Sunday, December 12, 2010

Bab 15: Pengakuan Seorang Puteri




"Prabhava memiliki suatu macam ketegasan jiwa yang halus sifatnya namun tidak gentar dengan sebarang ancaman, diiringi dengan semangat dan keghairahan yang sentiasa terkawal sopan. Ia sesuatu yang lembut dan sederhana bagi seorang pahlawan, namun kesannya begitu menawan terhadap setiap sesiapa saja yang menghampirinya ... mengundang kehadiran bukan sahaja golongan lelaki gagah berani ke sisinya ... yang menjadi sahabat setianya ... tetapi juga golongan wanita anggun dan cantik jelita ... yang ingin mendampinginya. Prabhava membuat Bunda terkenang kembali kepada nenda Bunda sendiri."


Demikian Kembang Seri Wangi mengimbau kembali, kepada Isabelle yang ketika itu baru sahaja menjadi menantunya, tatkala suatu perbualan mesra di antara mereka berdua.

Kini puteranya, Shakranta, jelas telah mewarisi sepenuhnya kesemua sifat-sifat itu, fikir Isabelle. Seorang lelaki yang sukar ditemui serta sungguh menakjubkan. Isabelle tidak pernah dapat berhenti daripada mengaguminya. Dan Shakranta membuat Isabelle terkenang kembali kepada nenda dirinya sendiri.
 

§
“Kanda,” Isabelle menyapa suaminya.

“Ya, Dinda,” Shakranta menyahut. “Ada apa, Dinda?”

“Kekadang … Dinda tertanya-tanya diri sendiri … mengapakah agaknya Kanda tidak pernah bertanya asal usul dan susur galur Dinda secara lebih terperinci.”

“Oh, itu saja? jawab Shakranta. “Dinda … sebabnya ... Kanda sudah menerima dan mencintai Dinda seperti seadanya … dan … Kanda tidak mahu mengungkit-ungkitkan lagi sebarang perkara lama … yang … mungkin menyinggung perasaan Dinda ... ataupun melukai hati Dinda.”

“Tapi … bukankah itu … asal usul Dinda itu ... sesuatu yang penting untuk anak cucu kita nanti? Tidakkah mereka juga nanti ingin tahu nasab dan susur galur mereka di sebelah jurai Dinda?”

“Umm … memang ada benarnya kata Dinda itu. Baiklah … kalau Dinda sendiri merasakan ia penting ... ceritakanlah kepada Kanda.”

“Nenek Dinda, Meredith, wanita biasa daripada kalangan orang keramaian. Namun datuk Dinda, Putera Alfred, daripada golongan bangsawan Sakhsun."

“Dinda seorang puteri! Oh! Menarik benar kisah ini. Teruskan, Dinda.”

"Putera Alfred berkerabat rapat dengan Raja Ethelred II, raja negeri Enghel Land ketika itu. Semasa zaman pemerintahan Ethelred, negeri Enghel Land sering bersengketa dengan negeri Danmark.”

“Anak sulung Putera Alfred, iaitu Putera Bryhann bapa Dinda … dan Philippa ibu Dinda … mereka tertangkap dan ditawan semasa satu serangan orang Danmark … dan dibawa balik ke Danmark … ke istana Raja Sweyn I … lalu dijadikan abdi istana. Manakala … Dinda pula … ditawan bersama nenek Dinda ... Meredith ... di kampung halaman asal kami di Somerset ... selang beberapa lama kemudiannya ... oleh lanun-lanun Berber dari kawasan utara Benua Hitam … dan dibawa mereka ke Byzantium untuk dijual di sana.”

“Lalu apakah yang berlaku seterusnya kepada nenek Dinda?”

“Lanun-lanun itu tidak melayani Meredith dengan baik kerana dia hanya seorang wanita tua. Mereka sekadar membiarkannya terus hidup di kapal mereka hanya kerana dia seorang tabib. Maka dia boleh mengubati mana-mana lanun yang uzur atau cedera. Lantaran itu … dia jatuh sakit semasa dalam pelayaran ke Byzantium … dan meninggal dunia. Lanun-lanun itu … mereka juga berlaku kejam terhadap Dinda. Hingga … suatu hari … beberapa orang daripada mereka … menghampiri Dinda dengan niat serong yang terbayang di mata mereka.”

"Begitu sekali?"

"Mujurnya ketua mereka muncul dengan tak semena-mena ... dengan itu menyelamatkan Dinda daripada mereka."

"Dia menyakiti Dinda?"

"Tidak. Dia melayani Dinda dengan baik."

"Sesudah itu?"

"Dia terus berkelakuan baik dengan Dinda. Begitupun ... sebagai seorang gadis abdi di atas sebuah kapal lanun ... Dinda tidak punya banyak pilihan. Dinda terpaksa merelakan diri melayaninya ... sebagai seorang kekasih ... selama tempoh pelayaran ... sungguhpun jiwa Dinda menentang. Demi melindungi diri daripada lanun-lanun lain yang kasar dan ganas ... di hari-hari terkemudian." 

Mata Isabelle mula beransur merah dan berair. Beberapa titis air mata berkembang di birai matanya, meniti pipinya, lalu mengalir jatuh ke lantai. Shakranta merapati isterinya, memeluknya erat, mengusap pipi serta rambutnya dan mengesat matanya.

“Shushhhh,” bisik Shakranta meredakan kepiluan isterinya. “Itu suatu pengorbanan ... yang tidak dapat Dinda elakkan. Usahlah Dinda bimbang lagi tentangnya. Dinda kini selamat sejahtera. Lupakanlah semua perkara silam yang membuat Dinda tidak selesa. Kalau nak diikutkan hati, ingin rasanya Kanda buru orang-orang yang berkenaan ... dan ingin Kanda hukum mereka dengan hukuman yang setimpalnya."

Untuk beberapa ketika kedua mereka tidak berkata apa-apa. Yang satu tiba-tiba memerlukan kasih sayang, kemanjaan, kepastian dan perlindungan. Yang satu lagi memberikan semuanya dengan penuh rasa kecintaan.

"Tidak, Kanda," sejurus kemudian Isabelle bersuara semula. "Segala-galanya sudah berlalu. Ia kini perkara lama. Kini, dengan naungan dan perlindungan Kanda, tiada sesiapapun yang mungkin menyakiti Dinda lagi. Orang-orang itu pun, entah di mana berada, dan entah masih hidup ataupun sudah tiada lagi di dunia ini. Kata orang, lanun itu, biasanya hayat mereka tidak begitu panjang.”

"Ada baiknya juga jika Dinda reda sebegitu. Yang pentingnya bagi Kanda, Dinda sentiasa sejahtera, dari kini hingga ke bila-bila."

"Kanda tidak ambil kisah bahawa ... Dinda tidak berterus terang berhubung perkara ini terlebih dahulu ... dengan Kanda? Atau ... mungkinkah Kanda merasa sedikit terkilan?"

"Tidak ... kerana bagi Kanda ... itu adalah hak Dinda sepenuhnya. Malah ... Kanda bersyukur kerana Dinda terselamat daripada semua ancaman ... dan terlepas daripada segala dugaan ... hingga akhirnya kita berdua bertemu. Perkara silam tetap adalah perkara silam. Lagipun ... Dinda tidak bersalah ... kerana melakukan apa saja demi membela diri itu ... adalah sesuatu yang diharuskan."

"Terima kasih, Kanda. Kerana memahami serta menerima perasaan Dinda ... serta segala yang lain berhubung duduk perkara."

“Sungguh hebat,” ujar Shakranta. “Rupa-rupanya duduk perkara malah melebihi lagi daripada yang Kanda sangka … sedari kali pertama kita bertemu. Kanda memang terasa sesuatu keanihan ... kerana … walaupun Dinda ketika itu seorang gadis abdi … pembawaan serta perilaku Dinda … agak berlainan … jauh lebih anggun … lebih santun … dan lebih tersusun … daripada abdi yang lain. Cuma … mengapakah Dinda terlalu berahsia dan tidak memberitahunya lebih awal kepada Kanda?”

“Kerana … Kanda sendiri tidak pernah bertanya … dan sekaligus juga … kerana Dinda ingin menguji sejauh mana … tulusnya cinta Kanda kepada Dinda. Kalaulah Dinda memberitahu Kanda lebih awal … bagaimanakah Dinda dapat pasti akan ketulusan itu?”

“Maksud Dinda?”

“Kiranya Kanda tahu terlebih dahulu ... tidak mustahil bahawa ... Kanda hanya ingin mengahwini Dinda sekadar kerana keturunan Dinda.”

“Dinda memang seorang wanita yang bijaksana. Dan seperti yang Dinda janjikan kali pertama kita bertemu … Dinda memang telah membawa tuah yang hebat kepada Kanda.”

“Maksud Kanda?”

“Tuah yang Dinda bawa adalah … puteri kita … Chinta Kirana … serta kedamaian dan ketenteraman jiwa yang tidak pernah terbayang oleh Kanda sebelum kehadiran Dinda dalam hidup Kanda.”

“Kanda masih lagi ingat kata-kata Dinda itu rupanya,” ujar Isabelle.

“Sudah tentu. Kerana ia kata-kata yang terbit pada kali pertama kita bertemu.”

Isabelle merenung suaminya dengan senyuman penuh bermakna rahsia.

“Mengapa Dinda merenung Kanda begitu?”

“Kerana Dinda merasa amat bahagia saat ini. Dinda begitu bertuah ... mendapat seorang yang baik hati dan tulus jiwa seperti Kanda sebagai suami."

§
“Kanda,” sapa Isabelle.

“Ya, Dinda.”

“Ini sambungan kepada kisah semalam … bahagian yang belum Dinda maklumkan kepada Kanda … kerana baru kini Dinda terasa bersedia,” ujar Isabelle.

“Apa itu, Dinda?”

“Di antara kita berdua … walaupun mungkin sukar dipercayai … sebenarnya … adalah bertemu nasab daripada jurai zuriat yang sama nun jauh di masa silam.”

“Dinda bergurau … kan?”

“Tidak, Kanda … Dinda bersungguh-sungguh.”

“Baiklah. Daripada jurai yang mana pulak tu?”

“Jurai Yazdegerd Shah I ... iaitu ayahanda kepada Putera Arta Khshathra ... yang juga digelar orang Panglima Sudakh Shina kerana keperwiraannya ... iaitu salah seorang nenek moyang Kanda.”

“Dinda!”

“Benar, Kanda. Putera Alfred, nenda Dinda ... dia bersalasilah daripada Puteri Gerberga von Henneberg, ratu wilayah Swabia di negeri Germania. Puteri Gerberga itu pula bersusur galur daripada Puteri Izdundad, puteri kepada Yazdegerd Shah III, maharaja Parsi Wangsa Sassan, dan permaisuri baginda, Puteri Manayanha dari Byzantium.”

“Yazdegerd Shah III berkahwin dengan seorang puteri Byzantium? Tapi ... bukankah Parsi itu sering berseteru dengan Byzantium?”

“Benar, Kanda. Namun, pada suatu ketika, kerajaan Parsi Wangsa Sassan berserta kerajaan Byzantium kedua-duanya terancam oleh kebangkitan orang-orang Arab Islam. Maka kedua mereka terpaksa berdamai dan berpakat seketika ... lalu Maharaja Heraklius, maharaja Byzantium mengahwinkan seorang cucundanya, iaitu Puteri Manayanha, iaitu anakanda kepada Maharaja Konstantin III, dengan Yazdegerd Shah III. Maka Puteri Manayanha itu menjadi permaisuri kedua kepada Yazdegerd Shah III.”

“Seterusnya?”

“Yazdegerd Shah III itu adalah cicit kepada Yazdegerd Shah I. Nah … ini buktinya … catatan ringkas yang memperihalkan susur galur keluarga kami … peninggalan Nenda Meredith kepada Dinda …yang mujurnya masih ada pada simpanan Dinda.”

“Sungguh mengagumkan. Tapi ... bagaimana pula sesuatu sehebat itu boleh berlaku?”

“Selepas kerajaan Yazdegerd Shah III ditewaskan oleh bala tentera Arab Islam pimpinan Khalid ibnu al-Walid, puteri-puteri baginda yang tidak sempat melarikan diri semuanya menjadi tawanan perang. Misalnya, Puteri Shahr Banu, dikahwinkan dengan Saiyidina Hussain, putera kepada Saiyidina Ali. Manakala Puteri Izdundad pula dianugerahkan oleh Saiyidina Umar kepada Bustenai ben Haninai, seorang penyandang jawatan Resh Galuta … iaitu Ketua Masyarakat Buangan di kalangan kaum abdi Yahudi di Parsi ... lalu dikahwini oleh beliau. Kalangan Resh Galuta itu pula, mereka dikatakan semuanya bersusur galur daripada Raja Daud … yang juga adalah seorang raja sekaligus seorang nabi bagi kaum Bani Israil di zaman silam. Kerana itu … sungguhpun para Resh Galuta daripada golongan kaum buangan … mereka dilayani dengan baik serta penuh hormat oleh pihak pemerintah. Sama ada di zaman kerajaan Babilani, mahupun kerajaan Parsi, ataupun kerajaan Arab Islam.”

“Hebat, hebat,” ujar Shakranta. “Bermakna Dinda juga bersusur galur daripada Raja Daud. Teruskan lagi, Dinda.”

“Seorang cicit Izdundad dan Bustenai … namanya Natronai al-Makhir … tertewas kepada sepupunya Judah Zakkai dalam pertandingan merebut jawatan Resh Galuta … lalu merantau membawa diri ke barat ... ke Benua Putih ... ke sebuah negeri bernama Frankia. Dia akhirnya berkahwin dengan Puteri Alda, bonda saudara Raja Karlo Magna … raja gemilang negeri Frankia itu … lalu dilantik menjadi pembesar wilayah Toulouse dengan memakai gelaran Duke Theodoric. Maka anak-anak mereka telah berkahwin dan beripar-duai dengan golongan kerabat diraja di negeri-negeri dan wilayah-wilayah yang bersahabat … hingga akhirnya lahirlah Puteri Gerberga von Henneberg daripada salah seorang daripada mereka itu.”

“Sungguh menakjubkan. Bermakna ada lagi dua perkara hebat yang baru kini terserlah.”

“Apakah itu, Kanda?”

“Bahawa … Dinda juga daripada zuriat seorang maharaja Byzantium yang di zaman remajanya gemar bertarung satu lawan satu dengan singa liar.”

“Maharaja Heraklius I. Kanda tahu tentang itu?”

“Kanda gemar mengkaji sejarah silam. Patutlah zuriatnya juga pandai menjinakkan sepasang anak harimau.”

“Alah ... Kanda ni. Dah mulalah tu. Mengada-ngada dah. Kita pulak yang disindirnya.”

“Tidak begitu, Dinda,” ujar Shakranta sambil tersenyum selamba. ”Kanda memang benar-benar mengagumi bakat semula jadi Dinda. Kerana Dinda ... seperti memiliki kemampuan luar biasa ... untuk mententeramkan ... dan ... menjinakkan ... sebarang haiwan dengan begitu mudah.”

“Termasuk haiwan yang ... kadang-kadang tu ... macam susah nak tidur di waktu malam, kan?”

Shakranta tertawa kecil dengan gurauan senda isterinya. “Dinda ni. Sekarang Dinda pula yang menyindir Kanda.”

“Ha! Tu la ... kan dah kena, kan?"

Begitulah keadaannya … suasana hidup yang sentiasa penuh kasih sayang ... berselingan sekali sekala dengan gurau berseloroh yang menyingkirkan bosan dan mencetus bahagia ceria ... di antara Isabelle dan Shakranta.

"Dan ... apakah perkara yang satu lagi itu, Kanda?” tanya Isabelle.

“Bahawa … Dinda juga mungkin daripada zuriat Panglima Kambujiya.”

“Bagaimana pula begitu?”

“Kerana Ardeshir Shah ... pengasas wangsa Sassan itu ... berketurunan daripada wangsa Hakhamanesh. Dan wangsa Hakhamanesh itu pula ... jangka sesetengah sarjana ... bersusur galur daripada Raja Kambhujiya.”

"Maksud Kanda ... Raja Kambhujiya leluhur kaum Kambhoja ... dan pendiri negeri Kambhoja di Pergunungan Himalaya itu?"

"Ya ... Raja Kambhujiya yang itulah. Kerana itulah nama Kambhujiya itu amat digemari di kalangan kerabat Wangsa Hakhamanesh ... dan sering diberikan kepada putera-putera mereka."

“Oh! Menarik sekali itu,” tingkah Isabelle. “Hebatnya Pencipta kita …  Tuan dan Pentadbir bagi seluruh alam. Dengan kemahuan-Nya    ikan di laut … asam di darat … di dalam belanga bertemu juga. Shakranta di timur … Isabelle di barat … di bumi Byzantium bersua jua.”

“Amboi ... pandainya Dinda berpantun,” ujar Shakranta.

“Dinda kan sudah menjadi orang Langkasuka, kan?” balas Isabelle.

"Betul juga tu," balas Shakranta.

"Kanda," sejurus kemudian Isabelle bersuara lagi.

"Ya, Dinda. Ada apa tu?"

"Kanda masih ingat lagi tak ... ketika Dinda begitu beria-ia memujuk Kanda ... supaya membeli Dinda ... semasa di Konstantinople dulu?

"Ya. Kanda pasti akan ingat sampai ke bila-bila. Kerana itu detik-detik pertama kita mula bertemu."

"Kanda tahu mengapa?"

"Kerana Dinda mengagumi Kanda, kan?"

"Alah. Dah perasan pulaklah tu."

"Tidak, Dinda," Shakranta tertawa kecil. "Itu kan Dinda yang memberitahu Kanda dulu."

"Ada lagi sebab lain daripada itu."

"Oh? Apa pulak tu?"

"Kanda tahu, bagi seorang abdi, harapan adalah perkara paling utama," ujar Isabelle. "Dan kemunculan Kanda dengan tak semena-mena hari itu dalam hidup Dinda melonjakkan harapan Dinda dengan tiba-tiba."

"Mengapa pulak begitu?"

"Kerana ia seperti menjurus kepada sesuatu yang telah diramalkan oleh seorang nenda sepupu Dinda ... Nujum Katherine ... ketika Dinda masih seorang bayi yang baru lahir."

"Oh! Apakah gerangan perkara yang diramalkannya itu?"

998 Masihi, di wilayah Somerset, di negeri Enghel Land, di Pulau Brittania.
Mata wanita itu sekejap hampir tertutup rapat, sekejap tercelik luas. Merenung tajam ke dalam sebiji bebola kaca sebesar buah tufah berwarna jernih keunguan. Dahinya berkerut, fikirannya begitu tertumpu dan berpusat. Mulutnya berkumat-kamit ... bertutur bahasa aneh yang langsung tidak difahami oleh kebanyakan orang yang berkerumun di sekelilingnya. Suaranya sekejap nyaring, sekejap antara dengar dan tidak, nadanya sekejap naik meninggi, sekejap turun serendah-rendahnya. Sejurus kemudian ... dia bertutur dengan suara jelas yang bergema lantang merentas seluruh mahligai dan pekarangannya.

"Anak ini akan mengalami kehidupan awal yang penuh pancaroba. Zaman kecilnya akan dilanda bertali arus oleh keperitan dan kepedihan. Namun kesudahannya, dia tetap akan menemui ketentuan hidupnya yang sebenar. Seorang pahlawan yang gagah berani dan baik hati ... dari sebuah negeri di hala timur ... nun begitu jauh di hala timur ... akan muncul menjadi pembela dan pelindungnya. Akhir sekali, dia akan bangkit kembali untuk beroleh kedudukan yang paling tinggi darjat dan martabatnya. Kedudukan yang sepadan dengan zuriat dan salasilahnya. Tidak di Enghel Land. Malah tidakpun di Pulau Brittania. Akan tetapi ... di sebuah negeri gemilang yang letaknya ... sungguh jauh ... nun jauh di sana ... di hala matahari terbit."

Demikian kata-kata samar yang terbit dari bibir Nujum Katherine, saudara sepupu kepada Dukun Meredith, iaitu ibu kepada Putera Bryhann. Di tengah-tengah kepulan asap bakaran pelbagai dedaun kering dari rimba, bau-bauannya melalikan semua hadirin yang datang berkunjung. Seminggu selepas kelahiran anak bongsu Putera Bryhann. Anak perempuan yang diberi nama ... Puteri Isabelle.

Bab 16: Utusan Dari Kedah Negara

Kini sudah sembilan tahun Kembang Seri Wangi memerintah Amdan Negara sebagai raja, dengan gelaran rasminya Ratu Agung Seri Dharma Amdan Negara. Sahabatnya Maharaja Mara Vijaya mengalami kecederaan parah semasa berjuang sengit menentang serangan mengejut bala tentera Chola Mandalam ke atas Palembang. Baginda kemudian jatuh gering lalu akhirnya mangkat berpunca daripada kesan kecederaan yang tidak dapat disembuhkan oleh para tabib terbaiknya.

Di peringkat awal kemangkatan Mara Vijaya, Kembang Seri Wangi meratapi kepergiannya buat beberapa lama. Entah mengapa hatinya sudah mula tertarik dengan maharaja itu yang pernah menyuarakan hasratnya untuk memperisterikan dirinya dan menjadikannya permaisuri kedua, merangkap Ratu Agung bagi seluruh Persekutuan Langkasuka Adhi Negara. Namun akhirnya, dia redha dan menganggap semuanya itu sebagai ketentuan Sang Pencipta Yang Esa.

Kebesaran Sang Pencipta tiada sesiapapun yang dapat menduga. Di antara Kembang Seri Wangi dan Mubarak, muballigh pengembara berbangsa Arab dari Semenanjung Hejaz, akhirnya saling jatuh cinta dan bertemu jodoh, lalu kesudahannya terdirilah istana bahagia di antara keduanya. Atas nasihat puteranya sendiri Shakranta selaku Putera Mahkota merangkap Panglima Agung, Mubarak seterusnya dilantik oleh Kembang Seri Wangi memegang jawatan khas secara rasmi sebagai Penasihat Diraja Bagi Hal Ehwal Islam.

§
“Abang Oja,” Chinta Kirana bersuara. “Abang nak ke mana tu?” Chinta Kirana meninjau-ninjau ke bawah melalui jendela kamarnya. Kelihatan Ozalan menonggang seekor daripada kuda tuannya, sambil memimpin tali kendali kuda yang seekor lagi.

Puteri tunggal Shakranta dan Isabelle itu kini berusia sepuluh tahun. Dia seperti masih tidak dapat berenggang dengan Ozalan yang dianggapnya sebagai abang. Ke mana saja Ozalan pergi pasti akan diikutinya. Kecuali ketika Ozalan perlu menjalankan tugas-tugas kasar seperti mengendalikan kuda dan sebagainya. Ataupun membantu Pak Utih atau Pak Uda dengan kerja-kerja mereka.

“Abang nak ke dusun, Chinta. Nak petik buah-buahan. Abang bawa Kshatriya dan Srikandhi sekali. Chinta duduklah di rumah. Nanti Abang bawa balik buah rambutan, manggis dan duku. Buah-buahan kegemaran Chinta, kan?”

“Ala, Abang ni. Chinta nak ikut sama. Bosanlah duduk kat rumah aja sepanjang hari.”

“Nanti, kalau bunda Chinta marah, macam mana?”

“Kalau dia marahpun, tak kan lah sampai dia nak pukul,” jawab Chinta Kirana seolah-olah begitu yakin dengan dirinya.

“Baiklah. Kalau begitu, lebih baik Chinta pergi minta izin dengan bunda Chinta dulu. Kalau dia benarkan, baru Abang boleh bawa Chinta ikut Abang.”

“Baik, Bang. Chinta pergi jumpa dia sekarang. Abang tunggu Chinta dulu, ya?”

§
Isabelle melangkah naik ke Mahligai Dharmakusuma, setelah beberapa lama berjalan-jalan meninjau kawasan pekarangan mahligai.

“Bunda!” Chinta Kirana bersuara sebaik sahaja ternampak kelibat ibunya.

“Ya, Chinta. Ada apa, Sayang?”

“Ummm ... Abang Oja nak ke dusun. Dia membawa Kshatriya dan Srikandhi bersamanya. Chinta ... Chinta nak ikut sama. Boleh tak, Bunda?”

“Tidak, Sayang. Hari ini tidak sesuai untuk itu. Minta Ozalan tundakan rancangannya itu ke esok atau lusa. Bukan Bunda tak bagi. Tapi sehari dua ini, Bunda khuatir kalau-kalau ada ancaman yang membahayakan. Anakanda lihat rombongan di sana tu ... dekat pintu gerbang tu ... yang sedang asyik berbicara dengan Ketua Pengawal itu. Kita masih belum pasti lagi buruk baik niat mereka. Sepanjang hari ini ... jangan Anakanda pergi terlalu jauh dari pekarangan istana.”

“Kalau begitu, baiklah Bunda. Tapi, kalau esok lusa, bolehlah, ya Bunda?”

“Kita tengok dulu keadaannya bagaimana. Panggil Ozalan ke mari.”

“Baik, Bunda.”

Sejurus kemudian …

“Puanku Isabelle,” Ozalan bergegas-gegas datang dari arah ladang, selepas membawa kuda-kuda jagaannya untuk meragut-ragut dan berjemur di sana, setelah selesai memandikan haiwan-haiwan itu di tasik berhampiran jeram. “Puanku panggil saya ka?”

Semasa zaman kanak-kanak mereka berdua di Konstantinople dulu, Ozalan biasanya memanggil Isabelle, yang bersahabat baik dengan ibunya Shamira, dengan gelaran Ziba Baji, yang bermaksud Kakak Cantik dalam bahasa campur Parsi-Turkmen. Kerana terpengaruh oleh beberapa orang kawan yang beberapa tahun lebih tua daripadanya ketika itu, dia lebih gemar bertutur begitu sungguhpun di kota itu bahasa Greek yang menjadi bahasa utama.

Kebetulan, gelaran itu, bagi Ozalan yang masih kecil ketika itu, bunyi sebutan Ziba itu agak hampir dengan Isabelle, yang sukar hendak disebut oleh Ozalan dengan betul kerana telornya serta pelat asalnya yang pekat. Maka sekian lama selepas mereka sampai di Bukit Panau dan mendiami Mahligai Dharmakusuma, Ozalan terus memanggil Isabelle dengan panggilan Ziba Baji, kemudian beransur meringkaskannya kepada hanya Baji atau Kakak.

Namun, selepas Isabelle mengahwini Shakranta, Ozalan mengubah panggilan itu kepada Puan, sungguhpun Isabelle lebih suka Ozalan tetap memanggilnya Baji atau Kakak. Seterusnya panggilan itu berubah lagi menjadi Puanku selepas Amdan Negara beroleh merdeka sepenuhnya dan Shakranta dilantik secara rasmi menjadi Putera Mahkota, membantu bundanya Kembang Seri Wangi yang ditabal sebagai Ratu Agung, dengan Isabelle menjadi Puteri Mahkota.

“Ya, Oja,” jawab Isabelle. “Mari ke sini.”

Isabelle berbisik sesuatu kepada Ozalan. Anak muda itu mengangguk-angguk sambil mendengar setiap patah penerangan dan arahan Isabelle dengan cermat.

“Baik, Puanku. Hamba faham.”

“Sekarang kau pergi panggil Mak Utih, Pak Utih, Mak Uda dan Pak Uda ke mari berjumpa dengan ku segera. Lepas tu, cari Ketua Pengawal dan minta dia datang ke sini dengan serta merta. Kemudian, kembali ke sini dan sentiasa awasi pergerakan Chinta. Jangan kau berenggang jauh dengannya. Dan jangan biarkan dia merayau-rayau terlalu jauh dari kawasan istana sepanjang dua tiga hari ini. Kalau kau perlu pergi agak jauh, untuk memandikan kuda atau sebagainya, ajak Chinta ikut bersamamu, dan ajak dua orang pengawal untuk mengiringi dema berdua. Akan ku beri arahan itu kepada mereka.”

“Baik, Puanku. Hamba pergi sekarang.” Sambil beredar untuk melaksanakan tugasannya, Ozalan meraba-raba keris panjang pemberian Shakranta yang tersisip di pinggangnya, untuk memastikan ia tetap berada di situ, seterusnya memperbetul kedudukannya.

§
Shakranta duduk bersandar di kerusi empuk di balai tamu, menikmati juadah lewat pagi.

“Paduka Tuanku Putera!” kedengaran suara lantang Ketua Pengawal memanggilnya.

“Ya, Gadang. Ada apa tu?”

“Ada serombongan orang di pintu gerbang. Mereka menunggu di pondok pelawat. Mereka ingin berjumpa Tuanku. Kata mereka … mereka dari Gunung Jerai, di Kedah Negara. Di ketuai oleh seorang Menteri Utusan. Membawa watikah penting daripada … Maharaja Sang Rama Vijaya Thungga Varman.”

“Lalu apa pula yang Baginda mahu?”

“Hamba kurang pasti pula, Tuanku.”

“Ambil watikah itu dan bawa kemari kepada Kita. Biar Beta baca dulu apa isinya.”

Ketua Pengawal itu bergegas-gegas pergi semula ke pintu pagar. Ketua rombongan itu mengunjukkan selembar watikah kepadanya. Ketua Pengawal itu mengambilnya dan membawanya kepada Shakranta.

“Aapaaa???”

“Mengapa, Tuanku? Ada sesuatu yang tidak kena?”

“Memang ada. Ohhhh ... si bongkak itu mahu meminang Chinta Kirana untuk dirinya. Dasar manusia tak sedar diri. Puteriku yang belumpun mencecah sepuluh tahun umurnya. Masih seorang anak. Tidak. Walau siapapun orangnya, walau sehebat manapun alasannya, walau semanis mana janji-janjinya, tidak kan ku berikan puteriku kepada seorang lelaki bernafsu haiwan seperti dia.”

§
“Lalu mengapakah rajamu itu begitu beria-ia hendak meminang puteri Beta, Chinta Kirana, yang masih berumur setahun jagung itu?”

“Kata Sri Sang Rama, Chinta Kirana bukan saja cantik ayu … tetapi juga mewarisi zuriat yang hebat daripada isteri Tuanku, Permaisuri Isabelle, serta Tuanku sendiri. Lalu baginda sungguh-sungguh berhasrat untuk menggabungkan zuriat Raja Daud dan Panglima Kambujiya yang diwarisi oleh puteri Tuanku itu … dengan zuriat Palembang Srivijaya yang tidak kurang hebatnya … supaya ke dalam susur galur putera-putera Palembang … yang bakal mewarisi takhta kerajaan Srivijaya di hari muka … akan memiliki susur galur yang tiada tolok bandingnya di Rantau Tenggara ini … agar dapat membantu memulihkan kembali … kegemilangan kerajaan Srivijaya. Baginda berjanji bahawa … sebarang putera yang bakal terhasil daripada perkahwinannya dengan Chinta Kirana … akan mewarisi takhta Srivijaya.”

“Beta rasa Beta faham hasrat Baginda itu,” ujar Shakranta. “Kalaulah Baginda mengikut tatatertib dan adab sopan yang betul … mungkin permintaannya itu akan Beta beri pertimbangan selayaknya. Itupun hanya sekiranya Baginda sanggup menunggu sehingga puteri Beta lebih dewasa … dan … hanya dengan syarat Baginda sanggup memeluk fahaman kami sekeluarga ... iaitu fahaman Islam. Kerana kami orang Islam hanya dibolehkan berkahwin sesama Islam. Tidak! Itu semua bohong! Dia hanya mahukan puteri Beta, Chinta Kirana, sekadar sebagai pemuas nafsu haiwannya, bukan?”

“Diam!!!” Menteri itu bertempik lantang. “Terlalu lancang mulut Tuanku Putera.”

“Lancang? Ohhh … seekor anjing kurap sepertimu pun pandai mengata seorang putera mahkota sepertiku lancang rupanya. Ya, memang mulut Beta lancang … kerana bahasa dan cara yang digunakan oleh rajamu itu yang begitu biadap! Tidak memperdulikan adat dan tatasusila orang timur. Langsung tidak menghormati Beta sebagai orang tua Chinta Kirana yang digilainya. Ceh! Ingatlah kamu bahawa Beta ini bukan saja pewaris zuriat Panglima Kambujiya dan cucu cicitnya Panglima Sudakh Shina. Tetapi juga Raja Buddhagupta Maha Navika raja Negeri Bumi Merah di zaman silam. Serta melalui permaisuri Baginda pula, zuriat Wan Sri Mara, Panglima Agung negeri Funan yang akhirnya menjadi Raja Agungnya. Berbenih daripada kerajaan Bumi Merah jugalah tumbuhnya Wangsa Srivijaya di Palembang dan Wangsa Sailendra di Jawa Tengah, iaitu kedua jurai leluhur kepada rajamu itu. Dan kau, anjing kurap, lebih baik kau nyah dari sini segera! Sebelum Beta penggal kepalamu sedikit masa lagi.”

“Tuanku Putera terlalu bongkak. Sedarlah diri Tuanku bahawa negeri Tuanku kini di bawah pertuanan Palembang Srivijaya … maka barang siapa yang menduduki takhta Palembang Srivijaya berhak menuntut apa-apa saja yang dikehendakinya daripada Tuanku. Termasuk puteri Tuanku.”

“Heh! Pertuanan Palembang? Ternyata kau dan rajamu itu masih terawang-awang dalam alam khayalan dema sendiri. Amdan Negara sudah kembali menjadi negeri merdeka dan berdaulat sejak Beta membantu Mara Vijaya Thungga Varman, mendiang ayahanda kepada rajamu itu, menyerang negeri Medang Mataram dan memusnahkannya sembilan tahun yang lalu. Kerana itu adalah perjanjian negeri yang jujur dan bersaksi rasmi di antara para Pembesar Memerintah di seluruh negeri-negeri Pantai Timur dengan Mara Vijaya. Sebagai syarat untuk Angkatan Pantai Timur, bala tentera gabungan yang Beta pimpin selaku Panglima Agung, memihak kepada Mara Vijaya dan menolong menumpaskan musuh ketatnya Medang Mataram. Mara Vijaya sendiri yang hadir menyaksikan dan merasmikan upacara isytihar merdeka di Bukit Panau ketika itu.”

Orang itu termenung sejenak. Seperti merenung dan mengamati kata-kata Shakranta.

“Tidak pula pernah kami meminta bantuan daripada Palembang. Di sebaliknya, bukankah Palembang yang meminta bantuan daripada kami untuk menyerang Medang Mataram ketika itu?” Shakranta meneruskan perdebatan. “Maka bagaimanakah pula negeriku masih menjadi naungan negerimu? Wei, badut. Kau dan rajamulah yang harus sedar diri dema. Palembang kini tidak lagi segagah mana. Belajarlah membezakan yang mana ufti … dan yang mana hadiah rasmi negeri tanda persahabatan … sebelum membebel perkara karut marut yang sedikitpun tiada ertinya.”

“Tidak! Memang Tuanku Putera yang seharusnya sedar diri. Namun Tuanku kini begitu megah dan bangga kerana memiliki seorang permaisuri yang cantik jelita, kononnya. Akan tetapi ... bukankah permaisuri Tuanku itu asalnya hanya seorang gadis abdi hina yang Tuanku pungut di pasar abdi?”

§
Telinga Isabelle terasa beransur semakin panas. Mengapakah orang itu begitu biadab? Celupar sekali mulutnya. Isabelle melompat naik ke atas belakang kuda setianya Srikandhi yang cukup terlatih. Lalu memacunya perlahan-lahan ke arah orang itu di atas rumput tebal dan lembut umpama permaidani baldu.

“Salah!!!” Isabelle menengking nyaring, menyampuk dari arah belakang mereka berdua. Kedua lelaki yang sedang bertengkar itu tersentak dari keasyikan berdebat, langsung terus menoleh ke arahnya.

Isabelle rupanya. Memakai pakaian pahlawan yang serba lengkap, dengan baju berlengan pendek. Rambut perang bulu jagung yang panjang lebat berikat ringkas gaya cetum ekor kuda. Sebilah keris panjang pemberian mertuanya, Ratu Agung Kembang Seri Wangi, tersisip di pinggangnya. Keris warisan keluarga Dharmakusuma daripada ratu negeri Chi Tu zaman silam. Dia kelihatan bengis namun anggun. Seperti dewi perang yang menjelma dengan tak semena-mena. Dia telah menyusup menghampiri mereka berdua tanpa sebarang bunyi.

“Tuan jelas tersilap, Menteri Utusan,” sambung Isabelle dengan suara yang lantang tetapi bernada tenang. “Setiap abdi itu asalnya adalah insan yang merdeka sepenuhnya. Dan setiap raja itu asalnya adalah hanya rakyat biasa. Maka janganlah tuan terlalu mudah menghina orang yang tuan anggap hina. Dan terlalu angkuh dan bongkak dengan ketinggian darjat yang kononnya tuan warisi. Pulanglah tuan segera kepada kalangan kerabat tuan. Dan ... oh ... elakkanlah diri tuan daripada terlibat dalam sebarang pertempuran. Kerana pertempuran itu boleh mengubah darjat seorang bangsawan menjadi seorang abdi dalam sekelip mata. Terutamanya seorang bangsawan yang berlagak hebat tetapi berhati dayus seperti tuan!” Isabelle menyudahkan kata-katanya dengan penyudah maut yang dengan serta merta mematikan akal Menteri Utusan itu.

Merah padam tiba-tiba air muka orang itu terkena tempelak Isabelle. Marahnya bercampur malu serta geram. Telinganya, pipinya serta tengkuknya terasa panas membahang. Namun lidahnya seperti terkunci tiba-tiba kelu. Hujah wanita itu begitu jitu, lalu mustahil baginya membalas. Sindirannya pula sungguh tajam dan pedas, serta berubah pula menjadi cemuhan menghina dengan pantas sekali. Dia bisu sebisu-bisunya.

Sambil terus merenung Menteri Utusan itu tanpa berkelip mata, Isabelle menghunus keris panjangnya dengan begitu tegas dari bengkungnya, mengangkatnya ke arah mukanya, lalu mengucupnya pada bahagian sisinya. Seluruh mata keris itu kelihatan menyilau bergemerlapan dalam sinar suria lewat pagi.

Tangan kiri Isabelle pula mula menggosok dan membelai mata keris itu. Dua cincin emas berpermata berlian, satu di jari manis dan satu lagi di jari telunjuk, serta sepasang gelang emas, kelihatan bersinar menyilau bergemerlapan, seperti memantul cahaya daripada kerisnya.

Menteri Utusan itu terasa seperti kakinya mula menggigil. Bulu romanya dan anak rambut halus di tengkuknya terasa mula meremang. Darahnya dengan tidak semena-mena terasa berderau. Seluruh tubuhnya tiba-tiba terasa seram sejuk.

“Oh! Baru ku teringat ... kata orang ... keris yang ampuh ... kalau sudah terhunus ...” Isabelle meletakkan mata keris itu di tapak tangan kirinya ... lalu menorehnya … dengan perlahan-lahan … beberapa kali berturut-turut ... “mesti menghirup darah!”

Isabelle mengangkat semula keris itu ke arah mukanya ... mengamati bahagian hujung mata keris itu yang kini kelihatan merah pekat berlumur darah. Sekali lagi dia melontar jelingan tajam ke arah Menteri Utusan itu. Sejurus kemudian, aliran darah berwarna merah pekat meleleh meniti dari tapak tangan kirinya, ke lengannya, hingga ke sikunya. Lalu menitis, setitis demi setitis, jatuh ke bumi.

“Kur semangat!” Menteri Utusan itu berbisik kepada dirinya sendiri. Tiba-tiba kaki seluarnya terasa panas dan lembap di bahagian paha. Rupa-rupanya dia terkencing kerana terlalu ngeri dengan tingkah laku Isabelle yang semakin aneh dan mengerikan.

Orang itu tidak dapat berkata apa-apa lagi. Kerana kini sahih dirinya memang bukan seorang pahlawan. Malah kalau dicabar bermain keris oleh seorang wanitapun tidak pasti dia sanggup menerima. Apatah lagi seorang serikandi yang bengis bengkeng seperti Isabelle. Dia bergegas-gegas berundur meninggalkan Shakranta dan Isabelle langsung menuju ke arah pengiring-pengirinnya. Mengajak mereka beredar dari tempat itu dengan serta merta.

§
Shakranta memandang isterinya dalam tergamam seketika. Isabelle memacu kudanya bergerak perlahan-lahan ke arah anak sungai di belakang Mahligai Dharmakusuma.

“Dinda,” Shakranta memanggil isterinya. Namun Isabelle seperti tidak mempedulikannya dan terus menonggang pergi, seperti tidak ingin dirinya diganggu.

“Dinda!” Shakranta memanggil lagi. “Tunggu! Tangan Dinda cedera. Mari Kanda tengok.”

Shakranta berlari perlahan hingga bertemu semula dengan Isabelle dan kudanya di tebing anak sungai itu. Namun Isabelle pula memacu Srikandhi menderap, kemudian meligas, semakin lama semakin pantas, menyusur anak sungai ke arah hulunya, menuju ke lereng bukit. Shakranta bergegas melompat naik ke atas belakang Kshatriya yang sedang meragut-ragut berhampiran dan mengejar isterinya itu. Lantas dia menghampiri Isabelle apabila kedua mereka sampai ke kaki bukit kerana khuatir tentang kecederaan di tangannya. Sejurus kemudian dia tersenyum. Geli hatinya seterusnya membuatnya tertawa terbahak-bahak hingga tidak terkawal lagi. Isabelle pun ikut tertawa kecil.

Ternyata Isabelle juga pandai bermain silap mata. Rupa-rupanya yang ditoreh tadi bukannya tapak tangannya sendiri ... tetapi seekor ikan sepat segar yang diikat rapi di tangannya dengan benang halus berwarna samar, lalu hujung benang itu ditambat erat ke gelangnya dan dua cincinnya.

Isterinya itu juga telah mengilas hujah Menteri Utusan Sang Rama Vijaya dengan hanya sekali tutur. Mengilasnya dengan kilasan mati yang langsung tidak terungkaikan oleh orang itu, membuatnya terpacak kaku seketika di tempat dia berdiri. Peristiwa yang sungguh menakjubkan. Shakranta menggeleng-gelengkan kepalanya, tersenyum seorang diri.

§        §        §

Bab 17: Gunting Dalam Lipatan



“Pengawal sekalian!” Raja Shakranta berseru. “Malam ini Beta ada banyak barang dagangan yang baru sampai di pangkalan perahu di tepi sungai. Beta perlu memeriksanya secara rapi sebelum menerimanya. Beta dan Permaisuri Beta akan berada di sana beberapa lama. Pak Utih, Pak Uda, Mak Utih dan Mak Uda akan membantu Beta berdua.”

“Tuanku memerlukan kami untuk ikut sama menolong?” Samak bertanya.

“Jangkaan awalnya, tidak begitu perlu. Namun, kalau kerja-kerja mengangkut terlalu banyak ... dan tenaga dema diperlukan ... Beta akan mengutus sama ada Pak Uda atau Pak Utih untuk memaklumkan kepada Ketua Pengawal.”

§
Shakranta dan Isabelle dengan keempat pembantu mereka berada di pangkalan perahu agak lama. Hingga lewat malam mereka belum pulang.

Malam itu Chinta Kirana tidak dapat tidur. Berkali-kali dia beralih kedudukan … berpusing badan ... ke kiri, ke kanan dan ke kiri semula ... namun tidur seperti berkeras mahu menyepi diri daripadanya. Demikianlah keadaannya hingga ke larut malam.

Akhirnya, kerana terlalu bosan dia bangun mencucuh pelita lalu duduk bersila seketika. Kepalanya kebingungan. Tidak tahu apa yang hendak dibuat. Dia membuka pintu kamarnya dan duduk bersandar pada dinding di luar bilik. Dalam termenung dia menoleh ke arah daun pintu besar Mahligai Dharmakusuma. Entah apakah yang ada di luar sana di malam buta begini, fikirnya. Namun hatinya seakan terpanggil untuk pergi keluar melihat-lihat. Seperti ada sesuatu yang menggamit jiwa mudanya.
§
Sedang Gadang duduk mengelamun di tangga ... kelihatan kelibat seorang lelaki menghampiri pintu gerbang. Pak Uda rupanya.

“Gadang,” Pak Uda bersuara.

“Ya, Pak Uda,” balas Gadang. Ketua Pengawal itu kelihatan agak ceria, fikir Pak Uda. “Bagaimana keadaan di pangkalan?”

“Barangan yang tiba jelas terlalu banyak. Sungguh di luar jangkaan. Kami berenam tidak mampu mengendalikan semuanya. Tuanku Shakranta memberi arahan supaya semua pengawal datang membantu. Termasuk Timbalan Ketua Pengawal sendiri.”

“Baiklah Pak Uda,” ujar Gadang. “Hamba kerah mereka sekarang juga.”

“Dalim!” Gadang bersuara nyaring memanggil timbalannya.

“Ya, Gadang,” kedengaran suara Dalim membalas dari luar rumah. “Hamba di sini.”

“Panggil semua pengawal ikut Pak Uda ke pangkalan perahu. Kaupun ikut sama. Ini arahan Tuanku Shakranta.”

“Pengawal semua!!!” Dalim berteriak lantang. “Mari ke sini”.

Enam orang pengawal itu segera berkumpul di kawasan tangga.

”Kita semua diperlukan oleh Tuanku Shakranta. Mari ikut aku. Kita pergi bersama Pak Uda.”

“Err ... Dalim ... Gadang,” seorang daripada enam pengawal itu tiba-tiba bersuara. “Hamba ... perut hamba ... tiba-tiba meragam. Hamba minta kebenaran dan sedikit masa untuk ... melegakan diri hamba ... barang seketika.”

“Heiii, kau ni Samak!” Gadang membentak. “Ada-ada aja. Cepatlah sikit! Atau biarku tumbuk aja perut kau tu ... supaya melancarkan lagi pergerakan sampah sarap yang busuk itu keluar daripadanya.”

Setelah beberapa lama, Samak masih belum lagi selesai urusannya. Gadangpun kelihatan seperti nak naik berang.

“Dalim ... Pak Uda,” Gadang bersuara. “Hamba rasa, Samak tu akan terlalu lama. Entah apa yang dah jadi dengan perut cabuknya itu. Kalau macam tu, dema semua aja yang pergi dulu. Biar si Samak tinggal menjaga rumah bersamaku.”

“Baiklah, Gadang,” balas Dalim. “Kami pergi dulu.”

“Errr ... tunggu,” ujar Gadang. “Si Ozalan ke mana pulak?”

“Oja ke kandang kuda,” jawab Dalim. “Baru sebentar tadi hamba melihatnya. Katanya kaki Srikandhi terseliuh sedikit petang tadi semasa berlatih. Ia perlu diberi rawatan rapi. Agar kecederaannya tidak melarat dan ... kakinya tidak terlalu membengkak. Hamba rasa ... Oja akan berada di sana agak lama.”

“Baiklah,” ujar Gadang dengan nada yang agak lega.“

Akhirnya Samak keluar daripada tandas di belakang rumah. Dia mengeluh lega. Kawan-kawan pengawal yang lain semuanya sudah pergi. Sebaik saja dia melangkah kaki untuk menaiki tangga rumah ...

“Bappp,” terdengar bunyi seperti sebatang kayu besar menghempap sesuatu.

Samak jatuh tersungkur tanpa sebarang suara. Terus kaku, tidak bergerak lagi.
§
Ozalan berjalan menghampiri bahagian belakang Mahligai Dharmakusuma. Sambil itu dia meninjau-ninjau ke setiap arah di sekitar pekarangan.

Tiba-tiba … dia ternampak kelibat seseorang … seperti mengusung sesuatu. Ozalan menyelinap ke penjuru rumah … bersembunyi seketika …

“Gadang!!!” Ozalan bertempik lantang. “Berhenti! Lupakan niat jahatmu itu!”

“Bangsat!!!” balas Gadang. “Jangan kau ganggu urusanku. Budak ini tiada apa-apa ertinya bagimu. Lebih baik kau ke tepi saja dan selamatkan dirimu. Lalu tiada siapa yang rugi di antara kita berdua.”

“Tidak! Aku tidak akan hanya berdiam diri dan membiarkanmu mengkhianati keluarga Dharmakusuma. Terutamanya anak gadis sunti mereka yang masih tidak berdaya membela diri sendiri. Tidakku sangka. Rupanya selama ini kau pembelot dan petualang terbesar di wilayah ini. Entah sudah berapa lama kau menjadi tali barut Sang Rama Vijaya. Kau tidak layak berada di sini lagi.”

“Kurang ajar!!! Dasar dagang merempat! Mengapakah kau begitu bodoh? Ini tawaran terakhir untukmu. Biarkan ku bawa dia ke sungai. Orang-orang Sang Rama Vijaya sedang menungguku di sana. Mereka akan menguruskan yang selebihnya. Ganjaran yang mereka berikan, nanti kita kongsi bersama.”

“Tidak semudah itu, Gadang. Ternyata kau masih tidak faham setelah sekian selama berada di istana ini. Wangsa Dharmakusuma adalah seperti keluargaku sendiri. Tiada bezanya dengan darah dagingku sendiri. Sungguhpun diriku sekadar seorang pekerja suruhan. Maka barang siapa yang ingin mengkhianati mereka, adalah seperti dia mahu mencederakan diriku sendiri.”

Chinta Kirana yang sedang diusung oleh Gadang tiba-tiba tersedar. Rupanya dia si Gadang telah memasukkan ubat pukau ke dalam air teh di dalam kendi tehnya yang terbiar di serambi rumah anjung. Yang menyebabkan dia tiba-tiba tertidur nyenyak sebentar tadi.

“Abang Oja!!!” Chinta Kirana terus menjerit lantang. “Toloonnggg! Tolong Chinta!”

“Gadang!!! Bebaskan dia segera. Atau ku hambur kau detik ini juga.”

“Lepaskan aku, jahat!!! Kalau Ayahku pulang ... baru kau tahu padahnya!”

Gadang menurunkan Chinta Kirana yang meronta-ronta lantas menghunus kerambit yang tersisip dipinggangnya.

“Ini! Lihat ini, Oja. Jangan kau bergerak walau setapak lagi. Atau akan terburai tali perut budak ini oleh kerambitku ini. Atau ku pulas saja tengkuknya ini.”

Chinta Kirana yang kini dalam kedudukan berdiri terasa tengkuknya terkunci erat dari arah belakangnya oleh tangan sasa Gadang. Namun dia terus meronta.

“Memang wajar sekali rupanya kesangsian Puanku Isabelle terhadapmu. Sudah lama dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kau. Tapi ... kalaulah Chinta Kirana tercedera ... tidakkah Sang Rama Vijaya sendiri akan memurkaimu? Dan ... tidakkah itu bererti bahawa ... habis melayang segala ganjaran lumayan yang kau impikan itu?” Ozalan sengaja meleretkan pertengkarannya dengan Gadang supaya melalaikannya. Sambil berfikir mencari jalan bagaimana hendak menyerangnya tanpa mencederakan Chinta Kirana.

“Sungguh tidak ku sangka,” Ozalan meneruskan kecamannya. “Kau tidak ubah seperti kacang lupakan kulit. Ibarat mayang menolak seludang. Diberi susu kau balas tuba. Diberi bunga kau balas tahi. Sekarang … siapa yang menggali lubang … dialah juga yang akan terperosok ke dalamnya!”

Gadang tiba-tiba kelihatan keliru bercampur serba salah. Kini dia pula yang kebingungan. Keraguan mengelamkan perhitungannya ... terkial-kial memikirkan apa tindakan seterusnya yang paling tepat …

“Bedebap! Prrpaap! Bedebap!” tiga tendangan kilat Ozalan menyambar muka Gadang berturut-turut tanpa kakinya jatuh mencecah lantai. Tendangan libas terus dari kanan mengenai sisi kiri kepala Gadang. Disusuli dengan tendangan cangkuk dengan tumit pada mukanya yang terpusing ke kanan akibat tendangan pertama. Tendangan ketiga ... membawa segala kekuatan yang masih ada di kaki kanan Ozalan ... kena tepat pada pangkal rahang Gadang. Ketua Pengawal bertubuh sasa itu mengerang kesakitan seketika.

Terpacu oleh geram kerana sakit bercampur kekecewaan akibat hasratnya yang terhalang, Gadang menggenggam rambut Chinta Kirana, lantas disugun kepala gadis itu ke tiang seri, membuatnya huyung dan hampir tersungkur ke lantai. Ozalan menerpa ke arah Chinta Kirana dan sempat memaut bahunya untuk menghalangnya daripada jatuh terus dan terhempap kepalanya di lantai.

“Chinta!,” Ozalan bersuara lantang.

“Abang Oja!” balas Chinta Kirana dalam keadaan termengah-mengah kerana penat meronta.

“Pergi ke serambi dan tunggu di situ. Minta bantuan jika terlihat sesiapa yang lalu berhampiran.”

Ozalan segera berpaling semula ke arah Gadang untuk menghadapinya. Sambil meletakkan dirinya di antara Isabelle dan Gadang sebagai penghadang untuk melindungi Isabelle. Gadang meluru ke arahnya sambil menusuk kerisnya ke dada Ozalan. Ozalan melantun ke sisi untuk mengelak, sambil merembat lengan Gadang dengan kaki kirinya, membuat keris Gadang terlucut dari tangannya. Lantas Ozalan menerpa semula ke depan melontar tumbukan padu dengan tangan kanannya ke rahang kiri Gadang. Di susuli pantas dengan rembatan siku kiri ke kanan muka lawannya ... seterusnya tumbukan cangkuk ke atas yang teramat padu dengan tangan kanan tepat mengenai dagu pengawal itu.

Dalam Gadang masih terpinga-pinga, hantukan kepala Ozalan tepat mengenai batang hidungnya, membuatnya patah remuk. Sungguhpun rahangnya terasa sakit, serta batang hidungnya pula patah dan berdarah meleleh-leleh lalu kini dia hanya dapat bernafas melalui mulutnya, Gadang ternyata bukan calang-calang lawan.

Dia menerkam balas ke depan ... melibas ke rusuk kanan Ozalan beberapa kali berturut-turut dengan kaki kirinya ... kemudian secepat kilat bertukar kaki dan membuat tendangan libas terus yang padu ke dada Ozalan dengan kaki kanannya. Sakit Ozalan bukan kepalang ... dadanya terasa seperti hendak pecah ... namun dia terpaksa menahannya.

Secepat kilat Ozalan berputar badan untuk meyerang balas dengan tendangan terjah kuda tepat ke ulu hati Gadang. Orang itu beradui kesakitan. Dalam dia menghadapi sesak nafas akibat hentakan itu, Ozalan menyusuli dengan tendangan libas terus dengan kaki kanan ke sisi kiri muka lawannya. Akhirnya ... sekali lagi Ozalan berputar badan untuk menyampaikan pukulan penyudah ... tendangan libas terbalik dengan kaki kanannya ... seperti libasan ekor buaya ... kali ini tumitnya hinggap tepat pada pangkal rahang kanan Gadang.

Kini permainan sudah berakhir. Ketua Pengawal itu huyung-hayang seketika ... pengsan dalam berdiri seterusnya tumbang ke lantai tanpa sebarang suara ... tubuhnya menghempap papan lantai seperti sebatang kayu buruk. Kerisnya kelihatan terbaring di lantai kira-kira tiga depa dari tubuhnya.


§
“Abang Oja!!!” kedengaran suara Chinta Kirana menjerit nyaring sambil meluru masuk kembali ke ruang utama. “Ayahanda ada di pekarangan rupanya! Bundapun sama!”

Sejurus kemudian ... terdengar seperti bunyi berbaur suara berbisik-bisik dari arah tangga utama. Kelihatan Shakranta, diikuti Isabelle, seterusnya Mak Utih, Mak Uda, Pak Utih dan Pak Uda melangkah naik masuh ke rumah. Tujuh orang pengawal, didahului oleh Dalim selaku Timbalan Pengawal, menyusuli mereka. Shakranta dan Isabelle bertepuk tangan serentak, diikuti oleh yang lainnya.

“Chinta Kirana, puteriku,” terdengar Isabelle bersuara. “Kami memang sentiasa ada di sekitar kawasan ini, Sayang. Kami tidak mungkin meninggalkanmu sendirian.”

“Syabas, Oja!!!” ujar Shakranta lantang. “Syabas! Permainanmu sungguh menakjubkan.”

“Dalim!” Shakranta bersuara sambil menoleh kepada Timbalan Ketua Pengawal. “Belenggu si bangsat itu dengan rantai besi sebelum dia sedar. Bawa dia ke bilik pasung. Kurung dia di sana dengan di kawal ketat oleh tiga orang pengawal siang dan malam.”

“Tuanku! Puanku!,” ujar Ozalan terperanjat. “Tuanku dan Puanku ada rupanya.”

“Bunda!!!,” Chinta Kirana berteriak dengan nada teruja bercampur lega sambil meluru ke arah bundanya, lantas meragut baju dan tangannya. Mereka berdua beranak berpelukan mesra, dengan Isabelle mengucup-ngucup serta mengusap-usap muka dan rambut puterinya.

“Chinta,” balas Isabelle. “Kau tidak apa-apa, Sayang?”

“Tidak, Bunda,” puterinya menjawab. “Mujur Abang Oja datang segera. Dia membelasah si Gadang. Dia memang hebat, Bunda.”

“Ozalan!” Shakranta bersuara. “Kau tidak apa-apa?”

“Tidak, Tuanku,” jawap Ozalan. “Rupa-rupanya ... Gadang tidak sehebat yang hamba sangka selama ini.”

“Tidak, Oja,” ujar Isabelle. “Gadang tetap hebat. Kita semua tahu itu. Tapi ternyata ... malam ini kau seorang wira. Kau lebih hebat daripadanya. Chinta Kirana yang menjadi saksinya.”

“Terima kasih, Oja,” ujar Shakranta. “Tindakanmu benar-benar menakjubkan. Kau menyabung nyawamu untuk menyelamatkan Chinta Kirana.”

“Hamba sekadar menunaikan kewajipan, Tuanku. Kemampuan hambapun ... semuanya adalah hasil daripada latihan dan tunjuk ajar yang Tuanku berikan selama ini.”

Chinta Kirana meluru ke arah Ozalan ... lantas memeluknya dengan penuh kemanjaan.

“Abang Oja! Terima kasih. Abang memang hebat.”

“Sama-sama, Chinta,” jawap Ozalan sambil mengusap rambut Chinta Kirana. “Chinta tidak apa-apa?”

“Tidak, Abang. Cuma tengkuk dengan tangan Chinta aja yang terasa sakit sedikit, kerana bergelut dengan si Gadang tadi.”

Isabelle dan Shakranta memerhatikan gelagat anak gadis mereka berdua, masing-masing tersenyum lega serta bahagia.

”Bagus, Oja,” sambung Shakranta dengan nada lega sambil memerhatikan telatah puteri dan permaisurinya. “Sebenarnya kami bersembunyi di sebalik rumah anjung. Tepat ketika kami hendak menyerbu dan menggempur si Gadang, kau muncul dengan tak semena-mena untuk mengendalikannya. Segala tindakan dan pergerakanmu kelihatan agak meyakinkan. Maka kami terus bersembunyi sambil menyaksikan segala-galanya. Sambil Isabelle, Dalim dan diriku sendiri ... masing-masing sentiasa membidik panah kami ke arah si Gadang untuk terus membunuhnya kiranya keadaan menjadi terlalu berbahaya untuk Chinta Kirana."

"Kami bertuah dapat menyaksikan pameran seni tempur yang hebat dengan percuma,” Pak Utih mencelah sambil tersengih lebar.

"Ini ... Pak Utih dan Pak Uda kau ni," ujar Shakranta lagi. "Mereka berdua sampai hampir tergelincir jatuh dari dahan pokok manggis di luar sana kerana terlalu teruja melihat permainanmu melalui jendela rumah yang luas terbuka.”

Mereka semua tertawa terbahak-bahak kerana geli hati teringat kembali peristiwa sebentar tadi yang agak melucukan itu. Isabelle sekadar tersenyum selamba.

“Memang Kakak sudah lama mengesyaki bahawa si Gadang ada terlibat dengan sesuatu angkara," Isabelle bersuara. "Cuma Kakak tidak menyangka yang ia sampai seburuk ini. Begitupun ... kami terus mengawasi segala pergerakannya secara senyap-senyap ... dengan harapan akhirnya segala-galanya akan terbongkar dengan bukti yang sahih dan jelas. Maka malam ini seluruh persoalannya terjawab dan bukti itu terperoleh juga kesudahannya.”

“Dan Dalim juga begitu,” sambung Shakranta. “Lalu dia memaklumkan kebimbangannya kepadaku tidak berapa lama dulu. Cuma yang masih menjadi tanda-tanya adalah ... apakah punca sebenar di sebalik segala tindak-tanduk si Gadang ini. Dan ... hanya dia seorang sahaja yang boleh memberi jawapan terperinci tentang itu.”

“Hamba juga sengaja membuat helah kononnya berada di kandang kuda … untuk merawat kaki Srikandhi yang kononya tercedera.“ Ozalan memperjelas. “Sebenarnya, ia bertujuan supaya membolehkan hamba membuat rondaan di sekitar kawasan istana, kerana Puanku Isabelle yang mengarahkan hamba supaya secara senyap-senyap mengawasi pergerakan si Gadang sehari dua ini."

§
Gadang dikurung di bilik pasung dengan dibelenggu rantai kaki dan tangannya serta dikawal ketat. Sementara menunggu hukumannya, dia diseksa teruk hingga mendedahkan maklumat terperinci tentang punca kepetualangannya.

Rupanya dia sudah lama berkhidmat sebagai tali barut dengan pihak Sang Rama Vijaya. Sejak dari zaman remajanya, selepas kematian bapanya, seorang pahlawan Gelanggi Ayu yang gugur semasa berjuang menentang serangan Chola Mandalam yang pertama lapan tahun yang lalu. Serangan itu salah satu daripada beberapa serangan yang dilancarkan oleh Rajendra Chola di sekitar Pulau Sumatra serta Semenanjung Emas sebagai melepaskan geramnya terhadap serangan Palembang ke atas Medang Mataram, iaitu sekutu rapat Chola Mandalam, setahun sebelumnya. Di samping mewujudkan alasan bagi Rajendra Chola  merompak dan menyangak sebanyak mungkin emas dan harta kekayaan di setiap negeri yang diserangnya. Untuk membantu membiayai bala tentera Chola Mandalam yang semakin hari semakin membesar.

Sang Rama Vijaya yang ketika itu masih Putera Mahkota Palembang, rupanya menyimpan cita-cita besar yang tidak pernah terimpikan oleh ayahandanya Mara Vijaya, mahupun nendanya Chulamani Varma Deva. Baginda berhasrat untuk suatu hari nanti menyerang Kemboja Negara dan seterusnya menakluki seluruh wilayahnya. Dengan bantuan sahabatnya, raja negeri Negara Seri Dharmaraja, yang juga mempunyai darah Palembang Srivijaya, daripada jurai Balaputra Deva yang ada mengahwini seorang puteri kepada raja negeri itu, hampir dua abad yang lalu.

Maka, andainya cita-citanya berjaya, hasrat agung Sang Rama Vijaya adalah menyerang dan menghancurkan Chola Mandalam sepenuhnya di bumi mereka sendiri dengan bala tentera terbesar dalam sejarah Rantau Tenggara. Lalu dengan itu memungkinkan kerajaan Palembang Sri Vijaya bangkit kembali menjadi sebuah kuasa besar dan kebal yang terunggul di seluruh Rantau Tenggara, yang tiada saingannya lagi.

Negara Seri Dharmaraja juga kebetulan masih berseteru dengan Kemboja Negara sejak zaman rajanya yang terdahulu, iaitu Raja Sujita, yang pernah menyerang dan menakluki kota Angkor lalu naik takhta Kemboja Negara dengan gelaran Maharaja Jaya Vira Varman. Baginda mendapat tentangan hebat oleh Surya Varman, seorang raja Khmer dari sebuah kota kecil bernama Sambhu Pura di wilayah selatan Kemboja Negara. Selepas peperangan yang berlanjutan beberapa tahun, akhirnya Jaya Vira Varman ditewaskan oleh Surya Varman yang seterusnya menjadi Maharaja Kemboja Negara yang baru.

Lalu Sang Rama Vijaya mengambil Gadang sebagai anak angkat sekaligus mendidiknya menjadi perisik rahsia, dan secara sulit menitahkannya supaya berikhtiar mendapatkan pekerjaan dengan Shakranta di Bukit Panau. Gadang dijanjikan jawatan Pembesar Amdan Negara, dengan itu menjadi tuan di Mahligai Dharmakusuma, serta mentadbir seluruh wilayah lain di bawah naungannya, kiranya rancangan itu berjaya. Gadang juga dijanjikan akan diberikan Chinta Kirana untuk dikahwininya, manakala Sang Rama Vijaya sendiri bercadang akan mengahwini Isabelle untuk dijadikan permaisuri kedua.

Kerana Sang Rama melihat Angkatan Pantai Timur sebagai sesuatu yang berkemungkinan serta berkemampuan menghalang cita-cita besarnya, Maka Shakranta, sebagai Panglima Agung Angkatan Pantai Timur, harus dihapuskannya terlebih dahulu. Sebagai langkah pertama dalam perancangannya yang lebih besar untuk menghancurkan kekuatan Angkatan Pantai Timur di Semenanjung Emas.

Maka, usaha Sang Rama Vijaya untuk mendapatkan Chinta Kirana rupa-rupanya cuma suatu helah licik untuk menyembunyikan hasrat sebenarnya daripada Shakranta dan seisi rumah Mahligai Dharmakusuma. Sasaran utamanya yang sebenar adalah untuk menghapuskan Shakranta sendiri. Mengikut perancangan Sang Rama Vijaya, apabila Chinta Kirana diculik lalu dibawa lari ke Kedah Negara, Shakranta pasti segera menyusuli ke sana untuk menyelamatkan puterinya itu.

Apabila itu berlaku, dengan Shakranta dalam keadaan hilang pertimbangan, segerombolan panglima Palembang yang terhandal akan membuat serangan curi ke atasnya semasa dia berada di Kedah Negara lantas membunuhnya. Maka, kesudahannya, Gadang akan diberikan Chinta Kirana untuk dikahwininya, manakala Sang Rama Vijaya sendiri bercadang akan mengahwini Isabelle. Namun, mujurnya, tindakan pantas dan berani oleh Ozalan telah menggagalkan segala rancangan jahat itu.

Peristiwa mengejut malam itu mendorong Shakranta menyusun semula sambil memperketat lagi rancang cara keselamatan di Mahligai Dharmakusuma dan seluruh persekitarannya. Dalim dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengawal sebagai pengganti Gadang. Manakala Ozalan dilantik menjadi Timbalan Ketua Pengawal yang baru.

§
Gerombolan pengawal mahligai juga mendokong peranan sebagai anggota teras bala tentera Amdan Negara kiranya diserang musuh. Maka, jika berlaku perang, Dalim menjadi Ketua Panglima, dengan Ozalan sebagai Timbalannya. Dengan Shakranta sebagai Panglima Agung dan Dalim bertanggungjawab penuh kepadanya. Lalu, dengan itu, gaji setiap anggota gerombolanpun masing-masing diberi kenaikan seperti sewajarnya oleh Shakranta.

Dali, adik Delima Wati sekaligus kawan Ozalan, Andak, anak Pak Utih dan Udin, anak Pak Uda diambil berkhidmat menjadi tiga orang penjaga kuda yang baru di bawah penyeliaan Ozalan. Mereka bakal mengambil alih tugas-tugas penjagaan kuda secara sepenuhnya. Kerana Ozalan kini sudah menyandang jawatan lain yang lebih penting untuk melindungi keselamatan keluarga Dharmakusuma. Lagipun, jumlah kuda yang memerlukan jagaan khas kini telah jauh bertambah banyak bilangannya.

Isabelle pula mula mengajar anak gadisnya, Chinta Kirana, pelbagai jenis seni tempur, bermain keris dan pedang, memanah, serta meniup sumpit, di samping menggunakan kuda sebagai penggempur musuh, sebagai langkah meningkatkan kemampuannya untuk melindungi diri bila terdesak.