh sebarang masalah mereka.”

§
Rancang cara serangan yang dicipta oleh Panglima Shankara agak kemas, fikir Shakranta. Angkatan gabungan Palembang-Wurawari berpeluang agak baik untuk menewaskan pihak Teguh Dharmavamsa, walaupun tanpa bantuan Angkatan Pantai Timur. Maka Angkatan Pantai Timur harus ikut serta walaupun sekadar sebagai angkatan pembantu. Ia akan memupuk hubungan baik di antara negeri-negeri Pantai Timur dengan Palembang serta Wura Wari yang diharapkan berkekalan hingga ke masa depan, fikir Shakranta.

Manakala Medang Mataram pula seperti terlalu ganas. Kalau kinipun Teguh Dharmavamsa sudah mampu membuat serangan bertubi-tubi ke atas Palembang, bagaimana pula keadaanya jika baginda dapat menumbangkan Palembang sepenuhnya. Kemungkinan besar negeri-negeri di Semenanjung pula yang akan menjadi sasaran Baginda. Termasuk  negeri-negeri Pantai Timur yang kini hampir beroleh merdeka. Apatah lagi jika Baginda bersekongkol dengan kerajaan Cholamandalam secara lebih hebat lagi daripada yang mampu dilakukan oleh Palembang. Malah, perkiraan Shakranta menduga serangan-serangan yang lalu oleh Medang Mataram ke atas Palembang pun sememangnya tercetus oleh api perseteruan yang ditiup hingga bersemarak oleh pihak Cholamandalam yang berhasrat untuk memperkasa semula ajaran Hindu di seluruh Kepulauan Emas.

Di sudut hati Shakranta terfikir pula kemungkinan menyerang Kedah Negara lantas membebaskannya daripada cengkaman Palembang semasa Mara Vijaya sedang tertumpu perhatiannya semasa menyerang kota Mataram. Apakah ia sesuatu yang mungkin terlaksana?

Tidak. Itu mustahil. Angkatan Pantai Timur belum sekuat itu. Pembesar-pembesar Gangga Negara dan Patani Seri Negara pula tidak dapat dipastikan pendirian mereka. Mungkin mereka kini masih taat setia kepada Palembang sesudah sekian lama berada di bawah pertuanan Palembang. Sementelah pula di kalangan golongan bangsawan di negeri mereka terdapat ramai juga yang telah bernikah kahwin atau beripar-duai dengan kerabat istana Palembang.

Manakala sebarang serangan ke atas Kedah Negara untuk membebaskannya kiranya tidak berjaya sepenuhnya pasti akan dibalas dengan sekejam-kejamnya oleh bala tentera Mara Vijaya, kiranya Baginda berjaya menumpaskan kerajaan Mataram. Lalu Shakranta membenamkan fikiran itu ke lubuk hatinya buat sementara.

§
Permaisuri Chintamani Ratna Ningsih (Pushpa Aryani) berlegar-legar di pekarangan istananya. Beberapa batang pokok rambutan dan manggis kelihatan berbuah lebat, hingga meruntun hujung-hujung dahan ke arah bumi. Buah-buahnya semakin ranum. Buah manggis ungu kehitaman, buah rambutan merah kesumba.

Kelihatan puteranya, Sang Rama Vijaya, kini di lantik menjadi Raja Adhipati sekaligus Putera Mahkota, bergegas-gegas menuju ke arahnya.

“Ayahanda sudah keterlaluan!!!” Sang Rama Vijaya mendengus dengan nada bengis. “Perempuan penggoda di Kelantan Amdan Negara itu telah merasuk jiwanya!!”

“Jangan begitu biadap mulutmu, Sang Rama!” balas Chintamani. "Tidak pantas seorang putera Wangsa Sri Vijaya bertutur begitu. Ingatlah .. kita juga orang beradab. Jangan dibiarkan perasaanmu yang meluap-luap itu menguasai dirimu.”

“Tapi Anakanda dengar … Ayahanda kini begitu terpesona dengannya … hingga sanggup memberi merdeka kepada negerinya … dan menawarkan kuasa untuk mentadbir seluruh Persekutuan Langkasuka kepadanya … kiranya dia menerima lamaran … untuk menjadi permaisuri Ayahanda yang kedua.”

“Apa yang Bunda dengar … bukan dia yang menggoda Ayahandamu … tetapi Ayahandamu yang berkenan benar dengannya. Mengambil kira miang semula jadi Ayahandamu … itu tidak begitu menghairankan. Puteri-puteri di sana cantik ayu … dan amat tinggi adab sopannya. Cara mereka juga jauh lebih halus dan santun daripada orang-orang kita. Tambah lagi … mereka punya salasilah yang gilang-gemilang. Zuriat mereka membibit daripada raja-raja Funan, Benggala dan Parsi zaman silam.”

“Tapi Bunda … andainya Kelantan Amdan Negara kita beri merdeka … habislah naik tocang negeri-negeri lain dalam seluruh Persekutuan Langkasuka. Bukankah itu sesuatu yang mungkin mengancam keutuhan seluruh Mandala Agung Sri Vijaya?”

“Kita tiada banyak pilihan, Anakanda. Ayahandamu telah berbincang panjang lebar tentang itu dengan para panglima besar Palembang. Kita perlukan bantuan Kelantan Amdan Negara sebagai negeri utama dalam Pakatan Pantai Timur di Semenanjung Emas. Kerana hanya dengan penglibatan bala tentera gabungan Angkatan Pantai Timur … yang dikepalai oleh Putera Shakranta dari Kelantan Amdan Negara … iaitu putera dan Timbalan kepada Pembesar Kembang Seri Wangi …  di pihak Palembang … barulah Palembang punya peluang yang baik untuk menundukkan bala tentera Medang Mataram yang kini semakin sehari semakin bengis dan ganas.”

“Tapi bukankah Sri Jaya Bhupati … pemerintah negeri Wura Wari sekaligus bakal maharaja seluruh Persekutuan Sunda Negara suatu hari nanti … telah menjanjikan bantuan penuh bala tentera negeri Wura Wari kepada Palembang … dengan dipimpin oleh kemenakannya sendiri … iaitu Raden Shankara?”

"Itu benar, Anakanda. Tetapi ia belum tentu mencukupi …. kerana bala tentera Medang Mataram kini terlalu gagah perkasa … dan terlalu besar jumlah pahlawannya serta cukup lengkap bersenjata. Kerana mereka bukan sahaja memiliki hasil alam dan hasil bumi sendiri yang kaya raya … tetapi kini mereka juga telah mengambil alih semua bekas wilayah kepunyaan Sailendra … berserta laluan perdagangan laut di perairan Pulau Jawa yang dulunya dikuasai oleh Sailendra. Lalu kini mereka mereka bercita-cita untuk naik setakuk lagi lebih tinggi … dengan menumbangkan Palembang dan merampas semua pemilikan Palembang … untuk menjadi sebuah Maha Negara … sebuah Negara Agung … yang tiada lagi saingannya di seluruh Kepulauan Emas ini.”

“Entahlah, Bunda. Anakanda bimbang … kerana bagi Anakanda … memberi merdeka kepada sebuah negeri jajahan … adalah satu perbuatan yang menggadai maruah dan menurunkan mertabat bagi Palembang … sebagai teraju pemerintahan Mandala Agung Palembang Sri Vijaya.”

“Anakanda. Yang mana lebih baik untuk Palembang? Kita terus bersombong megah seperti dulu-dulu … seperti di zaman kegemilangan Palembang … dan seterusnya membiarkan negeri kita dirembat hingga hancur lebur oleh bala tentera Raja Teguh Dharma Vamsa … atau kita beri merdeka kepada sebuah negeri jajahan kecil yang boleh membantu kita memperoleh kemenangan?”

“Anakanda juga tidak faham … mengapakah begitu rumit dan sengit perseteruan di antara Palembang dengan Mataram ini. Mengapakah begitu berat bagi mereka untuk hidup beraman damai dengan Palembang? Mengapakah harus mereka begitu taksub untuk membolot semua kekayaan perdagangan yang lalu lintas di perairan Dwipantara ini?”

“Bukan itu saja yang menjadi puncanya, Sang Rama. Kisahnya terlalu panjang dan berkeluk liku, melanjut jauh ke zaman silam.”

“Segala-galanya angkara Rakai Pikatan yang merampas wilayah Sailendra, daripada Balaputra Deva, bukan?”

“Ummm … sebahagiannya begitulah. tetapi … lebih dari itu … di antara Palembang, Sailendra dan Mataram juga ada pertalian silam. Bermula dari Tarusbawa, maharaja Sunda Negara di zaman silam.”

“Tarusbawa? Bagaimanakah begitu pula?”

“Leluhur kita semua kalangan Wangsa Srivijaya … iaitu Dapunta Hyang Sri Jayanasa … permaisurinya Puteri Shoba Kencana … adalah anakanda kepada Tarusbawa. Manakala leluhur raja-raja Mataram dan Sailendra … iaitu Rakyan Jamri … dipanggil juga Prabhu Haris Dharma … atau lebih dikenali ramai dengan nama Sang Ratu Sanjaya … permaisurinya Puteri Teja Kencana … adalah juga cucunda kepada Tarusbawa.”

“Oh, begitu rupanya. Baru anakanda tahu. Bagaimanapun, anakanda bimbang … bahawa Kelantan Amdan Negara itu … mungkin ibarat api. Kecil-kecil menjadi kawan … bila besar menjadi lawan.”

“Itu adalah ancaman yang pasti dilalui oleh setiap Maha Negara … setiap Negara Agung. Mulanya Funan, kemudian Chenla, seterusnya Dvara Vati. Semuanya akhirnya tumbang kepada gabungan negeri kecil yang dulunya menjadi negeri jajahan atau negeri tanggungan mereka. Masing-masing merasai zaman kegemilangannya, masing-asing melalui zaman kemundurannya. Tiada sebuah kerajaanpun di dunia ini yang mampu berdiri teguh sepanjang zaman.”

“Habis … Angkatan Pantai Timur itu bolehkah diharap untuk membantu Palembang menewaskan Medang Mataram?”

“Bunda dengar mereka memang pahlawan hebat. Orang-orang mereka itu lembut sederhana caranya bila dalam suasana damai. Namun mereka menjadi bengis menyinga bila berada di medan tempur. Seperti orang Kemboja Negara. Pahlawan mereka sungguh amdan … sedikitpun tidak gentar atau cuak di medan perang … memang padanlah negeri mereka bergelar Amdan Negara. Dan Panglima Agung mereka, Putera Shakranta, amat berpengalaman memimpin bala tentera di medan perang. Dia dan Raden Shankara malah sama-sama berkhidmat dengan bala tentera Raja Sujita di Tambra Lingga … dan seterusnya di Hari Hara Laya selepas Sujita berjaya merampas takhta Kemboja Negara. Mereka dikatakan bersahabat rapat sejak zaman remaja.”

“Apapun … pemikiran Ayahanda terlalu sempit,” Sang Rama menjebih. “Perancangannya biasanya terlalu cetek … tidak mampu berfikiran jauh. Anakanda selalu tertanya-tanya … mengapakah dia terlalu tertumpu perhatiannya kepada hanya Palembang dan kawasan sekitarnya?  Dia tidak dapat membayangkan … betapa banyaknya perancangan lain yang boleh kita usahakan … di peringkat seluruh Rantau Tenggara.”

“Apa maksudmu? Kau bercita-cita mahu menjadi maharaja segala maharaja bagi seluruh Rantau Tenggara?"
“Mengapa tidak?"

"Merangkumi seluruh Suvarna Bhumi dan Suvarna Dvipa?” "Ya, Bunda. Hanya dengan itu saja Palembang akan berkemampuan menghalang para pedagang dan saudagar Tamil Chola Mandalam yang semakin hari semakin kurang ajar itu daripada melalui Selat Saberkas dan keseluruhan perairan Dwipantara yang lain ... serta laluan darat di bumi  Langkasuka ... dengan sewenang-wenangnya. Hanya demikian saja kerajaan Palembang dan seluruh Mandala Agung Srivijaya akan beroleh kembali kegemilangan hebat zaman silam."

“Bererti kau perlu menundukkan Suryavarman, maharaja Kemboja Negara yang baru.  Selain raja-raja negeri orang Mon di Dvara Vati, Hamsa Vati dan Sudharma Vati. Dan kau mengandaikan semua raja-raja dalam Persekutuan Langkasuka akan menyokong usahamu. Sang Rama … awas … cita-citamu itu terlalu besar. Bunda tidak ingin cita-cita besar sebegitu akan memakan dirimu suatu hari nanti.”

“Aaahhh. Itu perkara gampang, Bunda. Tidak begitu rumit … sungguhpun akan memerlukan perancangan yang canggih dan teliti. Raja Sujita akan memihak kepada kita, kerana baginda juga berketurunan Srivijaya di sebelah ayahandanya, maka baginda bersaudara rapat dengan kita. Dulupun bukankah Palembang membantunya ketika dia menyerang kota Hari Hara Laya untuk merampas takhta Kemboja Negara ketika itu? Tentu kita boleh berusaha untuk membujuknya. Tentang Suryavarman pula, bukankah nenek moyang kita di zaman Sailendra … iaitu Maharaja Samara Thungga … telah menumbangkan kerajaan Chenla Laut … iaitu kerajaan yang diterajui oleh nenek moyang Suryavarman … dengan begitu mudah sekali sekitar dua abad yang lalu?”

§
“Shankara,” Mara Vijaya bersuara. “Kau lihat peristiwa semalam?”

“Peristiwa yang mana, Tuanku?”

“Yang itu … betapa Isabelle mengendalikan kuda gergasinya untuk melanyak dan membunuh tiga orang pemanah curi yang membidik panah mereka ke arah Kembang Seri Wangi … dan mungkin juga ke arah Beta sekaligus.”

“Oh, itu. Ya, memang Kita melihatnya dengan sungguh jelas sekali.”

“Kur semangat! Terfikir pula Beta … bagaimana kalau ada sepasukan musuh sejumlah beratus orang menyerang pihak kamu secara demikian?”

“Memang ‘kur semangat’ rasanya, Tuanku. Apatah lagi kalau sepasukan musuh berjumlah beribu orang.”

“Shakranta memang bijaksana … membuat keputusan untuk membeli dan membawa beratus ekor kuda seperti itu pulang ke Kelantan Amdan Negara dari Byzantium … sungguhpun ia pasti satu usaha yang agak merumitkan.”

“Dan dia juga bertuah bertemu jodoh dengan Isabelle. Seorang wanita yang bukan saja cantik jelita … tetapi juga pintar akal, berjiwa serikandi serta pandai pula tentang selok-belok ilmu menjaga dan memelihara kuda.”

“Lantas kamu pula bagaimana … bilakah gerangannya akan bertemu jodoh dengan seorang gadis pilihan hati?”

“Kalau tiada aral melintang … orang tua Kita akan melamar dan meminang buah hati Kita … sepulangnya Kita di Wura Wari dari Kelantan Amdan Negara, Tuanku.”

“Oh! Hebat sekali. Siapakah gerangannya gadis yang bertuah itu … kiranya boleh Beta tahu?”

“Dia anak kelahiran Wura Wari, Tuanku. Namun, bapanya asalnya orang Jambi yang datang merantau di Wura Wari semasa mudanya. Kita dengar … dia berhasrat untuk pulang semula ke Jambi bersama seluruh keluarganya … dalam sedikit masa lagi. Maka itulah sebabnya … orang tua Kita memutuskan untuk menyegerakan perkahwinan kami berdua.”

“Bagus, bagus. Perkara yang baik itu … tidak harus dilengah-lengahkan. Habis, bermakna kamu nanti akan ikut pindah bersama mereka ke Jambi.”

“Kira-kiranya begitulah, Tuanku. Mungkin buah hati Kita akan pindah bersama keluarganya ke Jambi terlebih dahulu … barang sebulan dua selepas perkahwinan kami. Manakala Kita sendiri pula … sebaiknya akan perlu menunggu selepas urusan Mataram ini selesai.”

“Bakal isterimu itu … dia tidak gundah tentang hal Mataram ini?”

“Dia sudah memahami tugas dan tanggungjawab Kita sebagai seorang Panglima sejak mulanya lagi kami berkenalan. Maka dia rela dan pasrah sepenuhnya terhadap segala-galanya.”

§

No comments:

Post a Comment